Majlis Pelancaran Logo Resilient Asia 2025
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Majlis Pelancaran Logo Resilient Asia 2025 | 23 September 2025 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai wakil rasmi YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pagi ini telah melancarkan logo rasmi pameran Resilient Asia 2025 Exposition & Forum di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bertemakan “AI For Future-Proofing Disaster Management Towards Stronger Communities”, pameran Resilient Asia 2025 yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Oktober ini bakal menghimpunkan pelbagai pemegang taruh daripada agensi kerajaan, sektor swasta, pemain industri, institusi pendidikan tinggi, organisasi tempatan dan antarabangsa, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, organisasi masyarakat sivil sehinggalah komuniti akar umbi.
Selaras dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, Resilient Asia 2025 juga bakal menghimpunkan delegasi antarabangsa dari ASEAN, dan negara yang menjalinkan kerjasama strategik dengan Malaysia dalam bidang pengurusan bencana seperti Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jepun, Persekutuan Rusia, Republik Korea, Timor Leste, Türkiye, United Kingdom dan Qatar turut dijemput menyertai pameran ini.
Penyertaan meluas ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana melalui perkongsian pengalaman, inovasi dan amalan terbaik yang diguna pakai dalam mengurus mitigasi dan kesiapsiagaan bencana mengikut disiplin kepakaran masing-masing di peringkat tempatan, serantau dan global.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai forum dan persidangan antarabangsa akan dianjurkan, merangkumi aspek pencegahan, mitigasi, kesiapsiagaan, tindak balas, bantuan kemanusiaan serta pemulihan semula.
