Kebakaran di Putra Heights: MAIS agih lebih RM57,000 bantuan kepada mangsa
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA, 11 April- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan sumbangan lebih RM57,000 kepada 234 penduduk yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights.
Daripada jumlah itu, RM35,000 diperuntukkan bagi bantuan kotak makanan dan RM22,800 bagi Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata 158 ketua keluarga menerima bantuan kotak makanan bernilai RM220.
76 pelajar sekolah pula menerima bantuan Agihan Fidyah Wang Saku RM300 bagi setiap orang.
"Jadi, harapan kami dengan bantuan ini agar mangsa-mangsa ini dapat menjalankan semula kehidupan mereka seharian seperti biasa," kata Datuk Salehuddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada majlis penyampaian bantuan di Masjid Putra Heights, Selangor.
Sementara itu, kerajaan Selangor akan menumpukan fasa pemulihan tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights mulai Isnin ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kali ke-9, hari ini.
Jelasnya, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan berkenaan, laporan lengkap daripada bahagian jawatankuasa siasatan akan diserahkan kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Bantuan Pendidikan Tragedi Putra Heights di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.
Seramai 265 pelajar menerima bantuan wang tunai sebanyak RM500 dengan peruntukan berjumlah RM132,500 daripada kerajaan negeri melalu Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).
Selain itu, penerima turut menerima laptop dan pengecas mudah alih (powerbank) yang disumbangkan Kementerian Digital.
Seramai 37 mahasiswa menerima baucar buku bernilai RM200 setiap seorang.