KUALA LUMPUR: Kadar taburan hujan di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh lima hari, dari 26 hingga 30 November lalu adalah jauh daripada jangkaan, melebihi kadar hujan yang lazimnya diterima selama enam bulan, sehingga membawa kepada banjir besar di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di Kelantan, dalam tempoh berkenaan, bacaan di stesen hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencecah lebih 1,167 milimeter (mm), manakala berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), bacaan adalah pada kadar 1,442 mm.
"Itu adalah rekod hujan yang terlalu tinggi. Di Terengganu umpamanya, METMalaysia rekod di Besut, mencatatkan jumlah hujan sebanyak 1,761 mm, itu dalam tempoh lima hari dan secara umumnya mencatatkan 1,439 mm.
"Jadi memang jauh luar daripada jangkaan. Maknanya lima hari kadar hujannya itu lebih daripada enam bulan biasa," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai sama ada Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) akan dipercepat bagi membolehkan semua fasiliti besar mitigasi banjir disegerakan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) ke Pantai Timur, susulan banjir dalam skala luar biasa kini yang melanda seluruh negara, yang akan menempuh beberapa gelombang.
Perdana Menteri berkata, DRR diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan gerak kerja pada kali ini disifatkan beliau sangat memuaskan.
"Saya juga menghargai kerana persiapannya berbulan-bulan sebelum itu. Mesyuarat di Persekutuan, kerajaan negeri dan wakil daerah, dan ini menyebabkan langkah diambil seperti yang saya saksikan sendiri di Terengganu dan daripada rakan lain saksikan di Kelantan sangat memuaskan," katanya.
Memperincikan kemajuan projek tebatan banjir di Pantai Timur, Perdana Menteri, berkata di Kelantan, Fasa Satu, meliputi jajahan Tumpat dan sebahagian Pasir Mas sudah siap 70 peratus dan dijangka siap pada awal 2026.
TUMPAT: Polis Kelantan bersiap siaga menghadapi risiko gelombang kedua banjir yang mungkin melanda negeri ini, dengan segala aset diperlukan sudah diaktifkan termasuk helikopter.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata helikopter itu kini berada di Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pengkalan Chepa.
"Kita sudah bersiap sedia.... daerah mana akan difokuskan belum diputuska. Apa pun kita akan rujuk jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dari semasa ke semasa," katanya.
METMalaysia semalam menjangkakan luruan monsun berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung.
Mengenai situasi banjir di Kelantan, Mohd Yusoff berkata sejak semalam hujan tidak lagi melanda dan paras air di sesetengah tempat mulai menurun, manakala mangsa berlindung pusat pemindahan sementara (PPS) sudah berkurangan kepada hampir 50,000 berbanding lebih 90,000 sebelum ini.
Selain itu, berdasarkan analisis model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula petang hari ini sehingga awal pagi esok.
Mengenai situasi banjir di Kelantan, Mohd Yusoff berkata sejak semalam hujan tidak lagi melanda dan paras air di sesetengah tempat mulai menurun, manakala mangsa berlindung pusat pemindahan sementara (PPS) sudah berkurangan kepada hampir 50,000 berbanding lebih 90,000 sebelum ini.
"Sedikit sahaja berlaku penurunan sama ada paras air atau mangsa di PPS... kami juga menerima laporan mengenai dua rumah runtuh serta empat jalan rosak serta terputus di daerah ini.
"Empat jalan terbabit adalah Jalan Jubakar Pantai-Taman Sri Bayu, Jalan Sungai Tapang Kampung Jubakar Pantai, jalan utama Kampung Tujoh dan Jalan Kampung Baru Nelayan.
"Menjelang gelombang kedua nanti, kita nasihatkan penduduk di lokasi berisiko untuk berpindah awal kerana ketika banjir lalu ramai berpindah tergesa-gesa," katanya memaklumkan pasukannya turut menjalankan rondaan cegah jenayah di lokasi banjir.
Terdahulu beliau hadir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung, di sini mengiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang mencemar duli menyantuni mangsa, selain menyampaikan sumbangan.
95,207 mangsa banjir di PPS pagi ini
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Seramai 95,207 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara, pagi ini.
Setakat 8 pagi, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, semua mangsa itu terdiri daripada 28,631 keluarga yang masih berlindung di 399 PPS di lapan negeri terjejas.
Daripada jumlah itu, Kelantan masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 58, 671 orang daripada 18,567 keluarga ditempatkan di 161 PPS.
Ini diikuti Terengganu, 25,258 mangsa daripada 6,613 keluarga dari lapan daerah terjejas masih mendapatkan perlindungan di 143 PPS.
Di Kedah, seramai 7,501 orang daripada 2,309 keluarga ditempatkan di 40 PPS manakala Pahang merekodkan 1,855 mangsa daripada 601 masih berlindung di 22 PPS.
Selain itu, dua PPS di Melaka masih dibuka bagi menempatkan 161 orang daripada 42 keluarga manakala Perlis mengaktifkan sebuah PPS untuk memberi perlindungan kepada 69 orang daripada sembilan keluarga.
Berdasarkan ramalan cuaca semasa disiarkan dalam laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), semua lokasi di ibu negeri hari ini masing-masing merekodkan cuaca panas manakala hanya Labuan hujan.
Kota Bharu: Keadaan cuaca baik sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di Kelantan terutama kediaman sudah pulih daripada banjir.
Situasi itu membolehkan penduduk pulang ke rumah masing-masing sejak semalam dan menyebabkan mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 58,141 orang setakat 7 pagi ini berbanding 62,507 orang malam tadi.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir berkenaan berlindung di 168 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.
Jumlah mangsa banjir di Pasir Mas adalah seramai 28,029 orang daripada 9,257 keluarga berlindung di 60 PPS, diikuti Tumpat (21, 082 orang, 6,542 keluarga di 47 PPS).
Mangsa banjir di Bachok (2,699 orang, 771 keluarga, 13 PPS), Kuala Krai (2,476 orang, 722 keluarga di 14 PPS), Kota Bharu (1,418 orang, 430 keluarga di 17 PPS), Pasir Puteh (1,053 orang, 355 keluarga di tujuh PPS),
Machang (957 orang, 113 keluarga di lima PPS) dan Tanah Merah (427 orang, 148 keluarga di lima PPS).
Sementara itu, dua sungai di Kelantan melepasi paras bahaya sehingga 8 pagi ini, namun menunjukkan trend menurun.
Berdasarkan publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 10.21 meter (m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (3.94m).
Satu sungai melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Semerak di Pasir Puteh dengan bacaan 2.12m.
Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 99,823 orang malam ini berbanding 112,455 petang tadi dengan Kelantan terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi.
Namun, situasi banjir di tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Johor mencatatkan peningkatan jumlah mangsa setakat 8 malam ini manakala di Negeri Sembilan kesemua PPS ditutup sepenuhnya.
Angka kematian akibat banjir pula meningkat kepada tujuh orang selepas seorang lelaki yang dilaporkan hilang setelah motosikal ditunggang dihanyutkan arus sebelum ditemukan lemas di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 3, Dungun, Terengganu hari ini.
Di KELANTAN, setakat 8 malam ini, jumlah mangsa terus mencatat penurunan kepada 62,507 orang membabitkan 19,482 keluarga yang ditempatkan di 169 PPS berbanding 71,004 orang petang tadi.
Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 27,595 orang, diikuti Tumpat (21,070), Kota Bharu (1,421), Pasir Puteh (3,997) dan Kuala Krai (3,025), Bachok dengan 3,355 mangsa, Machang (1,618) dan Tanah Merah seramai 426 orang.
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan hanya dua sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya namun dalam trend menurun iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (10.34 meter) dan Sungai Golok di Tumpat (4.03 meter).
Keadaan di TERENGGANU turut menyaksikan jumlah mangsa yang berada di PPS di lapan daerah berkurangan kepada 26,693 orang yang berlindung di 150 PPS setakat 8 malam ini berbanding 30,682 orang pada 4 petang tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JBPNT) memaklumkan daerah Dungun masih mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 8,363 orang di 32 PPS diikuti Kuala Nerus (6,626 mangsa, 17 PPS), Besut (4,671 mangsa, 40 PPS) dan Kuala Terengganu (3,891 mangsa, 12 PPS), Hulu Terengganu (1,136 mangsa, 21 PPS), Setiu (841 mangsa, 15 PPS), Marang (685 mangsa, sembilan PPS) dan Kemaman (480 mangsa, empat PPS).
Dalam pada itu, paras air sungai di tiga stesen iaitu Parit Utama di Padang Kemunting dan Sungai Nerus di Kampung Jeram dalam daerah Kuala Nerus serta Sungai Telemong di Kuala Ping di Hulu Terengganu masih melebihi tahap bahaya.
Tiga lagi stesen iaitu Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu serta Sungai Terengganu di Muzium Terengganu, Kuala Terengganu melepasi paras amaran dengan trend menaik.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir turut berkurangan kepada 7,143 orang daripada 2,176 keluarga malam ini berbanding 7,383 orang daripada 2,234 keluarga pada sebelah petang tadi yang ditempatkan di 42 PPS di lima daerah terjejas.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi seramai 3,987 mangsa daripada 1,203 keluarga, diikuti Kubang Pasu (2,025 orang daripada 642 keluarga); Pokok Sena (574 orang daripada 171 keluarga); Padang Terap (311 orang daripada 89 keluarga) dan Sik seramai 246 orang daripada 71 keluarga.
Di PERLIS, jumlah mangsa banjir juga mencatatkan penurunan kepada 43 orang malam ini dengan kesemua mereka berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Arau di Arau.