Sesi Perbincangan Perkongsian Maklumat Lokasi Orang Kurang Upaya (OKU), Warga Emas dan Pesakit Terlantar bagi Operasi Menyelamat Semasa Bencana
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Sesi Perbincangan Perkongsian Maklumat Lokasi Orang Kurang Upaya (OKU), Warga Emas dan Pesakit Terlantar bagi Operasi Menyelamat Semasa Bencana | 26 Mei 2025
Telah berlangsung satu sesi perbincangan Perkongsian Maklumat Lokasi Orang Kurang Upaya (OKU), Warga Emas dan Pesakit Terlantar bagi Tujuan Operasi Menyelamat Semasa Bencana di Pulau Meranti yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA.
Sesi ini merupakan inisiatif NADMA dalam usaha memperkukuh keberkesanan operasi mencari dan menyelamat semasa bencana, khususnya melibatkan golongan rentan seperti OKU, warga emas dan pesakit terlantar akibat masalah kesihatan. Bagi tujuan ini, NADMA memerlukan maklumat asas dan lokasi tempat tinggal golongan tersebut untuk dimasukkan ke dalam sistem Defence Geospatial Information Management (DGIM) dan dikongsi bersama agensi-agensi tindak balas serta Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat negeri dan daerah.
Sesi ini telah dihadiri oleh Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pegawai-pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta Pegawai Undang-Undang dari Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Mesyuarat ke-46 ASEAN Committee on Disaster Management (ACDM) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Mesyuarat ke-46 ASEAN Committee on Disaster Management (ACDM) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan | 20 hingga 23 Mei 2025 | Siem Reap, Cambodia
Delegasi Malaysia ke Mesyuarat ke-46 ASEAN Committee on Disaster Management (ACDM) telah diketuai oleh YBrs. Encik Rusli bin Ibrahim, Pengarah (Dasar) NADMA. Wakil NADMA yang turut hadir ke mesyuarat ini ialah Puan Munirah binti Zulkaple, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Dasar) dan Encik Wan Mohd Fadli bin Ab Rahman, Penolong Pengarah Kanan (Dasar).
Sebagai ahli ACDM, wakil Malaysia telah membentangkan beberapa siri pelaporan mengenai status pelaksanaan serta perancangan inisiatif dan kerjasama di peringkat ACDM, termasuk dengan rakan-rakan kerjasama ACDM, selari dengan AWP 2021-2025 sedia ada dan AWP 2026-2030 yang kini dalam proses pewujudan. Mengikut penggiliran, Cambodia merupakan Pengerusi ACDM dan untuk itu bertindak sebagai hos bagi penganjuran mesyuarat-mesyuarat pada tahun ini.
Antara perkara yang dibincangkan adalah komitmen negara-negara anggota ASEAN dalam merangka inisiatif dan usaha untuk mengurangkan risiko bencana, menguruskan bencana dan tindak balas kecemasan di rantau ASEAN.
Kunjungan Hormat Ketua Pengarah NADMA atas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Kunjungan Hormat Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) | 22 Mei 2025 | Ibu Pejabat JBPM, Presint 7, Putrajaya
Sesi kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk membincangkan beberapa isu berkaitan pengurusan bencana dan penambahbaikan pengurusan bencana di antara NADMA dan JBPM. Antara perkara yang turut dibincangkan adalah penambahbaikan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta penyelarasan lawatan Delegasi EMERCOM of Russia ke Malaysia yang akan turut melibatkan JBPM.
Majlis Penyerahan Barangan Sumbangan daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi Kesiapsiagaan Bencana
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Majlis Penyerahan Barangan Sumbangan daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi Kesiapsiagaan Bencana | 22 Mei 2025
Telah berlangsung Majlis Penyerahan Barangan Sumbangan daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi Kesiapsiagaan Bencana di Gudang A, Depot Tindak Balas Kemanusiaan Negara (DTBKN), Sungai Buloh. Pihak NADMA telah mengagihkan sumbangan sebanyak 500 unit modular camp (C-tent) kepada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan, memandangkan keperluan kritikal yang dikenal pasti di negeri tersebut berbanding di negeri yang lain. Agihan telah dilaksanakan terus oleh MAHB kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan.
Selain itu, sebanyak 12,000 unit safety folder diserahkan kepada NADMA yang akan ditempatkan secara sementara di DTBKN bagi kesiapsiagaan bencana sebelum diagihkan kepada pihak atau mana-mana agensi yang memerlukan, termasuk untuk tujuan pengagihan kepada peserta program-program kesiapsiagaan bencana. Sumbangan ini amat bermakna dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara. Ia bukan sahaja menunjukkan komitmen sektor korporat dalam membantu pengurusan bencana, malah memperkukuh kolaborasi antara kerajaan, pihak swasta dan NGO.
Wakil daripada NADMA ialah YBhg. Datuk Mohd Razali bin Wahab, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar); Encik Jefny bin Muhammad, Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial; Encik Mohd Khairi bin Abd Ghani, Pengarah Seksyen Logistik dan Encik Meor Hijdayat bin Ismail, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan. Turut hadir ialah Ir. Wan Mohd Nasrul Hadi bin Wan Ismail, Timbalan Pengarah Operasi, Depot Simpanan Pertahanan (DSP) Sungai Buloh; Tuan Ardi bin Habi, Pengurus Kanan, AFRS (MAHB) serta Tuan Haji Khairil Annuar bin Khalid, Timbalan Presiden, Malaysian Relief Agency (MRA).
Weather and Climate Science for Service Partnership (WCSSP) Southeast Asia Regional Science Workshop & Verification Training
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Weather and Climate Science for Service Partnership (WCSSP) Southeast Asia Regional Science Workshop & Verification Training | 18 hingga 22 Mei 2025 | Bali, Indonesia
Telah berlangsung bengkel serantau pada tahun ini yang bertemakan “The Use of Ensembles and Communication of Uncertainty’’ yang menghimpunkan para saintis dan peramal cuaca dari seluruh rangkaian kerjasama WCSSP, dengan objektif untuk meningkatkan penggunaan ensemble serta memperkukuh komunikasi ketidakpastian dalam merancang pengurusan risiko serta daya tahan bencana.
Bengkel ini merupakan platform penting bagi para saintis dari United Kingdom (UK) dan negara rakan Asia Tenggara (SEA) yang terlibat dalam projek usahasama untuk menilai kemajuan projek dan mengenal pasti pencapaian utama. Selain itu, meningkatkan kesedaran tentang perkembangan dan perancangan kerja di seluruh rakan kongsi serta pakej kerja dan mengukuhkan kerjasama antara individu, kumpulan kerja dan institusi.
Bengkel ini juga membuka ruang untuk mengenal pasti impak projek, termasuk manfaat kepada negara rakan di SEA, pihak berkepentingan dan pembuat dasar. Ia juga memberi peluang kepada komuniti sains antarabangsa untuk meninjau potensi perkhidmatan iklim demonstrasi baharu. Seterusnya, bengkel ini turut meneliti peluang masa depan bagi meneruskan kolaborasi dalam menangani cabaran saintifik yang masih belum selesai serta memperkukuh lagi pelaksanaan projek WCSSP SEA. Matlamat utama adalah untuk membina legasi keupayaan perkhidmatan sains yang mampan dan berdaya saing.
Seramai 11 orang peserta Malaysia telah menyertai bengkel pada kali ini yang diketuai oleh YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), NADMA dan diikuti oleh pegawai dari NADMA, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) serta MiGHT.
