1. Apakah Bantuan Wang Ihsan (BWI)?
BWI adalah bantuan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,000 untuk Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat bencana.
2. Apakah jenis bencana yang layak menerima BWI?
BWI layak diberikan untuk bencana alam utama seperti banjir, tanah runtuh, ribut/taufan, gempa bumi dan tsunami atau lain-lain seperti yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) / Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) / Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).
3. Adakah kejadian banjir kilat layak menerima BWI?
Banjir kilat tidak ditakrifkan sebagai kejadian bencana di bawah Arahan NADMA No. 1.
4. Siapakah Ketua Isi Rumah (KIR)?
KIR adalah seorang lelaki atau perempuan yang dianggap sebagai ketua oleh ahli isi rumah atau ahli keluarga yang tinggal di sesuatu tempat kediaman di alamat yang sama.
5. Apakah Pusat Pemindahan Sementara (PPS)?
PPS adalah bangunan atau kawasan yang diisytiharkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang boleh digunakan untuk menempatkan mangsa sewaktu bencana seperti sekolah, dewan, balai raya, masjid dan lain-lain.
6. Siapakah yang layak menerima BWI?
- KIR yang merupakan warganegara Malaysia.
- KIR yang berpindah atau berdaftar di PPS.
- KIR yang mendiami rumah persendirian ketika kejadian bencana berlaku.
- Kejadian bencana yang melibatkan sekurang-kurangnya 10 KIR.
- Terhad kepada seorang KIR sahaja tanpa mengira bilangan ahli isi rumah dalam rumah yang sama.
- Terhad kepada sebuah rumah sahaja tanpa mengira bilangan rumah yang dimiliki oleh KIR.
- Rumah berbilang tingkat juga layak tertakluk kepada unit rumah di tingkat yang terjejas.
- Penyewa rumah layak memohon tertakluk kepada seorang sahaja dari kalangan penyewa.
7. Apakah jenis rumah yang layak menerima BWI?
Rumah persendirian yang didiami oleh KIR semasa kejadian bencana berlaku.
8. Apakah jenis rumah yang tidak layak menerima BWI?
- Rumah yang tidak diduduki.
- Rumah yang tidak terkesan bencana (terkepung akibat banjir).
- Unit rumah berbilang tingkat tidak terkesan bencana (tingkat atas).
- Rumah setinggan.
- Rumah kedai.
- Premis perniagaan (homestay, hotel dan lain-lain).
9. Bagaimana saya boleh memohon BWI?
KIR mesti berpindah ke PPS atau mendaftar nama serta maklumat peribadi dengan petugas di PPS. KIR juga perlu mengemukakan Borang Akuan Permohonan BWI (Lampiran 3) kepada petugas di PPS.
10. Bagaimana saya boleh mendapatkan Borang Akuan Permohonan BWI (Lampiran 3)?
KIR boleh memuat turun dan mencetak borang tersebut dari laman sesawang rasmi NADMA (
www.nadma.gov.my). Borang ini juga boleh didapati di PPS jika disediakan oleh petugas di PPS.
11. Di mana saya perlu menghantar Borang Akuan Permohonan BWI (Lampiran 3)?
KIR yang berpindah atau berdaftar di PPS boleh menghantar borang tersebut kepada petugas di PPS. Jika KIR tidak sempat menghantar borang semasa di PPS, KIR boleh menghantar borang tersebut kepada Pejabat Daerah di kawasan rumah masing-masing.
12. Berapa kali saya boleh menerima BWI?
BWI boleh dituntut sekali sahaja oleh KIR yang ditimpa bencana semasa musim Monsun Timur Laut (MTL). BWI juga boleh dituntut sekali dalam tempoh 3 bulan oleh KIR yang ditimpa bencana di luar musim MTL.
13. Bilakah tempoh Monsun Timur Laut (MTL)?
Musim MTL bermula daripada bulan November tahun semasa sehingga bulan Mac tahun berikutnya berdasarkan kenyataan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
14. Bilakah tempoh luar MTL?
Tempoh luar MTL adalah fasa peralihan monsun dan musim Monsun Barat Daya (MBD) bermula daripada bulan April sehingga bulan Oktober tahun yang sama berdasarkan kenyataan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
16. Apakah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)?
JPBN adalah jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri yang dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri / Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan / Pegawai kanan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.
15. Apakah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD)?
JPBD adalah jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah / pegawai yang dipertanggungjawabkan atas jawatan tersebut / Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur / Presiden Perbadanan Putrajaya bagi WP Putrajaya / Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan bagi WP Labuan / Residen bagi Jawatankusa Pengurusan Bencana Bahagian di negeri Sarawak.
17. Apakah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP)?
JPBP adalah jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat pusat yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri / YB Menteri yang dilantik oleh YAB Perdana Menteri.
18. Bagaimana proses kelulusan BWI?
Senarai nama KIR yang terjejas akibat bencana dan berpindah atau berdaftar di PPS akan disemak dan disahkan oleh JPBD sebelum diperakukan oleh JPBN. Pengagihan BWI kepada KIR akan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah atau Pejabat Pembangunan Negeri berdasarkan senarai nama yang diperakukan JPBN.
19. Bagaimana proses pembayaran BWI?
Kaedah penyerahan bantuan kepada KIR boleh dibuat dalam bentuk wang tunai atau Electronic Fund Transfer (EFT) bergantung kepada Pejabat Daerah atau Pejabat Pembangunan Negeri masing-masing.
20. Adakah KIR yang tidak berpindah dan tidak berdaftar di PPS layak menerima BWI?
21. Adakah KIR yang tidak berpindah atau tidak mahu menginap di PPS tetapi hanya pergi berdaftar di PPS layak menerima BWI?
22. Adakah saya layak menerima BWI jika tidak berpindah ke PPS kerana PPS telah penuh?
Syarat untuk menerima BWI adalah KIR mesti berpindah atau berdaftar di PPS. JPBD boleh membuka mana-mana bangunan atau kawasan yang bersesuaian sebagai PPS ad hoc jika PPS sedia ada telah penuh. KIR diminta berpindah atau berdaftar di PPS tersebut.
23. Adakah saya layak menerima BWI jika saya berpindah ke rumah saudara-mara?
Layak tetapi KIR hendaklah berpindah ke PPS atau berdaftar di PPS yang berhampiran terlebih dahulu sebelum berpindah ke rumah saudara-mara.
24. Adakah saya layak menerima BWI jika rumah saya terjejas akibat banjir tetapi saya tidak sempat berpindah ke PPS kerana telah ditutup selepas banjir?
Syarat untuk menerima BWI adalah KIR mesti berpindah atau berdaftar di PPS. KIR perlu berpindah ke PPS pada tempoh waktu yang diarahkan oleh pihak berkuasa iaitu sebelum atau semasa kejadian banjir.
25. Mengapa ditetapkan syarat BWI supaya KIR perlu berpindah atau berdaftar di PPS?
- Memastikan keselamatan mangsa bencana.
- Mengelakkan keciciran nama mangsa bencana.
- Memudahkan mangsa bencana dihubungi oleh pihak berkuasa.
- Menghindarkan penyelewengan dalam permohonan bantuan
26. Mengapa ditetapkan syarat BWI perlu melibatkan sekurang-kurangnya 10 KIR?
Bilangan 10 KIR ditetapkan supaya nilai ambang (threshold) pemberian BWI adalah seragam di semua negeri. Penetapan telah dibuat oleh JPBP berdasarkan libat urus dengan JPBN serta perbandingan dengan negara-negara lain termasuk ASEAN, UK dan Eropah.
27. Adakah kejadian bencana yang kurang daripada 10 KIR layak menerima BWI?
Tidak layak. Namun, bantuan lain seperti makanan, minuman dan barangan keperluan asas boleh diberikan oleh pelbagai pihak.
28. Adakah kejadian bencana alam selain daripada banjir layak diberi BWI kepada KIR?
Layak sekiranya melibatkan bencana alam utama seperti tanah runtuh, ribut/taufan, gempa bumi, tsunami atau lain-lain seperti yang diisytiharkan oleh JPBD/JPBN/JPBP mengikut Arahan NADMA No. 1.
29. Adakah dua ketua keluarga yang tinggal dalam rumah yang sama layak menerima BWI?
Tidak layak. BWI diberikan kepada satu KIR sahaja tanpa mengira bilangan isi rumah atau ahli keluarga yang tinggal dalam rumah kediaman yang sama.
30. Adakah dua ketua keluarga yang tinggal dalam rumah yang berasingan di alamat yang sama layak menerima BWI?
Rumah kediaman dikira sebagai satu unit rumah sahaja jika menggunakan alamat yang sama kecuali rumah panjang di Sabah dan Sarawak yang dikira rumah berasingan bagi setiap bilik kelamin. KIR yang tinggal dalam rumah yang berasingan hendaklah mendaftarkan alamat yang berasingan dengan JBPD.
31. Adakah KIR bagi rumah kediaman persendirian berbilang tingkat layak menerima BWI?
Layak bagi KIR di unit rumah yang berada di tingkat yang terjejas dengan bencana sahaja dan bukannya keseluruhan unit di bangunan tersebut.
32. Adakah KIR bagi rumah kediaman bercampur seperti rumah kedai atau kondominium yang terletak di atas pusat beli-belah layak menerima BWI?
Tidak layak. BWI hanya bagi rumah kediaman persendirian sahaja dan bukan premis komersial.
33. Adakah KIR layak menerima BWI jika memiliki lebih daripada satu rumah yang terjejas akibat bencana?
Tidak layak. KIR hanya layak menerima bantuan bagi satu rumah sahaja tanpa mengira bilangan rumah dimiliki yang terjejas bencana.
34. Adakah rumah yang tidak diduduki layak menerima BWI?
Tidak layak. BWI hanya diberikan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana sahaja.
35. Adakah rumah yang tidak terkesan banjir tetapi terkepung kerana jalan terputus hubungan layak menerima BWI?
Tidak layak. BWI hanya diberikan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana sahaja. Namun, bantuan lain seperti makanan, minuman dan barangan keperluan asas boleh diberikan oleh pelbagai pihak.