PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Previous Next

12 Mac 2025 - YDH DCP Datuk Mazli bin Mazlan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA telah membuat tinjauan situasi bencana banjir, kesan kerosakan akibat bencana dan insiden tanah runtuh yang berlaku di Daerah Tenom dan Keningau, Sabah. Sesi lawatan ini telah dibantu oleh PPj. (PA) Mulliadi Al-Hamdi bin Ladin, Timbalan Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA.
 
Daerah Tenom - Kehadiran beliau telah disambut oleh En. Mas Syazwan bin Masood, Pegawai Daerah Tenom merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tenom, Supt. Azmir bin Abd. Razak, Ketua Polis Daerah Tenom dan beberapa wakil agensi/jabatan kerajaan peringkat Daerah Tenom seperti APM, JBPM, JKM, KKM, ATM, RELA dan UPPM.
 
Tinjauan utama adalah di lokasi kejadian tanah runtuh di 5 lokasi di sepanjang kilometer 22 Jalan Tenom-Keningau yang mengakibatkan beberapa salur paip air utama Daerah Tenom telah pecah sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di Daerah Tenom yang telah terputus selama 5 hari (termasuk hari ini). Antara lokasi yang dilawati di Tenom adalah Kilometer 22 Jalan Tenom-Keningau, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Tenom, PPS Dewan Sri Antanom dan PPS SJK(C) Chung Hwa.
 
Daerah Keningau - Kehadiran beliau telah disambut oleh YB Datuk Annuar Ayub Aman, ADUN N.41 Liawan, En. Peter Jonu @ Peter J.Moinjil, Pegawai Daerah Keningau merangkap Pengerusi JPBD Keningau, DSP Alizam bin Hj Dalaman, Timbalan Ketua Polis Daerah Keningau dan beberapa wakil agensi/jabatan kerajaan peringkat Daerah Keningau seperti APM, JBPM, JKM, KKM, RELA dan UPPM.
 
Tinjauan pertama di daerah ini adalah di lokasi insiden jambatan runtuh/roboh di Kg Senagang dan kesan kerosakan fasiliti setempat akibat banjir di Kg Kauran, Keningau. Antara lokasi yang dilawati di Keningau adalah Jambatan runtuh/roboh di Kg Senagang, kesan kerosakan fasiliti akibat bencana banjir di Kg Kauran dan Kg Minansut, Bingkor dan lokasi tanah runtuh di kilometer 14.3 Jalan Keningau-Kimanis.
Previous Next

Sesi Memasak Bubur Lambuk di Yayasan Food Bank Malaysia dan Agihan Bubur Lambuk serta Kurma di MRT Putrajaya bersempena Program Semarakkan Ramadan bersama Dunkin' Tahun 2025 | 12 Mac 2025
 
Telah berlangsung sesi memasak bubur lambuk di Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) yang dirasmikan oleh YB Dato' Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, Isteri Perdana Menteri bagi memeriahkan lagi suasana program ini. Program ini turut diserikan dengan kehadiran 10 orang sukarelawan daripada Ahli Puspanita Cawangan Kecil NADMA yang telah memulakan tugas mereka sejak jam 7.30 pagi, bekerjasama dengan sukarelawan YFBM dan anggota bomba dalam sesi memasak dan pembungkusan bubur lambuk. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk memupuk semangat kesukarelawan, tetapi juga untuk memperkukuhkan kerjasama antara semua pihak yang terlibat, sekali gus mengeratkan silaturrahim dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Previous Next

Sesi Perbincangan bersama-sama Ministry of Land, Infrastructure, Transport and Tourism (MLIT), Government of Japan | 11 Mac 2025 | Ibu Pejabat NADMA, Putrajaya
 
Sesi perbincangan ini telah diadakan bagi lanjutan pertemuan di antara YAB Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Jepun pada bulan Januari yang lalu untuk membincangkan potensi kerjasama antara Malaysia dengan Jepun menerusi perkongsian pengetahuan, pengalaman, strategi dan teknologi terkini Jepun dalam pengurangan risiko bencana untuk membantu Malaysia dalam menguruskan bencana banjir. Negara Jepun mempunyai pengalaman yang luas dan teknologi yang terkini dalam meminimumkan risiko dan impak bencana. Menerusi kerjasama dan perkongsian ini, Malaysia boleh berkembang maju dalam kesiapsiagaan dan ketahanan menghadapi bencana.
 
Sesi perbincangan ini dimulakan dengan pembentangan berkaitan mekanisme dan teknologi pengurusan bencana di Jepun diikuti dengan pembentangan daripada syarikat-syarikat yang mencadangkan teknologi terkini yang sesuai digunakan di Malaysia sebagai strategi pengurangan risiko bencana. Antara cadangannya adalah penggunaan Hazard Map, Stormwater Storage, Remote Sensing Technology for Dam Deformation Monitoring “LIANA”, River Survey Using Airborne LIDAR Bathymetry (ALB) dan Flood and Landslide Simulation System.
 
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia turut berkongsi maklumat mengenai inisiatif pengurusan risiko banjir di Malaysia, termasuk terowong Pasukan SMART bagi mitigasi banjir bandar, infrastruktur empangan SABO di Malaysia serta kejadian banjir yang mengangkut runtuhan sedimen. Malaysia juga telah memperkenalkan PRABN (Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara) yang digunakan untuk ramalan dan pemantauan banjir serta NAWABS (Sistem Pengurusan Keseimbangan Air Negara) bagi pengurusan kemarau. Perbincangan ini berperanan sebagai pemangkin dalam mewujudkan kerjasama dan perkongsian strategik antara NADMA dan MLIT, Jepun pada masa-masa akan datang.
 
Di pihak Jepun, sesi ini telah dihadiri oleh Mr. Fumoto Hiroshi, Pengarah MLIT, Jepun dan diiringi oleh Mr. Nishimura Akira, Timbalan Pengarah, Overseas Projects Division, MLIT, Mr. Saito Yoichiro, wakil Kedutaan Jepun di Malaysia dan juga beberapa wakil daripada syarikat swasta Jepun yang berkepakaran dalam bidang pengurangan risiko bencana. Manakala pihak NADMA telah dihadiri oleh Encik Rusli bin Ibrahim, Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan, Encik Mohd Khairi bin Abd. Ghani, Pengarah Seksyen Logistik, Ir. Mohamad Radzi bin Abdul Talib, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes), Jabatan Pengairan dan Saliran, Tuan Haji Kamaruddan bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Mineral dan Geosains, Encik Mohamed Fadzli bin Rahman, Penolong Pengarah Kanan, Unit Perancangan Geosains, Jabatan Mineral dan Geosains dan pegawai-pegawai daripada Seksyen Dasar dan Perancangan serta Seksyen Mitigasi.
Previous Next

11 Mac 2025 – Telah berlangsung sesi tinjauan dan pemantauan bencana banjir di Daerah Beaufort dan Membakut, Sabah oleh YDH DCP Datuk Mazli bin Mazlan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA. Dalam sesi ini, beliau telah berjumpa dengan wakil-wakil agensi/jabatan yang berperanan dalam pengurusan bencana di peringkat JPBD ini. Beberapa perkara dan isu yang memerlukan pencerahan telah pun di rungkaikan oleh beliau kepada wakil-wakil agensi/jabatan di sini.
 
YDH Datuk turut melawat ke beberapa lokasi antaranya ialah PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort (juga lokasi baru PKOB Beaufort), Pusat Pemindahan Mangsa Bencana Daerah Beaufort, PPS Dewan Kesenian Islam, Membakut (juga lokasi baru PKOB Membakut) dan sekitar sungai Padas dan Pekan Beaufort yang ditenggelami air.
 
Turut berada di lokasi ialah Encik Mohd Nazri bin Ajun, Pegawai Daerah Beaufort, Supt. Wong Leong Ming, Ketua Polis Daerah Beaufort dan beberapa wakil agensi/jabatan yang lain seperti APM, JBPM, JKM, KKM, RELA, ATM dan lain-lain di peringkat JPBD. Sesi lawatan YDH Datuk ini telah dibantu oleh PPj. (PA) Mulliadi Al-Hamdi bin Ladin, Timbalan Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA.
Previous Next

The Disasters Expo in Miami dan Lawatan ke Miami-Dade County Department of Emergency Management | 5 hingga 7 Mac 2025
 
Telah berlangsung Disaster Expo 2025 bertempat di Miami Beach Convention Center, Florida, Amerika Syarikat. Sesi persidangan ini telah dihadiri oleh YBrs. Tuan Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) dan Encik Shanmugam A/L Gopalan, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Penyelarasan Operasi.
 
Disaster Expo 2025 telah menghimpunkan pakar industri, agensi kerajaan, dan pihak berkepentingan dalam pengurusan bencana dari sekitar Amerika Syarikat untuk berkongsi pengalaman, strategi serta teknologi terkini dalam menghadapi dan menangani pelbagai jenis bencana. Beberapa teknologi terutamanya bagi menangani banjir telah ditemu oleh delegasi NADMA untuk mendapatkan gambaran lanjut berhubung peralatan terbaharu dalam pasaran.
 
Selain itu, delegasi NADMA turut mengadakan kunjungan rasmi ke Miami-Dade County Department of Emergency Management dimana Dr. Jesse Spearo, Assistant Director telah memberikan penjelasan lanjut berhubung tugasan asas Miami-Dade County Department of Emergency Management. Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung pelaksanaan strategi pengurusan bencana oleh pihak berkuasa tempatan serta meninjau operasi pusat kawalan bencana yang digunakan dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan dan pemulihan pasca bencana. Kunjungan ini telah memberi peluang kepada NADMA untuk memahami pendekatan terbaik dalam pengurusan bencana, termasuk teknologi terkini yang digunakan dalam perancangan, penyelarasan, serta pelaksanaan operasi bantuan dan pemulihan.
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search