PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

JKR aktifkan Bilik Gerakan Bencana, aplikasi Sistem eBencana hadapi MTL

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan aplikasi mudah alih Sistem eBencana JKR yang dinaik taraf, sebagai langkah mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengoperasian BiGBen dan Sistem eBencana JKR secara bersepadu itu bukan sahaja bagi kegunaan orang awam, malah turut berupaya menjadi sumber rujukan kepada semua pihak berkepentingan terutama kepada agensi yang terlibat untuk tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana negara yang lebih cekap.

Beliau berkata, BiGBen berfungsi sebagai pusat sehenti maklumat bencana, seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh, melibatkan aset seliaan JKR di sepanjang jalan negeri dan jalan Persekutuan.
 

"Antara manfaat utama ialah perkongsian maklumat berkenaan penutupan jalan serta informasi laluan alternatif untuk membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan semasa musim terbabit.

"Pengoperasian BiGBen dikategorikan dalam tiga peringkat bergantung pada situasi semasa bencana, iaitu peringkat Sistem Amaran Awal, Pusat Komunikasi Bersepadu dan Pusat Tindakan Cepat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Nanta berkata, BiGBen yang diterajui oleh Sekretariat Bilik Gerakan Bencana JKR terdiri daripada warga kerja JKR di Ibu Pejabat JKR di ibu negara dengan kolaborasi JKR negeri dan daerah yang berperanan mengemas kini maklumat bencana menerusi Laman Rasmi Pengurusan Bencana.

Beliau berkata, aplikasi Sistem eBencana JKR pula merupakan sebuah platform bersepadu yang mengintegrasikan data di Laman Pengurusan Bencana untuk diakses terus ke telefon bimbit dan boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store dan Google Play.

Bagi pengguna yang perlu menggunakan jalan raya semasa MTL, Nanta berkata mereka boleh merancang perjalanan melalui semakan status laluan jalan raya menerusi Laman Pengurusan Bencana JKR Malaysia (bencana.jkr.gov.my), aplikasi eBencana JKR, Facebook BIGBEN - Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia dan akaun X Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (https://x.com/@CSFJ_JKR). - Bernama

Terowong banjir RM6 bilion penyelesaian jangka pendek, kata kumpulan

PETALING JAYA: 

Cadangan pembinaan sistem terowong bawah tanah bernilai RM6 bilion untuk menangani masalah banjir disifatkan kumpulan alam sekitar sebagai sekadar penyelesaian jangka pendek.

Sebaliknya, garis panduan perancangan perlu disemak semula untuk disesuaikan dengan perubahan iklim dan kesan sampingannya, menurut Gabungan Darurat Iklim Malaysia.

Menurutnya, pegawai perancang bandar dan desa persekutuan di PlanMalaysia patut melihat kepada kepadatan, nisbah plot, kebolehtelapan, dan mitigasi hutan bandar.

Pengasas bersama kumpulan itu, Kennedy Michael berkata, terdapat kaedah intervensi lain yang lebih murah, bagi meredakan isu berkaitan kadar hujan yang semakin tinggi termasuk penuaian air hujan.

“Nampaknya semua penyelesaian lebih memfokuskan terhadap projek infrastruktur yang sekadar bersifat penyelesaian jangka pendek, berbanding tadbir urus dan perancangan lebih baik.

“Kita patut merancang untuk lebih banyak melakukan penuaian air hujan dan pemulihan kawasan di hulu sungai bagi meningkatkan keupayaan penyerapan,” katanya kepada FMT.

Perlu ambil kira beza iklim Jepun, Malaysia

Kennedy berkata cadangan Selangor itu adalah baik kerana dibuat berasaskan model mitigasi banjir digunakan di Jepun, yang mempunyai piawaian tinggi bagi projek seumpama itu. Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan sama ada projek seperti itu mampu diselenggara dengan baik.

“Kita tidak mempunyai kewibawaan, etika, dan komitmen terhadap kecemerlangan seperti dimiliki orang Jepun. Kita juga tidak mempunyai budaya penyelenggaraan baik.”

Katanya, kerajaan negeri juga perlu mengambil kira perbezaan iklim antara Jepun dan Malaysia.

Cadangan Selangor untuk pembinaan sistem terowong bawah tanah bagi menangani limpahan air hujan dari Kuala Lumpur bagi mengekang banjir dianggarkan menelan kos RM6 bilion.

Exco negeri Izham Hashim berkata, cadangan itu berasaskan model mitigasi digunakan di Kawasaki dan Saitama, Jepun, apabila air terus disalurkan ke terowong bawah tanah bagi menangani banjir.

Cadangan itu yang telah diserahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, akan memerlukan kelulusan peringkat persekutuan memandangkan ia melibatkan kos tinggi.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan negeri memastikan pelbagai dokumen berkaitan dengan cadangan pembinaan terowong bernilai RM6 bilion itu terbuka untuk penelitian awam.

Katanya, kerajaan negeri patut menjelaskan mekanisme kewangan dicadangkan serta kaedah pembayaran balik untuk projek mitigasi banjir itu, supaya umum mengetahui bagaimana wang mereka akan dibelanjakan.

“Idea itu mungkin baik, tetapi kesesuaiannya perlu ditunjukkan,” katanya sambil mengetengahkan perbezaan antara komposisi tanah, teknik kejuruteraan, dan keperluan infrastruktur antara Malaysia dan Jepun.

“Kita juga menghadapi masalah peningkatan air laut di Selangor, tetapi tidak tahu sama ada sistem digunakan dua bandar Jepun itu (Kawasaki dan Saitama) mengambil kira keadaan seperti itu.”

 

Al-Sultan Abdullah titah kajian terperinci atasi banjir di Pahang

RAUB - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya kajian terperinci dapat dilakukan oleh pihak berkaitan untuk mengatasi masalah banjir di negeri itu.

Titahnya, antara usaha yang boleh dilakukan ialah mendalamkan sungai-sungai di perkampungan yang terlibat dengan banjir.

 

"Usaha ini diharap dapat mengurangkan kesan daripada banjir khususnya kawasan di tepi sungai.

"Kita perlu usahakan dengan cara kita untuk terus kaji dan kalau tidak kita akan berada dalam keadaan ini buat selama-lamanya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang di sini pada Isnin.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Titahnya lagi, pihak yang berkaitan juga diharap dapat membina rumah lebih tinggi untuk mereka yang tinggal di tepi sungai dan berisiko banjir.

"Ini fenomena yang biasa di Pahang iaitu mereka yang tinggal di tepi sungai berdepan risiko sebegini.

"Namun saya berharap kalau ada kesampaian, rezeki, bantuan daripada pihak kerajaan dan swasta kalau bina rumah biarla ditinggikan sikit," titahnya.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah juga meminta petugas terlibat dapat menjalankan tugas membantu mangsa sebaik mungkin.

"Nasihat saya supaya petugas bertugas dengan amanah, ikhlas membantus ketika menyediakan tempat, makanan keselesaan yang baik untuk mangsa.

"Saya juga harap mangsa pun tidak minta berlebihan..terima yang disediakan dan tidak cepat melenting," titah baginda yang juga berharap tiada banjir besar berlaku di Pahang.

Mengulas keadaan banjir di Lipis, baginda akan melihat keadaan terkini di daerah itu.

"Saya tidak tahu lumpur atau air sebab saya tidak tengok sendiri, tengok esok macam mana kalau keadaan bertambah teruk saya akan ke sana," titahnya.

Sementara itu, bagi Saweah@Noraziah Musnih,56 dari Kampung Tok Machang memberitahu, rumahnya dinaiki air kira-kira jam 4.30 pagi selepas hujan beberapa jam sebelum itu.

"Kami segera selamatkan dokumen penting dan segera berpindah ke PPS demi keselamatan keluarga.

"Keadaan air sudah surut tapi risau jika keadaan hujan lebat berlaku lagi," katanya banjir itu merupakan kejadian kali pertama pada tahun ini.

Berdasarkan portal Info Bencana sehingga jam 4.53 petang, seramai 223 mangsa membabitkan 65 keluarga ditempatkan di enam PPS di daerah Raub yang dilanda banjir pada Ahad.

Di Lipis pula, seramai 230 mangsa melibatkan 64 keluarga berpindah ke dua PPS yang dibuka pada Isnin.

 

Banjir paling teruk sepanjang 38 tahun menetap di Felda Kechau 1, bawa lumpur tebal

LIPIS: “Kejadian banjir kali ini saya sifatkan paling teruk selama tempoh 38 tahun menetap di sini sebab ia membawa lumpur tebal.

Demikian kata warga emas, Che Azizah Hamid, 67, ketika menceritakan detik cemas kejadian banjir lumpur yang melanda Felda Kechau 1 dekat sini malam tadi.

Menurutnya, ketika kejadian, hujan turun lebat sebelum paras air naik secara mendadak sekitar pukul 9 malam.

“Biasanya air tidak pernah sampai ke rumah tapi malam tadi air naik dengan cepat, saya tidak sempat nak alihkan barangan penting terutama alatan untuk dialisis buah pinggang.

“Barangan rumah habis musnah, memang kami semua tidak jangka kejadian banjir lumpur ini berlaku sebab ia berlaku terlalu pantas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Nurul Nabila Md. Said, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di Lipis sebelum bergegas pulang ke rumah sebaik dimaklumkan oleh ahli keluarganya.

“Masa saya sampai air sudah penuh di perkarangan rumah, masa itu saya hanya terfikirkan kucing peliharaan yang diletakkan dalam sangkar di rumah.

“Saya terpaksa mengharungi air banjir untuk menyelamatkan kucing sebab ia berbunyi bising, barangan dan alatan rumah lain saya tidak sempat selamatkan,* ujarnya.

Sementara itu, Info Terkini Bencana Banjir Negeri Pahang menyatakan, jumlah mangsa banjir di Pahang menurun sedikit iaitu seramai 456 mangsa daripada 130 keluarga pada pukul 4 petang tadi.

Ia berbanding 460 orang dari 132 keluarga pada pukul 12 tengah hari tadi.

Di Raub, terdapat enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 226 mangsa daripada 66 keluarga manakala di Lipis dua PPS membabitkan 230 mangsa, 64 keluarga. – UTUSAN

Raub daerah pertama banjir

Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh apabila 99 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) awal pagi semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub berkata, hujan berterusan sejak 11 malam kelmarin, menyebabkan dua kampung di daerah itu iaitu Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali dinaiki air mulai 12.30 tengah malam.

“Pada 3.45 pagi, PKOD (Pusat Kawalan Operasi Daerah) APM Daerah Raub menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian banjir di dua kampung itu.

“Anggota APM Raub bergerak ke lokasi kejadian bagi membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali,” katanya.

Menurut kenyataan itu, setakat ini, pihaknya tidak menerima makluman berkaitan kejadian tidak diingini akibat banjir dan akan terus berwaspada memandangkan cuaca tidak menentu.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search