Hujan lebat berterusan, air pasang besar punca banjir di Terengganu dan Kelantan
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan melebihi dua kali ganda di negeri Pantai Timur terutamanya di Terengganu dan Kelantan menjadi punca kejadian banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, banjir besar berpotensi berlaku di 4,619 kawasan panas banjir akibat limpahan sungai setelah hujan lebat berterusan melebihi enam jam.
“Jumlah purata hujan bergantung dengan tempat, ada yang melebihi dua kali ganda daripada jumlahnya, digabungkan dengan keadaan air pasang besar (menyebabkan limpahan air).
“Keadaan paras sungai kali ini lebih tinggi berbanding tahun 2014,” katanya pada sidang media selepas mendengar Taklimat Banjir Monsun Timur 2024/2025 di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di JPS Ampang, di sini hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata setakat ini Kelantan mencatatkan bacaan hujan luar biasa di sembilan stesen, termasuk Kusial, Tanah Merah (1,167 mm).
Manakala Terengganu menyaksikan bacaan tertinggi di Kalabe, Besut (1,439 mm).
Sementara itu, beliau berkata rakyat di negeri Johor dan Pahang juga perlu bersiap siaga dalam menghadapi gelombang banjir.
“Kalau ikutkan aliran itu akan turun ke Pahang dan Johor, jadi kita dalam keadaan berjaga-jaga sekarang ini dan kita akan memantau aliran-aliran air sungai dan hujan,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan, sebanyak 31 notis ramalan awal telah dikeluarkan PRABN di 11 negeri termasuk Johor, Kelantan dan Terengganu.
“Ia termasuk 27 notis hebahan amaran banjir di 27 daerah membabitkan 518 kawasan banjir dan terkini, di Besut (7 kawasan) dan Setiu (3 kawasan) yang berisiko pada 3 hingga 6 Disember ini,” ujarnya.
Fadillah berkata orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menyemak sebarang mesej berkaitan bantuan dengan pihak berkuasa bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan (scam).