Bina 2 rumah rakit RM4k
- Admin UKK
- Berita
“Banjir besar pada 2014 yang mencecah paras bumbung rumah membuka hati saya untuk membina dua unit rumah rakit bagi menjamin keselamatan keluarga,” kata pekebun, Mohd Fadli Abdul Malek, 44.
Dia yang menetap di Kampung Tanjung Berangan, Pesagi dekat Chenor, dekat sini, berkata, kemahiran yang ada memberi peluang kepadanya membina rumah rakit dengan kos lebih murah dan mengikut reka bentuk diinginkan dengan menumpukan aspek keselamatan dan ketahanan.
Menurutnya, dia berjaya membina rumah rakit menggunakan 36 unit tong bulat biru sebagai pelampung, atap zink, rangka besi dan lantai papan lapis dengan kos keseluruhan kira-kira RM4,000.
Katanya, kebolehan melakukan kimpalan memberi kelebihan kepadanya menghasilkan rumah rakit lebih kukuh yang turut akan memuatkan barangan perabot dan pakaian serta barangan elektrik.
“Rumah rakit pertama saya hasilkan pada 2015 yang kini ditempatkan di Sungai Pahang yang terletak
kira-kira 400 meter daripada rumah, kini rumah rakit berkenaan dijadikan tempat aktiviti memancing dan simpanan makanan projek ikan sangkar yang diusahakan.
“Terbaru saya bina rumah rakit ditempatkan di tepi rumah tempat kami
sekeluarga berteduh, saya mengambil lebih dua minggu untuk menyiapkan rumah rakit berkenaan,” katanya, di sini, kelmarin.
Dia berkata, terdapat kira-kira 100 rumah di Kampung Tanjung Berangan yang terletak beberapa meter dari Sungai Pahang.
“Boleh dikatakan hampir setiap tahun banjir berlaku apabila air Sungai Pahang melimpah,” katanya.
Mohd Fadli berkata, kebanyakan penduduk menyediakan rumah rakit kerana tidak berminat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah
Kebangsaan (SK) Pesagi setiap kali banjir.
“Saya berharap Monsun Timur Laut (MTL) kali tidak menyebabkan banjir besar yang mengundang kerugian harta benda serta kemusnahan tanaman dan projek ikan sangkar,” katanya.