PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Banjir Kelantan: Lebih 200 PPS di tutup, 93 PPS masih aktif

KOTA BHARU: Sebanyak 223 pusat pemindahan sementara (PPS) daripada 316 di Kelantan sudah ditutup dengan 74,969 mangsa daripada 22,581 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di empat jajahan.

Perkara itu dirujuk menerusi info bencana atau bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan setakat 4 petang tadi.

Menurut sumber JKM negeri, mangsa dibenarkan pulang ke rumah atas faktor paras air sungai surut dan kurang hujan.

Sementara itu, data itu juga menunjukkan baki 93 PPS yang masih aktif melibatkan empat jajahan termasuk Pasir Mas dengan 44 PPS, Tumpat (46), Kota Bharu (1) dan Bachok (2).

Berdasarkan data berkenaan sejumlah 39,761 mangsa daripada 12,863 keluarga masih ditempatkan di kesemua PPS yang aktif.

Data tersebut merekodkan Tumpat menjadi jajahan paling tinggi bilangan mangsa banjir yang berdaftar di PPS iaitu 20,441 orang daripada 6,446 keluarga, diikuti Pasir Mas dengan 18,866 mangsa daripada 6,289 keluarga.

— BERNAMA

 

Lebih 10 kampung masih ditenggelami air

Banjir sudah seminggu melanda tetapi keadaan di lebih 10 kampung di sekitar Pengkalan Kubor, di sini, masih ditenggelami air.

Ia berikutan limpahan air yang terlalu banyak sama ada aliran dari Pasir Mas atau Sungai Golok ditambah hujan yang lebat minggu lalu menyebabkan proses surut menjadi perlahan.

Antara kampung yang terkesan dan masih digenangi air sehingga paras dua meter (m) ialah Kampung Bendang Pak Yong, Simpangan, Naga Ibu, Kuala Jambu, Kubang Sawa, Derdap, Pisau Raut, Kajang Sebidang, Palas Merah, Jejulok dan Teluk Jering.

Penduduk Kampung Kajang Sebidang, Syaharudin Mohd Nor, 47, berkata, lazimnya selepas seminggu, paras air semakin surut dan sesetengah penduduk sudah membersihkan rumah sekadar mampu sementara menunggu gelombang seterusnya.

“Bagaimanapun, banyak lagi kampung terutama berhampiran Sungai Golok dan bersempadan dengan Pasir Mas seperti Kuala Jambu dan Kubang Sawa, situasi masih lagi seakan lautan walau sudah seminggu banjir.

“Air surut terlalu perlahan kerana limpahan sangat banyak dalam tempoh gelombang pertama minggu lalu dan kebanyakan penduduk kampung masih terkepung dan menggunakan bot untuk pergerakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Syaharudin berkata, banjir luar biasa yang berlaku kali ini turut menjejaskan kediamannya yang sebelum ini tidak pernah dimasuki air namun baru-baru ini, air masuk hingga paras 0.8m dalam rumah.

Katanya, dia, isteri dan dua anak terpaksa berlindung di rumah ibu bersama 18 lagi ahli keluarga lain.

“Saya tidak boleh meninggalkan kampung kerana perlu menguruskan banyak bantuan dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk mangsa banjir yang tidak berpindah dan terkepung,” katanya.

Sementara itu, Zaharah Salleh, 73, meluahkan rasa sedih apabila banyak jualan di kedai runcitnya hanyut dan tidak dapat diselamatkan kerana tidak sempat disimpan di tempat tinggi.

Dia berkata, kedai runcitnya adalah satu-satunya tempat penduduk kampung yang tidak berpindah mendapatkan barangan malah dia sudah menyediakan pelbagai keperluan

untuk dijual dalam tempoh banjir. “Sebelum banjir, saya sudah menambah bekalan gula, minyak masak, air mineral dan garam untuk keperluan orang kampung tapi habis hanyut. Bukan itu saja, dua peti sejuk turut terbalik,” katanya.

Jumlah mangsa banjir makin turun

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus merekodkan penurunan kepada 60,358 mangsa, semalam.

Setakat jam 3 petang, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 211 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di tujuh negeri terjejas membabitkan 18,561 keluarga.

Daripada jumlah itu, Kelantan masih merekodkan penurunan mangsa kepada 40,230 dengan 12,963 keluarga masih ditempatkan di 93 PPS.

Terengganu pula menyaksikan 12,477 mangsa daripada 3,222 keluarga dari tujuh daerah terjejas masih mendapatkan perlindungan di 55 PPS.

Sementara, jumlah mangsa di Kedah, tidak banyak berubah apabila 6,135 orang daripada 1,943 keluarga ditempatkan di 30 PPS.

Johor masih kekal dengan 20 PPS bagi memberi perlindungan kepada 1,075 orang daripada 308 keluarga dan Perak menempatkan 216 orang daripada 70 keluarga di tujuh PPS.

Selain itu, jumlah mangsa di Melaka masih kekal dengan 172 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala seramai 53 orang daripada 11 keluarga di Pahang masih berlindung di empat PPS negeri itu.

Kekuatan luar biasa rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada sektor swasta dan korporat atas sumbangan mereka dalam membantu meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan berkenaan di samping dilakukan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa dan jentera kerajaan itu menunjukkan kekuatan luar biasa rakyat untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

“Kerajaan menerima baik keprihatinan sektor korporat dalam membantu mangsa banjir. Setakat Oktober lalu, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) seperti PNB (Permodalan Nasional Berhad), Petronas, Yayasan Hasanah dan Pharmaniaga menyalurkan bantuan bernilai lebih RM10 juta.

“Insya-Allah, saya akan menerima sumbangan bantuan banjir daripada syarikat swasta terkemuka dengan jumlah terkumpul lebih RM35 juta, jadi di Dewan yang mulia ini, bagi pihak Dewan (Negara) saya ucapkan penghargaan kepada semua,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, di sini, semalam.

Selasa lalu, Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, menggesa sektor swasta untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir, sama ada dari segi sumbangan dana atau menghantar jentera bantuan ke kawasan terjejas.

“Kita syukur apabila kita buat seruan kepada sektor korporat ini untuk turut membantu. Selama ini memang ada Khazanah, bank-bank selain GLC PNB, Petronas, Yayasan Hasanah dan Pharmaniaga, (tapi) ini sebaik kita umum hasrat, dalam dua hari (berjaya) dapat RM35 juta tanpa apa-apa kempen tambahan.

“Ini pentingnya kalau kita urus tatakelola dengan baik, tidak punggah kekayaan untuk diri sendiri, peribadi dan untuk kayakan keluarga,” katanya.

Siap siaga hadapi gelombang kedua banjir mulai Ahad

Putrajaya: Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat negeri dan daerah diarahkan bersiapsiaga menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka melanda Pahang dan Johor, bermula Ahad hingga 14 Disember depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan MADANI kini memberikan tumpuan sepenuhnya dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan gelombang kedua banjir itu.

“Saya mahu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui setiap jabatan, agensi dan anak syarikat untuk mengambil inisiatif sesuai menghadapi banjir serta mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya semua mahu Ketua Setiausaha (KSU), Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) menggerakkan setiap agensi dan bahagian untuk mengambil inisiatif yang sesuai bagi membantu mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Dewan Sri Lestari di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, banjir yang melanda

Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Terengganu adalah lebih teruk berbanding bencana sama pada 2014.

“Banjir tahun ini sangat luar biasa dan lebih teruk dari 2014 dengan 1 Disember lalu menjadi kemuncak bencana yang membabitkan kira-kira 153,000 mangsa daripada 45,000 keluarga.

“Namun, kita bersyukur kerana sehingga kini hanya tinggal kira-kira 60,000 yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Sementara itu, pada sidang media, Ahmad Zahid berkata, tahap kesiapsiagaan negara sangat tinggi berikutan sebelum ini agensi mengadakan simulasi untuk kesiapsiagaan itu sejak sebelum gelombang pertama.

“Kita harap Pahang dan Johor bersiap kerana luruan hujan akan berlaku di dua negeri negeri itu dan air sungai dari Terengganu akan mengalir ke Pahang dan Johor.

“Jadi, untuk kawasan luar bandar, kita sudah menubuhkan skuad insan yang akan membantu atas kapasiti badan sukarela termasuk membantu Orang Asli untuk menggerakkan skuad ke semua kawasan terjejas. Malah di kawasan FELDA, FELCRA dan RISDA serta Lembaga Kemajuan juga skuad digerakkan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa cadangan usaha akan dilaksanakan di peringkat kementerian, iaitu mengambil langkah pertama memperhalusi dan menilai rumah di kawasan desa yang rosak akibat banjir, termasuk menyediakan rumah baharu atau bantuan membaik pulih kediaman yang terjejas.

Pulihkan kawasan terkesan

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata peruntukan segera yang dimohon Perikatan Nasional (PN) bagi Ahli Parlimen pembangkang di kawasan terjejas banjir menyalurkan bantuan kepada mangsa musibah akan diputuskan selepas bencana berakhir.

Katanya, ketika ini kerajaan mahu menumpukan dahulu perkara berkaitan pemulihan di kawasan yang terkesan banjir.

Beliau berkata, ia termasuk kerosakan infrastruktur, kemudahan serta bangunan yang membabitkan keperluan orang ramai.

“Ia tidak membabitkan semua kawasan tetapi kita akan proses untuk melihat keperluan itu.

“(Permintaan peruntukan bagi kawasan banjir)... kita tunggu banjir selesai dahulu, barulah kita putuskan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Digital Putrajaya Exhibition and Conference (DIPEC) 2024 dan Peluncuran Putrajaya Urban Observatory (PUO) di Kuala Lumpur, semalam.

Kelmarin, media melaporkan Ahli Parlimen pembangkang memohon kerajaan mempertimbangkan peruntukan segera sebanyak RM1 juta kepada kawasan pembangkang yang terjejas banjir, bagi tujuan membantu rakyat yang menjadi mangsa bencana itu.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata pihaknya sudah membuat permohonan termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung hasrat berkenaan.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search