Bomba Bintangor pantau kawasan berisiko banjir
- Admin UKK
- Berita
BINTANGOR: Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor terus mengadakan pemantauan rapi terutama di kawasan-kawasan berisiko banjir berikutan cuaca hujan dan pertembungan air pasang penuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata beliau mengarahkan anggotanya melakukan pemantauan kadar kenaikan paras air setiap waktu ketika hujan lebat dan masa pertembungan air pasang.
"Langkah ini sangat penting bagi penduduk tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir dapat diselamatkan dengan segera.
"Contoh pemantauan dilakukan waktu ini melibatkan sebelah pagi dan petang terutama air pasang berlaku dan kadar limpahan air masih berada pada situasi selamat di kawasan rendah," katanya di sini hari ini.
Pada tinjauan itu, pasukan bomba melakukan pemantauan di tebing Sungai Rajang.
Nicholas turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada.
"Langkah ini sangat penting bagi keselamatan nyawa dan harta benda mereka.
"Kita harap mereka dapat menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat dan menghubungi bomba dengan segera sekiranya masalah kecemasan berlaku," jelasnya.