PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Previous Next

24 Februari 2025 - Telah berlangsung Mesyuarat High Level Committee Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2025 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu. Mesyuarat diadakan susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Sabah dan Sarawak akibat luruan monsun pada Januari 2025 yang memerlukan intervensi segera.
 
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta dihadiri oleh ketua-ketua jabatan agensi tindak balas, agensi teknikal dan bantuan yang berkaitan. Mesyuarat turut dihadiri oleh wakil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dan Sarawak serta pegawai-pegawai daerah di Sabah.
 
Antara perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat ini adalah kaedah mempercepatkan pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI), penambahbaikan pengurusan mangsa terutama penempatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan keperluan bagi penambahbaikan pengurusan bencana geologi serta tebatan banjir khususnya di kedua-dua negeri tersebut.
 
Selepas selesai mesyuarat, diteruskan dengan Lawatan ke Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kawasan Persekitaran Lido, Kota Kinabalu. YAB Timbalan Perdana Menteri bersama-sama Ketua Pengarah NADMA, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Pengarah JPS Sabah dan wakil-wakil JPBN Sabah dan Sarawak turun meninjau kemajuan projek RTB tersebut.
Previous Next

Bengkel Pemurnian Pendaftaran Aset Tak Alih NADMA Tahun 2025 | 19 hingga 21 Februari 2025 | Pulau Pinang
 
Telah berlangsung Bengkel Pemurnian Pendaftaran Aset Tak Alih NADMA Tahun 2025 yang bertujuan untuk memurnikan dan menyemak pendaftaran Aset Tak Alih yang sedang dilaksanakan bagi premis tumpang di NADMA dan premis milikan di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
 
Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBrs. Ir. Malek bin Hisham, Pengarah Seksyen Teknikal dan Infrastruktur NADMA serta majlis penutup telah disempurnakan oleh YBrs. En. Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) NADMA. Bengkel ini telah dihadiri seramai 20 orang yang terdiri daripada pegawai Seksyen Teknikal dan Infrastruktur NADMA, Seksyen Fasiliti Pasukan SMART serta akauntan NADMA.
 
Pn. Siti Norashikin binti Mohd Nasir, penceramah dari Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah dijemput bagi menyemak pendaftaran Aset Tak Alih ini.
Previous Next

Mesyuarat Awalan Pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana dan Perbincangan Inisiatif Semasa di Sarawak | 21 Februari 2025
 
Telah berlangsung satu (1) Mesyuarat Awalan Pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana dan Perbincangan Inisiatif Semasa di Sarawak yang telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran), Jabatan Premier Sarawak.
 
Wakil ahli mesyuarat yang hadir dari pihak NADMA ialah Encik Zamakhshari bin Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBhg. DCP Datuk Mazli bin Mazlan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi, Encik Mohd Khairi bin Abd. Ghani, Pengarah Seksyen Logistik dan pegawai Seksyen Mitigasi.
 
Mesyuarat ini adalah bertujuan untuk membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan cadangan pemilihan Sarawak sebagai salah satu dari negeri rintis (pilot state) bagi pembangunan Strategi DRR Negeri Sarawak sehingga tahun 2030. Pihak negeri Sarawak menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh NADMA dan bersetuju untuk memberikan kerjasama dengan sebaiknya bagi merealisasikan agenda tersebut. Perkara ini adalah selaras dengan aspirasi dan komitmen kerajaan dalam memenuhi sasaran utama keempat bagi Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 serta kerangka Sendai Framework for DRR 2015-2030 di semua peringkat merangkumi nasional, tempatan dan merentasi sektor secara menyeluruh.
 
Selain itu, sesi mesyuarat ini juga turut memberikan fokus yang khusus kepada perbincangan berkaitan dengan status penyelarasan terkini bagi pemasangan Jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) di sekitar negeri Sarawak dan cadangan pelaksanaan latihan simulasi Tabletop Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) yang dijadualkan pada bulan Ogos 2025 yang akan datang di Bintulu, Sarawak.
Previous Next

The 16th ASEAN-ERAT Induction Course | 12 – 20 Februari 2025 | Phnom Penh, Cambodia
 
Telah berlangsung The 16th ASEAN-ERAT Induction Course yang dihadiri oleh tiga (3) orang pegawai NADMA iaitu, Mej. Wazirudin bin Mahfot @ Mahbott, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi, Encik Shanmugam A/L Gopalan, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Penyelarasan Operasi dan Pn. Ain Syafiqah binti Abd Haris, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Mitigasi.
 
Kursus induksi ini bertujuan untuk memberikan latihan khusus kepada pegawai-pegawai daripada negara-negara ASEAN dalam persediaan menghadapi bencana di peringkat serantau. ASEAN-ERAT merupakan pasukan respons bencana pantas di bawah kerangka ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER), yang berfungsi untuk penilaian cepat, koordinasi bantuan dan tindak balas kecemasan. Selain itu, pegawai-pegawai NADMA juga turut mengadakan pertemuan dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Cambodia.
Previous Next

Program Latih Amal Simulasi Keselamatan Empangan Sungai Perak Tahun 2025 | 20 Februari 2025 | Kuala Kangsar
 
Telah berlangsung Program Latih Amal Simulasi Keselamatan Empangan Sungai Perak Tahun 2025 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Kangsar.
 
Sesi latih amal simulasi ini bertujuan bagi meningkatkan keupayaan semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi berkaitan bencana yang melibatkan Empangan Sungai Perak dengan berkesan di samping meningkatkan keupayaan komuniti yang rentan untuk berdaya tahan terhadap bencana.
 
Seramai 300 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat termasuk pelajar sekolah telah terlibat dalam menjayakan sesi latih amal pada kali ini. Latih amal simulasi kali ini diakhiri dengan sesi pascanilai bagi menambahbaik lagi sebarang kelemahan yang mungkin terjadi semasa pelaksanaan latih amal tersebut.
 
Sesi penutup latih amal ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar bin Hj. Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Operasi (TKPO) NADMA. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Mazli bin Mazlan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA, YBhg. Tuan Nazri bin Abdullah, Pegawai Daerah Kuala Kangsar serta YBrs. Tuan Wan Khairul Razli bin Wan Ahmad Qusyairi, Head Corporate Affairs TNB GENCO Sdn. Bhd. Dalam masa yang sama, YBhg. Datuk TKPO juga turut mengambil kesempatan untuk melawat Empangan Chenderoh yang berada di Kuala Kangsar.
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search