Kursus Latihan Pemantapan Penggunaan Aplikasi Epasca (Pentadbir) | 17 & 18 Disember 2024 | Cosmo Hotel, Kuala Lumpur
Kursus ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA. Beliau juga turut mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir (Gelombang 1&2) Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 pada 19 Disember 2024 untuk meninjau kerja-kerja pasca yang telah dilaksanakan oleh pelbagai agensi persekutuan dan negeri serta keadaan wabak penyakit berjangkit bawaan air akibat banjir.
NADMA turut menerima sumbangan tabung bantuan banjir daripada pelbagai pihak termasuk masjid dan Railway Asset Cooperation. Wakil NADMA turut meneruskan program CBDRM Seminar Komuniti Berdaya Tahan Bencana Menghadapi MTL Majlis Bandaraya Subang Jaya 2024 yang melibatkan seramai 150 peserta. Selain itu, siri-siri koordinasi bantuan-bantuan NGO Rakan NADMA dan sumbangan barangan daripada pelbagai pihak turut diteruskan.
Sesi Kunjungan Hormat Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA ke atas Ketua Pengarah NADMA
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
17 Disember 2024 – Telah berlangsung sesi kunjungan hormat YBrs. Encik Jamalulail bin Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan (BMI), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke atas YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA di Bilik Mesyuarat Ruan Changkul, NADMA.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk melestarikan hasrat YAB Perdana Menteri dalam Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023 pada 7 November 2023 supaya penjawat awam diberikan latihan dan pendedahan bagi tujuan pembangunan kompetensi dalam bidang-bidang tujahan baru merangkumi bidang kecerdasan buatan, transformasi digital, persempadanan negara dan pengurusan bencana.
Turut hadir ke sesi kunjungan hormat ini ialah Puan Hartini binti Rabu, Timbalan Pengarah Kluster Pembangunan Strategik Dalam Perkhidmatan, BMI, JPA; Puan Nurmahizan Mokhtar@Mohamed, Ketua Penolong Pengarah Unit Dasar Latihan,Kluster Perundingan,BMI, JPA dan Puan Norazlina binti Abd Hamid,Penolong Pengarah Unit Kursus Jangka Pendek,Kluster Latihan Dalam Perkhidmatan, BMI JPA. Wakil NADMA yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana, Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Mitigasi, Penolong Pengarah Kanan dan Penolong Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan.
Sesi Kunjungan Hormat Ketua Pengarah NADMA ke atas Ketua Polis Negeri Kedah
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
13 Disember 2024 - YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA telah mengadakan satu sesi kunjungan hormat ke atas YBhg. YDH CP Dato' Fisol bin Salleh, Ketua Polis Negeri Kedah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Jitra, Kedah. Turut hadir ke sesi kunjungan hormat ini ialah Puan Zuraini binti Mohd Yusof, Pengarah Keselamatan Negeri Kedah (MKN Kedah).
A Next Generation Pandemic PPE Enterprise For Asia | 10 hingga 12 Disember 2024 | Intercontinental Hotel, Singapura
Program ini merupakan anjuran Blueprint Biosecurity. Program ini adalah bertujuan untuk berkongsi teknologi terkini berhubung pengurusan logistik dan inovasi PPE pandemik. Wakil daripada NADMA ialah Encik Ezrin Rozani bin Rosli, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Logistik. Turut hadir ialah wakil dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE), Prof. dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaya (UM). Antara negara yang turut terlibat semasa program ini adalah Thailand, Vietnam, Filipina, Bangladesh, India, Korea Selatan, USA dan lain-lain.
Konsainan Ke-2 Bantuan Kemanusiaan dan Bencana daripada Kerajaan Pakistan
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
12 Disember 2024 - Konsainan ke-2 bantuan kemanusiaan dan bencana daripada Kerajaan Pakistan telah tiba di Terminal MASKargo pada jam 3:45 petang. Ketibaan pesawat ini telah disambut oleh En Addyhanis bin Ahamad, Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA, En. Muhammad Ameer Hassan Butt, wakil Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur, wakil Wisma Putra dan wakil-wakil Agensi.
Penerbangan kedua ini telah membawa 35 tan barangan yang terdiri daripada 500 khemah, 1500 selimut, 250 jaket keselamatan, 530 quilt, 66 sleeping bag dan 500 tikar. Proses mobilisasi barangan bantuan daripada Terminal MASKargo ke Depot Simpanan Pertahanan telah dijalankan yang melibatkan 16 aset kenderaan dan 70 orang petugas fitik daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk pengiring konvoi daripada PDRM.
Sumbangan daripada Kerajaan Pakistan sebanyak 71 tan (36 tan konsainan 1 + 35 tan konsainan 2) akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025.
