Sesi Lawatan Delegasi Persekutuan Rusia ke Menara Kuala Lumpur | 18 Jun 2025
Sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi ke Malaysia, Delegasi Persekutuan Rusia telah dibawa melawat ke Menara Kuala Lumpur (KL Tower), salah satu mercu tanda ikonik negara. Lawatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada delegasi untuk menikmati keindahan panorama 360 darjah bandar raya Kuala Lumpur dari ketinggian lebih 300 meter, malah turut membuka ruang untuk perkongsian pandangan dan pengalaman berhubung pelan kontigensi dan mekanisme pengurusan bencana Malaysia melibatkan bangunan tinggi.
Delegasi juga berpeluang menyaksikan secara langsung kemajuan pesat pembangunan infrastruktur serta landskap ibu negara Malaysia, sekali gus memahami cabaran dan pendekatan Malaysia dalam aspek keselamatan dan kesiapsiagaan bencana di kawasan pesat membangun serta kependudukan tinggi.
Lawatan ini diharap dapat memperkukuh hubungan dua hala melalui pertukaran pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengurusan bencana, di samping memperkenalkan delegasi kepada salah satu destinasi pelancongan utama negara.
Sesi Lawatan Delegasi Persekutuan Rusia ke Pusat Kawalan SMART, Jabatan Pengairan dan Saliran
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Sesi Lawatan Delegasi Persekutuan Rusia ke Pusat Kawalan SMART, Jabatan Pengairan dan Saliran | 18 Jun 2025
Telah berlangsung satu (1) sesi Lawatan Delegasi Persekutuan Rusia ke Pusat Kawalan SMART, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang diketuai oleh Mr. Roman Kurynin, Timbalan Menteri EMERCOM of Russia.
Wakil NADMA yang turut hadir adalah YBrs. Encik Rusli bin Ibrahim, Pengarah Seksyen Dasar; YBrs. Encik Mohd Khairi bin Abd Ghani, Pengarah Seksyen Logistik; YBrs. Encik Ir. Hanizan bin Deraman, Pengarah Seksyen Mitigasi serta pegawai-pegawai NADMA yang lain.
Turut hadir bersama bagi sesi lawatan ini adalah pegawai-pegawai dari Pusat Kawalan SMART yang diketuai oleh Puan Kalsom binti Mean, Pengarah Operasi Pusat Kawalan SMART.
Lawatan ini merupakan platform perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan pengurusan bencana, kejuruteraan terowong pelbagai fungsi serta sistem mitigasi banjir bandar yang diterajui Malaysia.
Delegasi ini telah diberi taklimat ringkas oleh Ir. Siti Azura binti Mat Daud mengenai operasi dan teknologi di sebalik sistem kawalan SMART serta keberkesanannya dalam menangani isu banjir kilat di ibu negara.
18 Jun 2025 - YBhg. Datuk Abdul Halim bin Hamzah, Ketua Pengarah NADMA dan barisan pengurusan tertinggi NADMA serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Rusia bersama-sama menyambut ketibaan H.E Colonel General Alexander V. Kurenkov, Menteri EMERCOM of Russia yang akan mengadakan lawatan selama 2 hari di Malaysia dari 18 hingga 20 Jun 2025.
Lawatan ini bertujuan bagi melihat sendiri latihan bersama antara Pasukan SMART dengan Pasukan EMERCOM RUS-03 sebagai persediaan kedua-dua buah pasukan menjalani INSARAG External Reclassification (IER) pada tahun 2026. Beliau juga akan mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
𝐔𝐒𝐀𝐑 𝐉𝐨𝐢𝐧𝐭 𝐓𝐫𝐚𝐢𝐧𝐢𝐧𝐠 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦𝐦𝐞 𝐛𝐞𝐭𝐰𝐞𝐞𝐧 𝐌𝐀𝐒-𝟎𝟏 𝐚𝐧𝐝 𝐑𝐔𝐒-𝟎𝟑 | 𝟏𝟓 - 𝟐𝟎 𝐉𝐮𝐧𝐞 𝟐𝟎𝟐𝟓
Hari kedua latihan menyaksikan Pasukan SMART Malaysia (MAS-01) dan Rusia (RUS-03), memberi penekanan terhadap aspek taktikal dan operasi di lapangan.
Sesi pagi telah dimulakan dengan pembentangan berkaitan operasi unit K9 JBPM oleh TPgB II Pramnath A/L Hariskisna yang menerangkan tentang peranan anjing pengesan dalam misi mencari dan menyelamat bersama Pasukan MAS-01.
Sesi latihan diteruskan lagi dengan pelaksanaan Latihan Rope Rescue serta Cutting and Breaking di mana ia merupakan salah satu teknik kritikal dalam misi menyelamat mangsa di bawah runtuhan. Pasukan RUS-03 turut berkongsi demonstrasi peralatan khas yang digunakan dalam operasi mereka, membuka ruang kolaborasi teknikal dua hala yang lebih kukuh.
Kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan kesediaan teknikal, malah memperkukuh kepercayaan dan kebolehlaksanaan operasi bersama antara MAS-01 dan RUS-03 ke arah kesiapsiagaan bencana berskala global.
𝐔𝐒𝐀𝐑 𝐉𝐨𝐢𝐧𝐭 𝐓𝐫𝐚𝐢𝐧𝐢𝐧𝐠 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦𝐦𝐞 𝐛𝐞𝐭𝐰𝐞𝐞𝐧 𝐌𝐀𝐒-𝟎𝟏 𝐚𝐧𝐝 𝐑𝐔𝐒-𝟎𝟑 | 𝟏𝟓 - 𝟐𝟎 𝐉𝐮𝐧𝐞 𝟐𝟎𝟐𝟓
Telah berlangsung Majlis Pembukaan bagi sesi Latihan bersama Urban Search and Rescue (USAR) antara Pasukan SMART Malaysia (MAS-01) dan EMERCOM Rusia (RUS-03) yang dirasmikan oleh YBrs. Encik Addyhanis Bin Ahamad, Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA.
Seramai 27 orang terdiri daripada 6 orang pegawai, 21 orang anggota Pasukan RUS-03 telah tiba di Ibu Pejabat Markas SMART, Puchong. Hari pertama sesi latihan telah dimulakan dengan kelas teori yang disampaikan oleh Pasukan SMART. Latihan ini adalah sebahagian daripada persediaan Pasukan RUS-03 untuk penilaian semula INSARAG serta memperkukuh kebolehlaksanaan operasi bersama di lapangan. Sepanjang latihan ini, DSP Safrizan bin Suhaini, Ketua Logistik Pasukan SMART telah memainkan peranan sebagai mentor kepada Pasukan RUS-03.
Kerjasama ini juga mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam meningkatkan kesiapsiagaan rentas sempadan, membina kepercayaan dan memperkukuh jaringan tindak balas bencana di peringkat global selaras dengan kerangka antarabangsa seperti Sendai Framework.
