Rumah rakit mula siap sedia
- Admin UKK
- Berita
Penduduk di pesisir Sungai Tembeling dan kawasan mudah dilanda banjir mula bersiap sedia dengan rumah rakit untuk menempatkan barangan berharga sekiranya Monsun Timut Laut melanda kawasan Pantai Timur yang dijangka sehingga Mac tahun hadapan.
Penduduk di Kampung Paya Teh, Jalan Jerantut-kuala Tembeling, Aminah Awang Hitam, 62, berkata rumah rakit itu dibina oleh arwah suaminya kira-kira 10 tahun lalu dengan kos kira-kira RM10,000 untuk memindahkan barangan berharga sekiranya air sungai dari Sungai Pahang yang terletak tidak jauh di belakang rumahnya melimpah.
“Rumah rakit sebesar 3.5 meter x 3.0 meter dibina sebagai persiapan musim banjir kerana tapak rumah saya kerap dilanda banjir.
“Pada 2014, kawasan rumah saya ditenggelami air sehingga paras bumbung, mujur rumah rakit dibina untuk meletakkan barangan elektrik dan berharga seperti televisyen, peti ais, perabot seperti almari baju dan lain-lain peralatan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Anaknya, Roswani Rojah, 41, berkata, kali ini, dia dan adik beradik lain sedang memeriksa setiap tong sebanyak 20 biji untuk dijadikan pelampung rumah rakit itu dan ada beberapa biji pelampung perlu ditukar kerana sudah kemek dan dibimbangi bocor.
Katanya, setiap kali selepas banjir, keluarganya mengeluarkan kos yang banyak untuk membaik pulih bahagian rumah yang rosak seperti pintu dan dinding kayu yang tercabut termasuk mengecat semula dinding rumah di bahagian dalam dan luar serta pembersihan dalam rumah.
Penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Abd Razak Yatim, 65, mengeluarkan belanja hampir RM2,000 untuk membeli tong plastik untuk dijadikan pelampung sebagai persediaan mengapungkan rumahnya ketika banjir.
Katanya, lazimnya masyarakat Melayu yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling, mukim Ulu Tembeling sanggup berbelanja untuk menyediakan tong plastik kerana kaedah itu antara alternatif mengapungkan rumah atau tempat menyimpan barang-barang ketika musim banjir.
“Sejak zaman kanak-kanak lagi sehingga sekarang, banjir sama ada besar atau kecil dan kerap melanda di kampung pesisir Sungai Tembeling dan penduduk terpaksa berpindah ke tempat lebih tinggi tanpa sempat menyelamatkan harta benda.
“Penggunaan tong plastik sebagai pelampung bermula sejak awal 80-an lagi apabila peralatan ini mula dijual untuk penternak mengapungkan sangkar ikan, tetapi penggunaannya lebih luas apabila dipasang di bawah lantai rumah ketika musim banjir,” katanya ditemui di Kampung Pagi.