Simposium Cerun Negara 2025 | 7 Mei 2025 | Everly Hotel, Putrajaya
Simposium Cerun Negara 2025 adalah sebuah inisiatif utama di bawah Pelan Induk Cerun Negara oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) yang dianjurkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun, Ibu Pejabat JKR Malaysia dengan kerjasama strategik Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Simposium ini bertemakan "Way Forward - National Slope Master Plan".
Simposium ini bertujuan untuk mencapai matlamat pengurusan cerun negara yang mampan, mengoptimumkan seminar dan pameran sebagai platform perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik, serta memperkukuhkan kerjasama dan penyelarasan antara agensi. Simposium ini akan menampilkan pembentang-pembentang terkemuka yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga sektor swasta yang akan berkongsi kepakaran dan pengalaman khusus dalam pengurusan cerun termasuk pengurusan risiko bencana tanah runtuh. YBrs. Ir. Haji Hanizan bin Deraman, Pengarah Seksyen Mitigasi NADMA telah dijemput untuk membentangkan tentang Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030.
Sesi Libat Urus NADMA bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2025
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Sesi Libat Urus NADMA bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 | 6 Mei 2025 | Iconic Marjorie Hotel, Pulau Pinang
Sesi libat urus ini adalah langkah penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana di negeri Pulau Pinang melalui pemantauan yang lebih rapi dan penyelarasan antara agensi.
Sesi Pre INSARAG External Reclassification (IER) 1 | 5 hingga 9 Mei 2025 | Markas Pasukan SMART, Selangor
Sedang berlangsung Sesi Pre IER 1 yang disertai oleh Mentor dari negara Australia, Mr David Lewis dan Mr. Tim Hassiotis dari New South Wales Fire and Rescue. Sesi ini dimulakan dengan taklimat yang dipengerusikan oleh YBrs. Encik Addyhanis bin Ahamad, Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA.
Sesi Pre IER 1 ini akan melibatkan latihan simulasi MyTeam Relief yang merupakan latihan berpusat bersama dengan pasukan sahabat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam pelbagai kepakaran masing-masing. Penyatuan ini sangat penting terutamanya dalam memastikan sistem dan cara kerja pasukan adalah selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh INSARAG.
Bagi latihan kali ini, 2 orang tetamu dari Australia akan bertindak selaku mentor Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi menghadapi IER SMART 2026. Perkara ini termaktub di dalam INSARAG Guidelines yang mana setiap pasukan yang bakal menjalani IER perlu mendapatkan khidmat mentor bagi memastikan pelaksanaan IER adalah licin berkesan.
Sesi bersama mentor ini amat penting memandangkan laporan penilaian yang dikemukakan oleh mentor kelak kepada Sekretariat INSARAG akan menentukan tahap persediaan Pasukan SMART untuk IER 2026. Sesi Pre IER 2 bersama mentor dijangka akan diadakan pada bulan Ogos 2025.
Sesi Lawatan dan Perbincangan bagi Penyediaan Bantuan Makanan Bencana Negara di Negeri Sabah
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Sesi Lawatan dan Perbincangan bagi Penyediaan Bantuan Makanan Bencana Negara di Negeri Sabah | 5 Mei 2025 | Pejabat FAMA Negeri Sabah
Sesi ini merupakan susulan kepada Mesyuarat Cadangan Penyediaan Kit Makanan dan Makanan Retort bagi Sabah, Sarawak dan WP Labuan pada 19 Mac 2025 yang lalu. Tujuannya adalah untuk menilai kesediaan fasiliti tempatan di Sabah dalam menyokong penyediaan bantuan makanan bencana berasaskan sumber tempatan serta membincangkan cadangan pengukuhan stor penyimpanan barangan bencana di peringkat negeri.
Sesi ini telah diketuai oleh YBrs. Encik Mohd Khairi bin Abd Ghani, Pengarah Seksyen Logistik NADMA bersama pegawai Seksyen Logistik NADMA yang lain. Turut hadir adalah wakil daripada FAMA (Sabah & Labuan dan Pusat), Pejabat SUK Negeri Sabah, APM Negeri Sabah dan WP Labuan serta Perbadanan Labuan. Sesi ini dijangka dapat memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi bencana melalui penggemblengan sumber tempatan serta kerjasama antara agensi dan industri.
Intergovernmental & NGO Disaster Response and Coordination Workshop for The State of Sarawak (SISCOORD) 2025
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Intergovernmental & NGO Disaster Response and Coordination Workshop for The State of Sarawak (SISCOORD) 2025 | 3 Mei 2025 | Waterfront Kuching, Sarawak
Telah berlangsung Program Intergovermental & NGO Disaster Response and Coordination Workshop for State of Sarawak (SISCOORD) 2025 yang dirasmikan oleh Tuan Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) NADMA.
Program ini telah dihadiri seramai 60 orang peserta daripada pelbagai NGO yang aktif di Sarawak termasuk wakil dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Negeri Sarawak.
Matlamat program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada NGO-NGO di Sarawak berkenaan pengurusan pengagihan bantuan bencana dan pengurusan bencana negara sepertimana yang terkandung dalam Arahan NADMA No. 1.
Program melalui NADMA dengan kerjasama Yayasan TM, Red A Humanitarian dan kerajaan negeri Sarawak ini sekaligus dapat meningkatkan jaringan kerjasama antara NGO dengan sekretariat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
