PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir kilat landa Puncak Alam, pusaran air turut dirakam penduduk

Banjir kilat landa Puncak Alam, pusaran air turut dirakam penduduk

KUALA LUMPUR, 5 Nov: Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan sekitar Puncak Alam, Selangor dilanda banjir kilat petang ini, dengan rakaman yang tular di media sosial turut memperlihatkan pembentukan pusaran air berhampiran sebuah kolam di kawasan perumahan.

Rakaman yang dikongsikan menerusi platform Threads itu dipercayai dirakam berhampiran persimpangan tiga berdekatan Palm Hillpark.

Seorang pengguna Threads @faridpawed memaklumkan rakaman tersebut diperoleh daripada penduduk setempat, selain mendakwa pusaran air turut kelihatan di kawasan kolam berkenaan.

Sementara itu, antara lokasi yang dilaporkan terjejas akibat banjir kilat ialah sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Alam Suria dan Saujana Utama, Sungai Buloh.

Keadaan sama turut dilaporkan berlaku di Jalan Meru menghala ke Puncak Alam, berhampiran persimpangan Kampung Bukit Cerakah.

Beberapa perkongsian di media sosial turut memaparkan keadaan jalan raya yang ditenggelami air, termasuk laluan dari Saujana Utama menghala ke Eco Grandeur.

Rakaman lain memperlihatkan kawasan parkir berhampiran bangunan UiTM Puncak Alam digenangi air keruh, manakala beberapa kenderaan dilihat berada di kawasan terjejas.

Hujan lebat dilaporkan masih berterusan di sekitar Puncak Alam sehingga jam 6 petang tadi.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ribut petir dijangka melanda kebanyakan kawasan di Selangor pada sebelah petang dan malam, termasuk daerah Kuala Selangor.

Setakat ini, jumlah penduduk terjejas serta tahap keselamatan laluan yang dinaiki air masih belum dapat dipastikan, sementara tiada pengesahan rasmi berhubung sebarang kejadian kecemasan akibat banjir kilat berkenaan. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search