Mangsa banjir turun kepada 99,823, tujuh kematian direkodkan
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 99,823 orang malam ini berbanding 112,455 petang tadi dengan Kelantan terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi.
Namun, situasi banjir di tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Johor mencatatkan peningkatan jumlah mangsa setakat 8 malam ini manakala di Negeri Sembilan kesemua PPS ditutup sepenuhnya.
Angka kematian akibat banjir pula meningkat kepada tujuh orang selepas seorang lelaki yang dilaporkan hilang setelah motosikal ditunggang dihanyutkan arus sebelum ditemukan lemas di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 3, Dungun, Terengganu hari ini.
Di KELANTAN, setakat 8 malam ini, jumlah mangsa terus mencatat penurunan kepada 62,507 orang membabitkan 19,482 keluarga yang ditempatkan di 169 PPS berbanding 71,004 orang petang tadi.
Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 27,595 orang, diikuti Tumpat (21,070), Kota Bharu (1,421), Pasir Puteh (3,997) dan Kuala Krai (3,025), Bachok dengan 3,355 mangsa, Machang (1,618) dan Tanah Merah seramai 426 orang.
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan hanya dua sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya namun dalam trend menurun iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (10.34 meter) dan Sungai Golok di Tumpat (4.03 meter).
Keadaan di TERENGGANU turut menyaksikan jumlah mangsa yang berada di PPS di lapan daerah berkurangan kepada 26,693 orang yang berlindung di 150 PPS setakat 8 malam ini berbanding 30,682 orang pada 4 petang tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JBPNT) memaklumkan daerah Dungun masih mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 8,363 orang di 32 PPS diikuti Kuala Nerus (6,626 mangsa, 17 PPS), Besut (4,671 mangsa, 40 PPS) dan Kuala Terengganu (3,891 mangsa, 12 PPS), Hulu Terengganu (1,136 mangsa, 21 PPS), Setiu (841 mangsa, 15 PPS), Marang (685 mangsa, sembilan PPS) dan Kemaman (480 mangsa, empat PPS).
Dalam pada itu, paras air sungai di tiga stesen iaitu Parit Utama di Padang Kemunting dan Sungai Nerus di Kampung Jeram dalam daerah Kuala Nerus serta Sungai Telemong di Kuala Ping di Hulu Terengganu masih melebihi tahap bahaya.
Tiga lagi stesen iaitu Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu serta Sungai Terengganu di Muzium Terengganu, Kuala Terengganu melepasi paras amaran dengan trend menaik.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir turut berkurangan kepada 7,143 orang daripada 2,176 keluarga malam ini berbanding 7,383 orang daripada 2,234 keluarga pada sebelah petang tadi yang ditempatkan di 42 PPS di lima daerah terjejas.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi seramai 3,987 mangsa daripada 1,203 keluarga, diikuti Kubang Pasu (2,025 orang daripada 642 keluarga); Pokok Sena (574 orang daripada 171 keluarga); Padang Terap (311 orang daripada 89 keluarga) dan Sik seramai 246 orang daripada 71 keluarga.
Di PERLIS, jumlah mangsa banjir juga mencatatkan penurunan kepada 43 orang malam ini dengan kesemua mereka berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Arau di Arau.