SHAH ALAM: Jalan-jalan utama di sekitar bandar raya ini dan Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih tiga jam sejak awal pagi tadi.
Antara kawasan terlibat termasuklah Seksyen 13 berdekatan Stadium Shah Alam apabila paras air Sungai Damansara meningkat, selain itu turut dilanda banjir kilat di kawasan Setia Alam, Bukit Raja dan Meru dengan ketinggian sehingga dua kaki.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, suslan hujan lebat pagi tadi pihaknya menggerakkan pegawai dan anggota dari balai-balai berhampiran bagi memantau.
“Terdapat banjir kilat berkedalaman dua kaki (Jalan Setia Prima E U13/E – Bandar Setia Alam). Tiada mangsa yang terperangkap dilaporkan dan paras air semakin surut.
“Semua balai membuat pemantauan. Namun tiada panggilan kecemasan diterima.Kami membuat pemantauan sahaja,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, jalan utama termasuk lebuh raya menuju ke Kuala Lumpur dilaporkan dinaiki air pada pagi tadi sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas serta beberapa buah kenderaan terkandas.
Antara laluan terlibat termasuk dua laluan utama di Selangor iaitu Kilometer 3.3 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Jalan Kuala Selangor mengalami kesesakan pada pagi ini.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kenyataan memaklumkan banjir kilat dilaporkan berlaku sekitar Lebuhraya Damansara Puchong.
“Menerusi laporan dikeluarkan kira-kira jam 8.16 pagi, berlakunya banjir kilat di Kilometer 4.9 hingga 5.0 arah Utara dari Bandar Utama ke Penchala. Laluan susur serta lorong tengah dan lorong kiri laluan utama terhalang mengakibatkan kesesakan trafik,” jelasnya.
Selain itu, banjir kilat juga dilaporkan melanda laluan utama dari Aman Puri menghala ke Kepung serta jalan raya sekitar Batu Caves sehingga menyebabkan kesesakan trafik kira-kira sejam. – UTUSAN
TEMERLOH: Seramai 32 pegawai dan 104 anggota polis bersama 568 anggota pelbagai jabatan bersiap siaga dan sudah melakukan persiapan rapi bagi berdepan kemungkinkan banjir di Temerloh ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah pun bermula bulan ini.
Musibah banjir besar yang menenggelamkan Temerloh pada 2014, diikuti Mentakab pada 2021 menjadi penanda aras kepada semua pihak di daerah ini untuk melakukan persediaan rapi dan menyeluruh.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, pihaknya sudah pun mengatur penugasan di zon-zon yang ditetapkan selain mengenalpasti kawasan ‘hot spot’.
“Sebanyak enam zon dibahagikan untuk memudahkan sebarang maklumat dan logistik serta gerakan penyelamatan iaitu Mentakab, Lanchang, Kuala Krau dan Temerloh. Pembahagian zon-zon itu dapat memudahkan usaha penyelamatan dengan dikawal oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.
“Saya juga berharap anggota yang terlibat telah bersiap sedia untuk membantu mangsa banjir dan pada Oktober lalu kita telah melakukan proses penyelamatan banjir di Mentakab, syukur tiada sebarang insiden berlaku,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh di sini hari ini.
Menurut Mazlan, mesyuarat dan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan sudah dilakukan bagi memastikan persediaan lengkap dalam berhadapan situasi banjir.
Katanya, pihaknya serta agensi berkaitan juga sentiasa melakukan pemantuan keadaan cuaca dan kawasan di daerah ini dari semasa ke semasa. – UTUSAN
Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat susulan Lipis menjadi daerah terbaharu dilanda bencana itu, menurut Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 9 pagi semalam.
Laporan itu memaklumkan sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Lipis yang menempatkan 218 mangsa daripada 61 keluarga iaitu Sekolah Kebangsaan Kechaui Tui (133 orang daripada 34 keluarga) dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui (85 orang daripada 27 keluarga).
Raub yang mula dilanda banjir awal pagi semalam, mencatatkan pertambahan bilangan mangsa kepada 223 orang daripada 66 keluarga yang berlindung di enam PPS berbanding 99 orang daripada 25 keluarga di dua PPS semalam.
Enam PPS terbabit ialah Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Masjid Kampung Pintu Padang, Pusat Kegiatan Kemas Gali, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu.
“Jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini melibatkan Lipis dan Raub setakat pukul 9 pagi adalah sebanyak 441 mangsa daripada 127 keluarga dengan pembukaan lapan PPS,” menurut laporan itu.
Monsun Timur Laut secara zahirnya sudah bermula awal bulan ini dan berlanjutan sehingga Mac tahun hadapan. Musim monsun ini dikaitkan dengan tengkujuh di Malaysia susulan hujan lebat dan kerap berlaku sepanjang tempoh ini dan lazimnya mengakibatkan banjir di kawasan rendah serta berhampiran sungai.
Hujan lebat berserta banjir boleh menyebabkan kerosakan infrastruktur negara, terutama jalan raya yang menjadi nadi utama penghubung masyarakat dan ekonomi. Kerosakan jalan mendatangkan kerugian besar kepada negara, terutama dari segi ekonomi serta kos membaik pulih.
Selain itu, hujan lebat dan banjir boleh menyebabkan hakisan permukaan jalan kerana air deras ketika hujan lebat dan banjir menghakis jalan, menyebabkan jalan menjadi berlubang dan licin. Banjir dan hujan lebat boleh menyebabkan runtuhan tebing tepi jalan akibat struktur tanah lemah.
Semua fenomena ini boleh menyebabkan kehilangan nyawa, penutupan jalan dan kerosakan kepada struktur jalan. Kerosakan pada sistem saliran akibat banjir menyebabkan air bertakung di jalan lalu merosakkan lapisan asas jalan. Banjir pula merosakkan jambatan dan jejantas yang menjadi penghubung jalan jika aliran air banjir melebihi kapasiti reka bentuk struktur jambatan serta jejantas.
Kerosakan jalan akibat hujan lebat dan banjir memberi kesan kepada pengguna jalan raya dan ekonomi negara. Jalan berlubang dan runtuhan tebing boleh menyebabkan kemalangan yang mengancam nyawa pengguna jalan raya.
Tambahan pula, kerosakan jalan menyebabkan aktiviti ekonomi negara terjejas apabila jalan rosak mengganggu pergerakan logistik dan barangan, seterusnya menjejaskan sektor pertanian, perniagaan dan industri.
Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menanggung kos tinggi untuk membaik pulih jalan dan infrastruktur terjejas, sekali gus membebankan ekonomi negara.
Memandangkan kesan kerosakan infrastruktur jalan akibat hujan lebat dan banjir memberi impak sangat besar kepada orang awam dan pihak berkuasa, langkah persediaan sebelum banjir besar perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan risiko kerosakan jalan boleh dielakkan.
Kejadian banjir akibat hujan lebat dapat dielakkan jika sistem saliran diselenggara dengan baik. Semua saliran, termasuk longkang, parit dan pembetung perlu dibersihkan dalam tempoh terdekat ini secara berkala untuk mengelak tersumbat. Sistem saliran tersumbat menyebabkan air bertakung, menjadi punca banjir dan akhirnya merosakkan jalan.
Sistem saliran sepatutnya ditambah di kawasan sering dilanda banjir. PBT boleh memasang saliran tambahan atau memperbesarkan sistem saliran sedia ada bagi memastikan aliran air lancar ketika hujan lebat. Pemasangan pam air di kawasan kritikal mudah bertakung air perlu dilakukan bagi memastikan air segera dialihkan sebelum menyebabkan banjir besar berlaku.
Infrastruktur jalan juga perlu diperkukuhkan dengan menggunakan bahan lebih tahan air dan tahan lasak, seperti asfalt dipertingkatkan atau konkrit kukuh untuk mengurangkan kerosakan. Dinding penahan air perlu dipasang di kawasan berdekatan sungai atau kawasan rendah bagi menghalang banjir melimpah ke jalan raya.
Jambatan dan laluan utama perlu diperiksa serta diperkukuhkan untuk menghadapi aliran air deras ketika banjir. Struktur ini perlu diselenggara dengan baik dan diperkuatkan jika perlu.
Tebing atau cerun tepi jalan perlu ditanam dengan pokok atau rumput sesuai untuk mengukuhkan struktur tanah serta mengurangkan risiko hakisan tebing yang boleh menyebabkan tebing tepi jalan runtuh dan membahayakan pengguna jalan raya.
Pemasangan tanda amaran di kawasan kerap mengalami banjir perlu dilakukan untuk memaklumkan pemandu mengenai risiko banjir dan kawasan jalan berbahaya bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya akibat banjir.
Tubuhkan Pusat kawalan trafik
Pusat kawalan trafik perlu ditubuhkan untuk mengarahkan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya sekiranya banjir berlaku, ini dapat mengelakkan kesesakan dan risiko kemalangan.
Sekatan jalan sementara juga perlu diadakan di kawasan dikenal pasti berisiko berdepan bencana banjir atau tanah runtuh untuk mengelakkan pemandu menggunakan jalan terjejas akibat banjir dan ini boleh mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Salah satu aspek yang perlu diberi tumpuan ialah mewujudkan sistem pemantauan cuaca berterusan lebih canggih untuk mengesan hujan lebat dan mengeluarkan amaran awal kepada pihak berkuasa serta masyarakat bagi mengurangkan kesan dan risiko banjir kepada orang awam termasuk infrastruktur awam.
Latihan kecemasan kepada masyarakat juga perlu diadakan lebih kerap atau berkala supaya masyarakat tahu merancang pelan kecemasan, memeta laluan selamat dan langkah keselamatan sewajarnya perlu diambil jika banjir berlaku.
Kempen kesedaran pentingnya menjaga sistem saliran, mengelak membuang sampah ke dalam longkang dan mengetahui risiko laluan sering banjir perlu diadakan bagi mengelak risiko banjir.
Persediaan rapi sebelum musim tengkujuh atau banjir besar adalah penting untuk melindungi infrastruktur jalan raya dan keselamatan orang awam. Semua pihak, termasuk pihak berkuasa dan masyarakat, perlu berganding bahu dalam memastikan jalan raya sentiasa dalam keadaan baik dan selamat, terutama semasa keadaan cuaca buruk ketika musim tengkujuh.
Kejadian banjir akibat hujan lebat dapat dielakkan jika sistem saliran diselenggara dengan baik. Semua saliran, termasuk longkang, parit dan pembetung perlu dibersihkan dalam tempoh terdekat ini secara berkala untuk mengelak tersumbat
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan menaik taraf operasi Bilik Gerakan Bencana (Bigben) yang terletak di Ibu Pejabat JKR di sini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pada masa sama pihaknya turut menaik taraf aplikasi mudah alih Sistem Pengurusan Bencana (ebencana) JKR bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini.
Katanya, Bigben berfungsi sebagai pusat sehenti maklumat bencana membabitkan aset seliaan JKR di sepanjang Jalan Negeri dan Jalan Persekutuan.
“Maklumat komprehensif yang disediakan melalui Bigben untuk dikongsi dengan orang awam berkaitan maklumat bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh.
“Oleh itu, Bigben akan berkongsi
maklumat penutupan jalan serta informasi laluan alternatif bagi membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan.
“Aplikasi ebencana pula adalah platform bersepadu yang mengintegrasikan data di Laman Pengurusan Bencana (bencana.jkr.gov.my) yang dapat diakses terus di telefon bimbit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bigben dan ebencana di Ibu Pejabat JKR, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Roslan Ismail.
Alexander berkata, Bigben diterajui oleh Sekretariat Bilik
Gerakan Bencana JKR terdiri daripada warga kerja JKR di ibu pejabat dengan kerjasama di peringkat negeri dan daerah yang berperanan mengemas kini maklumat bencana menerusi Laman Rasmi Pengurusan Bencana.
3 peringkat operasi Bigben
Katanya, pengoperasian Bigben dikategorikan dalam tiga peringkat yang bergantung kepada situasi semasa bencana iaitu peringkat sistem amaran awal, peringkat pusat komunikasi bersepadu dan peringkat pusat tindakan cepat.
“Operasi Bigben dan sistem ebencana JKR secara bersepadu itu bukan sahaja untuk kegunaan orang awam, malah boleh menjadi sumber rujukan kepada
semua pihak berkepentingan.
“Diharap dengan adanya kemudahan ini, ia juga dapat membantu agensi yang terbabit mengambil tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana negara lebih berkesan,” katanya.
Justeru, beliau menasihati kepada pengguna yang perlu menggunakan jalan raya ketika musim monsun ini, supaya merancang perjalanan yang lebih selamat dan selesa melalui semakan status laluan jalan raya.
Semakan boleh dibuat melalui Laman Pengurusan Bencana JKR (bencana.jkr.gov.my); aplikasi ebencana JKR; Facebook BIGBEN-BILIK Gerakan Bencana JKR dan akaun X Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (https://x.com/@csfj_jkr).