PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

171 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim menang saman

171 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim menang saman

Johor Bahru: Selepas tujuh tahun, 171 mangsa pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, mendapat pembelaan apabila Mahkamah Tinggi Sivil di sini, hari ini, memutuskan semua plaintif itu menang dalam saman sivil terhadap empat defendan.

Pesuruhjaya Kehakiman Manira Mohd Nor membuat keputusan itu sebelum mengarahkan empat defendan berkenaan iaitu sebuah kilang pemprosesan tayar terpakai, P Tech Resources Sdn Bhd; dua pengarah syarikat yang juga warga Singapura, Wang Jing Chao, 41, dan Yap Yoke Liang, 43 serta seorang pemandu lori, N Maridass, 42, untuk membayar kos guaman sebanyak RM100,000 kepada semua plaintif.

Bagaimanapun, semua plaintif gagal dalam saman yang difailkan ke atas lapan defendan lain termasuk Kerajaan Negeri, Menteri Besar ketika kejadian iaitu Allahyarham Datuk Osman Sapian; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri ketika itu, Datuk Sahruddin Jamal; Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (kini Majlis Bandaraya Pasir Gudang).

Bagi maksud itu, semua plaintif diarahkan membayar kos guaman terhadap lapan defendan terbabit sebanyak RM80,000.

Peguam yang mewakili semua plaintif, Datuk Kamarudin Ahmad ketika ditemui di perkarangan mahkamah berkata, pihaknya berpuas hati dengan penghakiman diberikan sekali gus menggambarkan kepentingan terhadap isu alam sekitar.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pihaknya kini menunggu tarikh pengurusan kes bagi proses pentaksiran nilai ganti rugi yang bakal diperoleh semua plaintif.

"Ini adalah fasa pertama bagi menentukan liabiliti iaitu siapa yang bertanggungjawab dalam tragedi atau bencana Sungai Kim Kim ini.

"Berhubung taksiran ganti rugi itu, mahkamah akan membuat satu pengurusan kes untuk menentukan tarikh dan butiran lanjut mengenainya. Bagi 42 plaintif yang terdiri daripada pelajar sekolah dan tujuh orang awam, kita menuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta, manakala 129 nelayan membuat tuntutan ganti rugi sebanyak RM3 juta membabitkan kerugian ekonomi," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search