PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Penubuhan NADMA

SEJARAH PENUBUHAN

Ekoran bencana banjir besar yang berlaku sewaktu Monsun Timur Laut (MTL) 2014/2015, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 26 Ogos 2015 telah bersetuju dengan penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mengambil alih peranan agensi peneraju utama pengurusan bencana daripada Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM) di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
 
Keputusan Jemaah Menteri dengan jelas telah memberi kuasa kepada NADMA sebagai agensi peneraju utama untuk menjalankan apa-apa kewajipan yang termaktub bagi memastikan pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana, dikendalikan secara bersepadu oleh semua agensi di setiap peringkat dengan lebih efisien dan efektif.
 
Berikutan senario bencana yang semakin meruncing, aktiviti manusia serta risiko kemunculan ancaman baharu (new emerging threats). Sidang MKN yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 1 Ogos 2024 telah bersetuju untuk membatalkan Arahan MKN No. 20 dan menggantikannya dengan satu (1) arahan baharu yang dikenali sebagai Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.
 
Arahan NADMA No. 1 ini digubal selaras dengan keputusan-keputusan Jemaah Menteri, perubahan semasa, corak serta kerumitan kejadian bencana pada masa ini. Arahan ini menggariskan mekanisme pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana secara lebih menyeluruh. Setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana di setiap peringkat bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing selaras dengan Arahan ini. Arahan ini juga akan dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang pembaziran, kekeliruan, konflik dan percanggahan atau pertindihan peranan semasa menangani bencana.
 
Tumpuan utama kepada pengurusan bencana adalah ke arah pengurangan risiko bencana secara menyeluruh dan berterusan melalui program-program pencegahan, mitigasi, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan bencana. Usaha ini adalah selaras dengan inisiatif yang dilakukan di peringkat serantau dan antarabangsa. Sejajar itu, Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 telah dibangunkan dan diluluskan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 September 2024. Dasar ini berperanan sebagai rujukan utama oleh semua pihak berkepentingan merentasi pelbagai peringkat dan sektor termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sektor swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), badan sukarelawan, badan bukan kerajaan, organisasi dan masyarakat dalam merancang dan melaksana inisiatif/ program/ aktiviti berkaitan bencana dengan mengambil kira konsep pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction, DRR).

Dari segi pelaksanaan, dokumen ini disokong dengan penggubalan Pelan Tindakan dan pembangunan Strategi DRR negeri sebagai panduan dalam pengurusan risiko bencana. Penghasilan dokumen ini membolehkan setiap agensi dan semua pihak berkepentingan termasuk komuniti dalam berkongsi komitmen untuk meningkatkan daya tahan negara terhadap bencana selari dengan matlamat leave no one behind. Justeru, semua pihak berkepentingan merentasi pelbagai peringkat dan sektor perlu berganding bahu melaksanakan inisiatif/ program/ aktiviti DRR demi memastikan enam (6) sasaran utama yang telah digariskan dalam dasar ini tercapai menjelang tahun 2030.



Visi:
Agensi Peneraju Utama Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara

Misi:
Mengutamakan keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara dengan memupuk kerjasama pelbagai pihak sebagai satu pasukan untuk membina serta meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan dalam pengurusan bencana

Moto:
Siaga Bencana, Tanggungjawab Bersama

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search