PETALING JAYA – Malaysia meneroka potensi kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (Nadma) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis, dan Bencana Nasional (NCEMA) Emiriah Arab Bersatu (UAE).
NCEMA UAE merupakan sebuah badan utama di bawah Majlis Keselamatan Negara yang berkepakaran luas dalam pengurusan krisis merentasi pelbagai sektor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman UAE menangani cabaran bencana kompleks memberikan pengetahuan berharga dalam usaha Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, saya melihat ini adalah nilai tambah yang baik buat Malaysia untuk mempelajari amalan pengurusan krisis seperti UAE,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu katanya, Nadma telah merangka beberapa cadangan antaranya menenerusi pemerhatian bumi menggunakan imej satelit untuk mengumpul data kritikal.
“Turut terlibat, sistem platform ketinggian tinggi yang menggunakan dron dan belon ketinggian tinggi, penggunaan kecerdasan buatan (Al).
“Kenderaan Tindak Balas Bencana Khas Mengambil pengajaran daripada penggunaan kenderaan canggih UAE dalam pengurusan bencana untuk tindak balas yang lebih berkesan dan pantas,” ujarnya.
Selain luar pengurusan bencana Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga meneroka peluang kerjasama dalam sektor halal, termasuk pensijilan dan pengembangan potensi perdagangan halal.
“Di samping itu, kami membincangkan inisiatif untuk memajukan usaha tenaga boleh diperbaharui di Malaysia serta meneroka kerjasama dalam sektor Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memudahkan pertukaran pengetahuan.
“Kolaborasi ini akan mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia-UAE seterusnya mengangkat perkongsian ke tahap lebih tinggi dan kukuh untuk pertumbuhan bersama,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.
Penduduk Aceh siap siaga jalani latihan bencana menjelang ulang tahun ke-20 tragedi tsunami 2004
- Admin UKK
- Berita
BANDA ACEH: Penduduk di sini bersiap siaga dengan mengikuti latihan bencana hari ini, selepas wilayah utara Sumatera itu paling teruk terjejas akibat tsunami Lautan Hindi pada 2004.
Menjelang ulang tahun ke-20, bulan depan, penduduk mengikuti latihan bencana dengan simulasi termasuk kanak-kanak berlari menyelamatkan diri dari tingkat dua sebuah sekolah.
Apabila loceng sekolah berbunyi, puluhan kanak-kanak berlari ke jalan raya mengikuti laluan keluar yang sudah ditandai, sementara sukarelawan berteriak 'evakuasi'.
Peserta latihan, Rizky Firmansyah, 34, berkata latihan itu membantu orang ramai memahami tindakan yang patut dilakukan jika berlaku kejadian tidak diingini.
"Lebih baik kita bersiap sedia lebih awal menghadapi perkara yang tidak diingini," katanya.
Latihan berkenaan menggunakan simulasi gempa bumi dengan kekuatan 9.2 magnitud yang melanda di luar pantai barat pulau Sumatera, Indonesia, pada 26 Disember 2004, mencetuskan gelombang besar yang mengorbankan lebih 200,000 orang di 14 negara.
Latihan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyaksikan ratusan pelajar dan sukarelawan berlari ke rumah-rumah perlindungan, termasuk sebuah bangunan empat tingkat, ketika latihan gempa bumi itu dilakukan.
Latihan yang berlangsung di dua kampung dan disaksikan oleh ratusan pemerhati adalah sebahagian daripada sidang kemuncak tsunami yang diadakan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Hampir 20 tahun selepas bencana itu berlaku, PBB berusaha memastikan 100 peratus komuniti pesisir pantai bersiap sedia untuk kemungkinan tsunami berulang menjelang 2030.
Pegawai UNESCO merangkap Ketua Pusat Maklumat Tsunami Lautan Hindi, Ardito Kodijat, berkata pihaknya perlu memastikan bahawa generasi akan datang perlu sentiasa diberi maklumat, bersedia dan berdaya tahan.
"Bagi menjamin kesiapsiagaan masyarakat, mereka memerlukan latihan berkala," katanya.
Indonesia adalah satu daripada negara paling terdedah kepada bencana di dunia. Negara kepulauan itu berada di kawasan Lingkaran Api Pasifik, berlaku di kawasan pertemuan dua plat tektonik dan banyak letusan gunung berapi serta gempa bumi dunia berlaku. - AFP
Ketika Monsun Timur Laut mula melanda negara - dan membawa lebih banyak hujan khususnya di Pantai Timur - Kelantan mempunyai perancangan tersendiri khususnya melibatkan sektor pelancongan.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Kamarudin Md Noor, biasanya semasa musim tengkujuh sektor tersebut agak sepi.
Katanya, Kelantan mahu keadaan itu berubah pada kali ini. Justeru kerajaan negeri sedang mengatur pelbagai program yang dianggap sesuai semasa musim tengkujuh.
Antaranya, kata Kamaruddin, penyediaan makanan istimewa dan kegiatan meluncur ombak.
“Kalau kita perhatikan pada musim tengkujuh ada beberapa jenis makanan yang hanya ada semasa musim tersebut.
"Contohnya putu halba, masakan yang berasaskan ikan darat serta beberapa jenis ubi,” katanya yang dipetik Harakahdaily hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Monsul Timur Laut mula melanda Semenanjung Malaysia mulai 5 Nov dan berpanjangan sehingga Mac tahun depan.
Semasa musim itu melanda, dijangka ada lima episod luruan sejuk - dengan angin kencang yang membawa kelembapan tinggi dan hujan lebat berterusan - berlangsung.
Setiap episod luruan sejuk itu pula berpotensi menyebabkan banjir besar di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu antara Nov hingga Dis, sebelum diikuti Pahang dan Johor pada hujung tahun hingga awal 2025.
Pun begitu kerajaan Kelantan dilaporkan sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata pengalaman berdepan 'bah kuning' pada 2014 banyak memberi pengajaran kepada kerajaan negeri untuk sentiasa bersedia dengan perancangan awal.
Kata Kamaruddin semasa musim tengkujuh ramai pelancong mengelak daripada berkunjung ke Kelantan kerana bimbang terhadap risiko banjir.
Pakej main hujan
Pun begitu kerajaan negeri berpendapat ada keistimewaan lain yang hanya dapat dinikmati semasa musim tersebut, khususnya untuk orang di luar Kelantan.
Menurut Kamaruddin, makanan istimewa semasa banjir adalah perkara lumrah untuk penduduk setempat namun sesuatu yang baru buat orang lain.
“Kegiatan luncur ombak pula sangat sesuai pada musim tengkujuh memandangkan ombaknya begitu besar.
"Sekarang ini aktiviti luncur ombak sedang berkembang di Pantai Timur Semenanjung Malaysia," katanya lagi.
Pengerusi Bersatu Kelantan itu juga menambah, ada beberapa pusat percutian yang mengadakan aktiviti meluncur ombak.
"Ini sesuatu yang bagus. Kita akan uar-uarkan untuk menarik pelancong tempatan dan antarabangsa datang,” jelasnya.
Untuk rekod, pelan pelancongan musim tengkujuh turut digerakkan oleh kerajaan Terengganu pada tahun lalu.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Razali Idris, biasanya musim tengkujuh digambarkan sebagai waktu yang tidak sesuai untuk melancong ke negeri itu.
"Persepsi ini salah kerana kita masih banyak produk pelancongan yang boleh ditawarkan termasuk pakej main hujan di Setiu Wetland, Rainforest Challenge, Monsoon Ride dan macam-macam lagi," katanya.
PENAMPANG - Sebanyak 21 bangunan awam akan diwartakan sebagai persiapan menghadapi musim banjir selepas bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) yang akan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, walaupun projek tebatan banjir untuk di kawasannya sedang berjalan namun dari segi persiapan lain turut dilakukan dengan melakukan perbincangan dengan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah bagin mewartakan sekitar 21 bangunan awam di kawasan kampung yang terjejas untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
"Ini supaya semasa banjir penduduk kampung itu hanya perlu dipindahkan ke tempat tersebut kerana kalau selama ini di Penampang walaupun banjir berlaku di banyak kampung tetapi pusat pemindahannya hanya satu iaitu Pusat Kebudayaan Penampang.
"Jadi saya telah meminta dan akhirnya telah diputuskan di Jawatankuasa Pembangunan Daerah supaya 21 bangunan awam lain di seluruh Penampang ini dapat ditambah dan diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara sewaktu musim banjir.
"Jadi insiden bantuan RM1,000 itu tidak lagi wujud kerana mereka hanya boleh berpindah di PPS di kampung mereka sendiri, kerana saya telah melihat sendiri operasi menyelamat tidak praktikal untuk pasukan penyelamat masuk ke kampung-kampung dalam keadaan bergelap dan arus banjir yang kuat itu untuk membawa mangsa ke Pusat Kebudayaan Penampang seperti yang berlaku pada Jun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memnyampaikan kanopi kepada penjaja dan peniaga kecil di Tamu Donggongon di sini pada Rabu.
Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai persediaan untuk menghadapi MTL yang dijangka akan memberi kesan kepada Sabah termasuk Penampang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan MTL bermula pada 5 November lalu dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh sehingga Mac 2023.
Dilaporkan, pada Januari hingga Februari 2025 negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku hujan lebat ialah Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Sementara itu, mengulas mengenai program yang dihadirinya, beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, seramai 434 penjaja diberikan kanopi untuk memudahkan mereka berniaga sementara Tamu Dongonggon yang sedia ada dinaik taraf ketika ini.
"Mudah-mudahan ini dapat memberikan manfaat kepada mereka untuk meneruskan aktiviti perusahaan mereka pada hari-hari biasa ataupun pada hari semasa mereka berniaga," katanya.
PETALING JAYA – Empat lokasi di semenanjung Malaysia dijangka mengalami kenaikan paras air laut ekoran fenomena air pasang besar atau Air Pasang Perbani bermula 15 hingga 18 November ini.
Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dalam hantaran di Facebook berkata, kawasan-kawasan di bahagian barat Semenanjung bakal terjejas akibat fenomena air pasang ekstrem tersebut.
“Antara lokasi yang dijangka berisiko ialah pekan Teluk Intan di Perak yang akan terkesan pada 15 hingga 17 November, diikuti Terminal Penumpang South Port, Pelabuhan Klang, Selangor pada 16 hingga 17 November.
“Seterusnya, Pekan Kukup di Johor dan Pekan Kuala Kedah, Kedah pula diramalkan mengalami fenomena ini pada 16 hingga 18 November,” katanya.
Jupem memaklumkan, fenomena itu berlaku ekoran kenaikan paras air laut yang lebih tinggi daripada biasa dan boleh menyebabkan limpahan air laut ke daratan, sekali gus meningkatkan risiko banjir pantai.
Orang ramai terutamanya golongan berisiko diingatkan agar lebih berwaspada dan merancang untuk menghadapi bencana alam ini. – KOSMO! ONLINE