PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Previous Next

Tinjauan Operasi Pengurusan Bencana di Negeri Perlis | 26 November 2025

Ketua Pengarah NADMA, Tuan Meor Ismail Meor Akim meneruskan sesi tinjauan pengurusan bencana ke Negeri Perlis bagi memastikan penyelarasan operasi di lapangan bersama agensi responder dan agensi sokongan dalam keadaan teratur dan kebajikan mangsa terus diberi perhatian utama.

Ketua Pengarah telah tiba di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan 2020, Kangar, Perlis petang tadi yang menempatkan seramai 740 orang mangsa banjir. DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis turun mencemar duli bagi meninjau keadaan semasa bencana banjir serta menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS tersebut.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis kepada mangsa-mangsa banjir di sini.

YB Dato’ Rahimi Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perlis turut bersama-sama Ketua Pengarah telah diberi taklimat oleh pegawai bertugas berkaitan situasi semasa bencana banjir yang melanda Kangar dan kawasan sekitarnya.

Previous Next

Tinjauan Lapangan di Lokasi Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2025/2026 Negeri Selangor | 25 November 2025

YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar Haji Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Operasi NADMA telah melakukan tinjauan lapangan di lokasi bencana banjir dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Desa Aman, Ijok, Kuala Selangor dan SK Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.

Beliau turut menyertai sesi turun padang bersama YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor di PPS SK Desa Aman, Ijok, Kuala Selangor yang diiringi YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Setiuasaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor dan Ketua-ketua Jabatan Negeri Selangor serta Ketua-Ketua Jabatan Daerah Kuala Selangor.

Previous Next

Lawatan Pemantauan Projek Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) SK Seri Medan Batu Pahat | 25 November 2025 | Batu Pahat, Johor


YBrs. Tuan Haji Hussain Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA telah berkesempatan hadir bersama-sama YB Dato’ Haji Ismail Haji Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) ke Projek Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) SK Seri Medan, Batu Pahat, Johor bagi melihat sendiri status pelaksanaan projek ini.


Taklimat ringkas telah disampaikan oleh Jurutera Daerah JKR Batu Pahat selaku agensi pelaksana projek ini. YBrs. Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA menyuarakan bahawa kepentingan projek ini merupakan projek yang memberi impak tinggi kepada mangsa bencana.


Turut hadir bersama Ir. Sulaiman Kamari, Pengarah Seksyen Teknikal dan Infrastruktur NADMA, Pengarah APM Negeri Johor, Pegawai Daerah Batu Pahat, PPD dan Guru Besar SK Seri Medan.

Previous Next

Tinjauan Operasi Pengurusan Bencana di Negeri Kelantan | 25 November 2025

Selepas sesi lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Jajahan Tumpat, Ketua Pengarah NADMA telah mengunjungi PPS di Jajahan Bachok iaitu SK Pa’pura. Beliau telah diberi taklimat ringkas oleh Ketua Jajahan Bachok, YBrs. Tuan Haji Zaki b. Yusoff berkaitan situasi semasa banjir khususnya di Jajahan Bachok.

PPS Pa’Pura mula beroperasi pada 21 November 2025 yang menjadikan jumlah tujuh (7) PPS secara keseluruhan dibuka di Jajahan Bachok. Jumlah mangsa yang berpindah boleh dikatakan telah berkurangan dengan penurunan angka mangsa yang berkait rapat. YBrs. Tuan Haji Zaki juga menjelaskan bahawa banjir di Jajahan Bachok adalah disebabkan taburan hujan yang sangat lebat bermula pada 20 November 2025 dan berterusan untuk beberapa hari berikutnya.

Pada masa yang sama, Ketua Pengarah NADMA turut sempat menyantuni mangsa-mangsa yang berada di PPS berkenaan.Sebelum berangkat pulang dari Kota Bharu, beliau sempat menyantuni pegawai-pegawai SMART yang bersedia untuk penugasan penyelamatan mangsa di Kelantan. Pasukan ini telah tiba di Kota Bharu sejak semalam dan bersedia di Kem PGA, Batalion 8 di Pengkalan Chepa, Kelantan. Pada kesempatan ini, beliau sempat menyampaikan amanat serta mengingatkan kepada semua anggota pasukan untuk bersiap siaga pada semua kemungkinan yang berlaku sejajar dengan amaran hujan berterusan yang dijangka berlaku sehingga 27 November 2025.

Previous Next

TINJAUAN OPERASI PENGURUSAN BENCANA DI NEGERI KELANTAN | 25 NOVEMBER 2025

Ketua Pengarah NADMA, Tuan Meor Ismail Meor Akim hari ini menyambung sesi pemantauan dan tinjauan operasi pengurusan bencana di Negeri Kelantan yang merupakan negeri yang paling terkesan dengan bencana banjir pada masa ini.

Pada sesi pagi beliau telah mempengerusikan mesyuarat PKOB Negeri Kelantan yang turut dihadiri oleh Unit Bencana Negeri Kelantan, PDRM, APM, JBPM, JPS, JPN, JKM, JKN, MetMalaysia dan ATM bagi penyelarasan lanjut pengurusan operasi bencana.

Selesai mempengerusikan mesyuarat, beliau membuat tinjauan pengurusan penempatan mangsa-mangsa banjir di PPS SK Seri Tumpat 2. Seramai hampir 500 mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut. Beliau sempat menyantuni mangsa-mangsa banjir serta memberi sokongan moral kepada petugas-petugas di PPS.

Beliau seterusnya membuat pemantauan di PPS SMK Geting dan mendengar penjelasan daripada pihak sekolah dan PPD tentang situasi pelajar yang menduduki peperiksaan SPM bermula hari ini. Di PPS ini menempatkan seramai 233 orang calon SPM.

Semoga calon-calon SPM dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan lancar walaupun sedang berdepan dengan situasi banjir ini. Insya Allah.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search