PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Dulu La Nina, kini risau fikir El Nino

Dulu La Nina, kini risau fikir El Nino

Setiap kali menjelang akhir atau awal tahun, kita begitu bimbang dengan fenomena tengkujuh atau La Nina. Apa tidaknya sekali hujan lebat dalam tempoh lama maka bersedialah untuk bah besar.

Apabila masuk pertengahan tahun, kita mula resah tatkala Malaysia mengalami perubahan cuaca iaitu musim panas dan kering, keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan dan berisiko mengalami strok haba.

Sebenarnya fenomena cuaca panas melampau yang semakin kerap melanda negara bukan lagi isu bermusim semata-mata, sebaliknya ia berkait rapat dengan perubahan corak iklim serantau dan global.

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, cuaca panas ketika ini mempunyai kaitan dengan fenomena Monsun Barat Daya yang sedang dialami di negara ini.

“Fenomena ini biasanya akan berakhir sekitar September hingga Oktober yang mana apabila angin mendominan barat daya bergerak ke timur laut.

Pada masa ini (musim peralihan monsun), tiadanya angin dominan yang kuat dalam mempengaruhi proses-proses skala kecil setempat serta kesan bayu laut,” ujarnya.

Justeru kesan utama musim kering atau El Nino terutama negara tropika seperti Malaysia menyaksikan cuaca akan menjadi lebih panas dan kering melampau daripada biasa.

Ujar beliau, akibat situasi itu apa yang lebih membimbangkan, bekalan air mungkin boleh terjejas kerana pengurangan taburan hujan.

“Kita sebenarnya boleh melindungi kita dengan melengkapkan kita sendiri dengan ilmu pengetahuan berkenaan corak iklim.

“Kita tidak boleh menolak hukum alam tetapi kita boleh berdepan dengan sentiasa peka terhadap nasihat dan amaran dikeluarkan pihak berkuasa antaranya Jabatan Meteorologi,” ujarnya.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip sebelum ini dilaporkan berkata, orang ramai perlu berwaspada terhadap risiko cuaca panas dan gelombang haba lebih ekstrem tahun ini susulan fenomena Super El Nino.

Menurutnya, keadaan iklim itu dijangka mencapai kemuncak pada penghujung tahun hingga awal tahun depan dengan kehadiran Super El Nino kuat, berpotensi mening­katkan suhu maksimum harian sehingga 0.7 darjah Celsius berbanding suhu kebiasaan.

Malah katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan isu pemanasan global yang semakin ketara sejak kebelakangan ini, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya cuaca panas melampau.

Super El Nino turut dijangka memberi kesan terhadap taburan hujan negara ketika MTL 2026/2027 yang berlaku antara November hingga Mac depan.

Sebelum ini, Pensyarah Fakulti Kejurute­raan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor memberitahu, fenomena El Nino tidak lagi boleh dilihat sebagai kitaran iklim biasa sebaliknya telah berubah menjadi fenomena lebih ekstrem, kompleks dan memberi impak sistemik.

Katanya, cabaran utama ba­kal dihadapi bukan sekadar ber­depan cuaca panas, tetapi sistem iklim semakin tidak menentu akibat interaksi antara El Nino dan perubahan iklim global.

Malaysia pernah berdepan cuaca terpanas pada 1997 dan 1998 iaitu di Chuping, Perlis yang menyaksikan suhu 40.1 darjah Celsius, rekod suhu tertinggi di negara ini.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search