PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

212 mangsa banjir di Terengganu ditempatkan di lapan PPS

Kuala Terengganu: Empat daerah di Terengganu dilanda banjir iaitu Kemaman, Marang, Hulu Terengganu dan Setiu, setakat 10 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan 212 mangsa daripada 54 keluarga kini ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding hanya 12 orang di Kemaman pada 6 petang tadi.

Menurut sekretariat itu Kemaman mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 97 orang daripada 22 keluarga yang berlindung di tiga PPS iaitu di Balai Raya Meraga Beris, Dewan Orang Ramai Kampung Labohan dan Sekolah Kebangsaan Kemasik.

"Ia diikuti Hulu Terengganu dengan 53 mangsa daripada 14 keluarga di tiga PPS iaitu di Balai Raya Kampung Kemat, Balai Raya Kampung Cheting dan Balai Raya Kampung Bukit Kolam.

"Di Setiu pula terdapat 49 mangsa daripada 14 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Langkap manakala di Marang sebanyak 13 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Dewan Sivik Wakaf Tapai," menurut sekretariat berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan trend bilangan mangsa banjir menunjukkan peningkatan susulan keadaan cuaca yang masih hujan di beberapa kawasan di negeri tersebut.

Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, paras air dua sungai di Terengganu melebihi tahap amaran dengan trend menaik iaitu Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Disiarkan pada: November 20, 2024 @ 12:07am

Kemaman daerah pertama di Terengganu dilanda banjir

KUALA TERENGGANU: Kemaman menjadi daerah pertama di Terengganu dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 12 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS di Balai Raya Meraga Beris itu dibuka jam 1 petang tadi bagi menempatkan kesemua mangsa yang terjejas.

Setakat ini, hujan melanda di kebanyakan kawasan di Terengganu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, selain kawasan Teluk Kalong,keadaan air dilaporkan semakin meningkat naik di kawasan perumahan penduduk di Kijal dan Kemasik.

"Kita sudah mengeluarkan arahan kepada penduduk di kedua-dua kawasan itu bersiap sedia untuk berpindah berikutan trend air yang semakin menaik," katanya.

 

Amaran hujan berterusan tahap buruk di 3 negeri hingga 23 November

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga 23 November ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan lokaliti terbabit di Kelantan merangkumi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai manakala di Pahang meliputi Jerantut, Kuantan, Pekan serta Rompin.

Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan, Pahang serta Mersing dan Kota Tinggi di Johor juga sehingga 23 November ini.

Kawasan yang tersenarai di Kelantan ialah Gua Musang manakala di Pahang, melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera.

"Amaran hujan berterusan tahap waspada turut berkuat kuasa bermula 23 sehingga 25 Nov di Sabah membabitkan kawasan seperti Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat," menurut kenyataan itu.

MetMalaysia memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

 

Mangsa banjir Kemaman dinasihat tidak pulang ke rumah meski cuaca baik

CHUKAI: Mangsa banjir di daerah Kemaman dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah masing-masing meskipun keadaan cuaca baik setakat tengah hari ini dan banjir mulai surut.

Pegawai Daerah Kemaman Fadli Yusof Zakaria bagaimanapun mengingatkan mereka yang telah berbuat demikian untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

"Kita tidak boleh jangka waktu sebenar banjir yang kemudian ini akan berlaku. Kalau boleh kita nak elakkan perpindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada waktu malam, selain untuk memudahkan kerja pasukan penyelamat.
 
"Kalau ikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan lebat berterusan akan berlaku sehingga 23 Nov atau 26 Nov ini.
"Dan kita juga risau dengan fenomena air pasang besar ketika ini. Kita takut akan banjir lagi dan berlaku pemindahan semula," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong di sini hari ini.
Menerusi tinjauan Bernama di PPS berkenaan, tiada mangsa yang berada di situ tengah hari ini dan difahamkan mereka telah pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan kediaman sebagai mengambil peluang cuaca yang agak baik hari ini.
PPS berkenaan difahamkan dibuka petang semalam bagi menampung lebihan mangsa banjir di PPS Darul Iman Training Centre (DITC) dan kedua-dua PPS itu menempatkan seramai 2,066 mangsa daripada 505 keluarga sehingga tengah malam tadi dengan kebanyakan mereka dari perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong.
Kemaman merupakan daerah pertama dan terburuk dilanda gelombang pertama banjir susulan Monsun Timur Laut tahun ini di Terengganu dengan data setakat 2 petang tadi mencatatkan seramai 2,620 mangsa daripada keseluruhan 2,831 mangsa di lima daerah terjejas.
-- BERNAMA

Keengganan berpindah sukarkan operasi selamat mangsa banjir

Chukai: Polis mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang mula melanda negeri ini sejak semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, keengganan sesetengah mangsa untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) antara kesukaran dihadapi pihak berkuasa ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir.

"Apa yang menjadi kebimbangan pihak penyelamat apabila kemungkinan ada di antara mangsa yang tidak mahu berpindah ke PPS.

"Jadi, saya nasihatkan mangsa banjir mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak berpindah pada saat akhir.

"Kita tidak mahu mereka menghadapi keadaan kritikal dan menyukarkan pihak penyelamat untuk melakukan operasi menyelamat terutama pada waktu malam.

"Segera berpindah jika keadaan air semakin naik dan jangan tunggu arahan pihak berkuasa," katanya ketika membuat tinjauan di pos kawalan bencana di Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong, di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai mangsa akan dipindahkan terutama di kawasan sekitar Chukai.

Katanya, lebih 10,000 mangsa akan terjejas sekiranya banjir melanda kawasan Chukai terutama penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Kemaman.

"Lebih 80 PPS beroperasi di seluruh Kemaman yang boleh menempatkan seramai 40,000 mangsa banjir.

"Banjir boleh berlaku disebabkan dua kemungkinan iaitu taburan hujan yang banyak dan pertembungan air pasang besar beserta hujan lebat.

"Penduduk khususnya di kawasan berhampiran sungai, hendaklah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan segera berpindah sekiranya mendapati paras air sungai semakin naik.

"Ibu bapa juga dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergerakan anak dan tidak membiarkan mereka bermain air banjir bagi mengelak kejadian lemas," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search