Bina 2 rumah rakit RM4k
- Admin UKK
- Berita
“Banjir besar pada 2014 yang mencecah paras bumbung rumah membuka hati saya untuk membina dua unit rumah rakit bagi menjamin keselamatan keluarga,” kata pekebun, Mohd Fadli Abdul Malek, 44.
Dia yang menetap di Kampung Tanjung Berangan, Pesagi dekat Chenor, dekat sini, berkata, kemahiran yang ada memberi peluang kepadanya membina rumah rakit dengan kos lebih murah dan mengikut reka bentuk diinginkan dengan menumpukan aspek keselamatan dan ketahanan.
Menurutnya, dia berjaya membina rumah rakit menggunakan 36 unit tong bulat biru sebagai pelampung, atap zink, rangka besi dan lantai papan lapis dengan kos keseluruhan kira-kira RM4,000.
Katanya, kebolehan melakukan kimpalan memberi kelebihan kepadanya menghasilkan rumah rakit lebih kukuh yang turut akan memuatkan barangan perabot dan pakaian serta barangan elektrik.
“Rumah rakit pertama saya hasilkan pada 2015 yang kini ditempatkan di Sungai Pahang yang terletak
kira-kira 400 meter daripada rumah, kini rumah rakit berkenaan dijadikan tempat aktiviti memancing dan simpanan makanan projek ikan sangkar yang diusahakan.
“Terbaru saya bina rumah rakit ditempatkan di tepi rumah tempat kami
sekeluarga berteduh, saya mengambil lebih dua minggu untuk menyiapkan rumah rakit berkenaan,” katanya, di sini, kelmarin.
Dia berkata, terdapat kira-kira 100 rumah di Kampung Tanjung Berangan yang terletak beberapa meter dari Sungai Pahang.
“Boleh dikatakan hampir setiap tahun banjir berlaku apabila air Sungai Pahang melimpah,” katanya.
Mohd Fadli berkata, kebanyakan penduduk menyediakan rumah rakit kerana tidak berminat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah
Kebangsaan (SK) Pesagi setiap kali banjir.
“Saya berharap Monsun Timur Laut (MTL) kali tidak menyebabkan banjir besar yang mengundang kerugian harta benda serta kemusnahan tanaman dan projek ikan sangkar,” katanya.
Rumah rakit mula siap sedia
- Admin UKK
- Berita
Penduduk di pesisir Sungai Tembeling dan kawasan mudah dilanda banjir mula bersiap sedia dengan rumah rakit untuk menempatkan barangan berharga sekiranya Monsun Timut Laut melanda kawasan Pantai Timur yang dijangka sehingga Mac tahun hadapan.
Penduduk di Kampung Paya Teh, Jalan Jerantut-kuala Tembeling, Aminah Awang Hitam, 62, berkata rumah rakit itu dibina oleh arwah suaminya kira-kira 10 tahun lalu dengan kos kira-kira RM10,000 untuk memindahkan barangan berharga sekiranya air sungai dari Sungai Pahang yang terletak tidak jauh di belakang rumahnya melimpah.
“Rumah rakit sebesar 3.5 meter x 3.0 meter dibina sebagai persiapan musim banjir kerana tapak rumah saya kerap dilanda banjir.
“Pada 2014, kawasan rumah saya ditenggelami air sehingga paras bumbung, mujur rumah rakit dibina untuk meletakkan barangan elektrik dan berharga seperti televisyen, peti ais, perabot seperti almari baju dan lain-lain peralatan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Anaknya, Roswani Rojah, 41, berkata, kali ini, dia dan adik beradik lain sedang memeriksa setiap tong sebanyak 20 biji untuk dijadikan pelampung rumah rakit itu dan ada beberapa biji pelampung perlu ditukar kerana sudah kemek dan dibimbangi bocor.
Katanya, setiap kali selepas banjir, keluarganya mengeluarkan kos yang banyak untuk membaik pulih bahagian rumah yang rosak seperti pintu dan dinding kayu yang tercabut termasuk mengecat semula dinding rumah di bahagian dalam dan luar serta pembersihan dalam rumah.
Penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Abd Razak Yatim, 65, mengeluarkan belanja hampir RM2,000 untuk membeli tong plastik untuk dijadikan pelampung sebagai persediaan mengapungkan rumahnya ketika banjir.
Katanya, lazimnya masyarakat Melayu yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling, mukim Ulu Tembeling sanggup berbelanja untuk menyediakan tong plastik kerana kaedah itu antara alternatif mengapungkan rumah atau tempat menyimpan barang-barang ketika musim banjir.
“Sejak zaman kanak-kanak lagi sehingga sekarang, banjir sama ada besar atau kecil dan kerap melanda di kampung pesisir Sungai Tembeling dan penduduk terpaksa berpindah ke tempat lebih tinggi tanpa sempat menyelamatkan harta benda.
“Penggunaan tong plastik sebagai pelampung bermula sejak awal 80-an lagi apabila peralatan ini mula dijual untuk penternak mengapungkan sangkar ikan, tetapi penggunaannya lebih luas apabila dipasang di bawah lantai rumah ketika musim banjir,” katanya ditemui di Kampung Pagi.
2 kampung di Raub dilanda bah
- Admin UKK
- Berita
Dua kampung dilanda banjir menyebabkan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dengan menempatkan 45 keluarga dan 153 mangsa sejak jam 3.45 pagi semalam.
Dua kampung yang terbabit ialah Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali dekat sini. Jumlah mangsa semakin bertambah menjelang petang.
PPS Kg Tok Machang menempatkan 12 keluarga dan 33 mangsa dan PPS Kg Ulu Gali menempatkan dua keluarga dan lapan mangsa.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub melaporkan, Angkatan
Pertahanan Awam Malaysia (APM) Raub telah memindahkan mangsa ke PPS dan mengambil maklumat mangsa yang terlibat.
Seorang orang kurang upaya (OKU) lelaki berusia 75 tahun dan warga emas wanita berusia 70 tahun berjaya dibawa keluar dari rumah masing-masing dan dihantar ke PPS jam 6.30 pagi.
“Mangsa OKU yang kudung kakinya dari Kampung Ulu Gali dihantar ke PPS Kemas Ulu Galipada jam 1 tengah hari.
“Manakala mangsa warga emas yang tinggal di kampung sama dipindahkan ke PPS yang sama pada jam 1.45 tengah hari,” katanya.
Mangsa meningkat
Sementara itu, sehingga jam 3 petang semalam, PPS Dewan Orang Ramai Tok Machang menempatkan 26 keluarga dan 95 mangsa meningkat daripada 23 keluarga dan 89 mangsa.
PPS Dewan Orang Ramai Ulu Gali pula turut menunjukkan peningkatan daripada dua keluarga dan 10 mangsa kepada lapan keluarga dan 26 mangsa.
PPS Kemas Ulu Gali Tengah yang turut dibuka untuk menunjukkan peningkatan dengan menempatkan 11 keluarga dan 33 mangsa daripada lapan keluarga, 26 mangsa daripada laporan pada jam 12.00 tengah hari.
Jumlah keseluruhan 45 keluarga dan 153 mangsa dilaporkan. Anggota APM Raub terus membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS sejak awal pagi tadi.
BINTANGOR: Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor terus mengadakan pemantauan rapi terutama di kawasan-kawasan berisiko banjir berikutan cuaca hujan dan pertembungan air pasang penuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata beliau mengarahkan anggotanya melakukan pemantauan kadar kenaikan paras air setiap waktu ketika hujan lebat dan masa pertembungan air pasang.
"Langkah ini sangat penting bagi penduduk tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir dapat diselamatkan dengan segera.
"Contoh pemantauan dilakukan waktu ini melibatkan sebelah pagi dan petang terutama air pasang berlaku dan kadar limpahan air masih berada pada situasi selamat di kawasan rendah," katanya di sini hari ini.
Pada tinjauan itu, pasukan bomba melakukan pemantauan di tebing Sungai Rajang.
Nicholas turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada.
"Langkah ini sangat penting bagi keselamatan nyawa dan harta benda mereka.
"Kita harap mereka dapat menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat dan menghubungi bomba dengan segera sekiranya masalah kecemasan berlaku," jelasnya.
RAUB: Seorang Orang Kurang Upaya lelaki berusia 75 tahun dan warga emas wanita berusia 70 tahun berjaya dibawa keluar dari rumah masing-masing yang dilanda banjir dan dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka awal pagi tadi, kira-kira jam 4.30 pagi dan 6.30 pagi, hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub melaporkan, sejurus menerima makluman, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Raub telah memindahkan mangsa berkenaan ke PPS.
“Mangsa OKU yang kudung kakinya dari Kampung Ulu Gali dihantar ke PPS Kemas Ulu Gali pada jam 1.00 tengah hari.
“Manakala mangsa warga emas yang tinggal di kampung sama dipindahkan ke PPS yang sama pada jam 1.45 tengah hari,” katanya.
Sementara itu, laporan yang dikeluarkan oleh JPBD Raub pada jam 3.00 petang PPS Dewan Orang Ramai Tok Machang terdapat sebanyak 26 keluarga dan 95 mangsa meningkat daripada 23 keluarga dan 89 mangsa.
PPS Dewan Orang Ramai Ulu Gali pula turut menunjukkkan peningkatan daripada dua keluarga dan 10 mangsa kepada lapan keluarga dan 26 mangsa.
PPS Kemas Ulu Gali Tengah yang turut dibuka untuk menunjukkan peningkatan dengan menempatkan 11 keluarga dan 33 mangsa daripada lapan keluarga, 26 mangsa daripada laporan pada jam 12.00 tengah hari.
Jumlah keseluruhan 45 keluarga dan 153 mangsa dilaporkan. Anggota APM Raub terus membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS sejak awal pagi tadi.