𝐍𝐀𝐃𝐌𝐀 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐑𝐀𝐒 𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐈𝐇𝐀𝐍 𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍𝐈 𝐉𝐄𝐑𝐄𝐁𝐔 𝐃𝐈 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑 | 𝟐𝟎 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
𝐍𝐀𝐃𝐌𝐀 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐑𝐀𝐒 𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐈𝐇𝐀𝐍 𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍𝐈 𝐉𝐄𝐑𝐄𝐁𝐔 𝐃𝐈 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑 | 𝟐𝟎 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini menyelaras pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di sekitar Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta No. 20 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang beroperasi dari Pangkalan Udara Subang.
Operasi siri ke-20 ini bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan membawa empat tangki larutan garam dan berakhir pada jam 3.30 petang. Operasi menyasarkan kawasan sekitar Negeri Johor susulan keadaan jerebu berpanjangan dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) PM2.5 melebihi 170 selama lebih 24 jam di beberapa kawasan, termasuk Johor Bahru, Pasir Gudang, Tangkak, Kota Tinggi, Batu Pahat, Yong Peng, Kluang dan Pengerang.
Pelaksanaan OPA ini merupakan antara langkah pengurangan risiko bencana yang dilaksanakan secara bersepadu oleh NADMA bersama agensi berkaitan bagi menangani situasi jerebu serta mengurangkan risiko terhadap kesihatan, keselamatan awam dan kesejahteraan masyarakat. Operasi hari ini turut disertai YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor merangkap ADUN Yong Peng, serta wakil NADMA dan MET Malaysia sebagai tanda komitmen berterusan dalam melindungi kesejahteraan rakyat.
