PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

KKR tingkat persiapan hadapi Monsun Timur Laut

KKR tingkat persiapan hadapi Monsun Timur Laut

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan menaik taraf operasi Bilik Gerakan Bencana (Bigben) yang terletak di Ibu Pejabat JKR di sini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pada masa sama pihaknya turut menaik taraf aplikasi mudah alih Sistem Pengurusan Bencana (ebencana) JKR bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini.

Katanya, Bigben berfungsi sebagai pusat sehenti maklumat bencana membabitkan aset seliaan JKR di sepanjang Jalan Negeri dan Jalan Persekutuan.

“Maklumat komprehensif yang disediakan melalui Bigben untuk dikongsi dengan orang awam berkaitan maklumat bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh.

“Oleh itu, Bigben akan berkongsi

maklumat penutupan jalan serta informasi laluan alternatif bagi membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan.

“Aplikasi ebencana pula adalah platform bersepadu yang mengintegrasikan data di Laman Pengurusan Bencana (bencana.jkr.gov.my) yang dapat diakses terus di telefon bimbit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bigben dan ebencana di Ibu Pejabat JKR, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Roslan Ismail.

Alexander berkata, Bigben diterajui oleh Sekretariat Bilik

Gerakan Bencana JKR terdiri daripada warga kerja JKR di ibu pejabat dengan kerjasama di peringkat negeri dan daerah yang berperanan mengemas kini maklumat bencana menerusi Laman Rasmi Pengurusan Bencana.

3 peringkat operasi Bigben

Katanya, pengoperasian Bigben dikategorikan dalam tiga peringkat yang bergantung kepada situasi semasa bencana iaitu peringkat sistem amaran awal, peringkat pusat komunikasi bersepadu dan peringkat pusat tindakan cepat.

“Operasi Bigben dan sistem ebencana JKR secara bersepadu itu bukan sahaja untuk kegunaan orang awam, malah boleh menjadi sumber rujukan kepada

semua pihak berkepentingan.

“Diharap dengan adanya kemudahan ini, ia juga dapat membantu agensi yang terbabit mengambil tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana negara lebih berkesan,” katanya.

Justeru, beliau menasihati kepada pengguna yang perlu menggunakan jalan raya ketika musim monsun ini, supaya merancang perjalanan yang lebih selamat dan selesa melalui semakan status laluan jalan raya.

Semakan boleh dibuat melalui Laman Pengurusan Bencana JKR (bencana.jkr.gov.my); aplikasi ebencana JKR; Facebook BIGBEN-BILIK Gerakan Bencana JKR dan akaun X Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (https://x.com/@csfj_jkr).

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search