PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Cuti Menteri, Timbalan Menteri beku susulan banjir

PUTRAJAYA: Semua anggota Jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan dibekukan cuti susulan bencana banjir di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka diarahkan dengan segera untuk turun padang.

“Semua menteri kabinet minta teruskan tugas sekarang. Turun.

“Ya (cuti dibekukan). Terus, terus (turun padang),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pudina, Presint 17.

Ketibaan Anwar pada jam 1.12 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Naim Mokhtar bersama pengurusan Surau Pudina.

Beliau bersama jemaah lain diperdengarkan bacaan khutbah Jumaat bertajuk “Tuntutan Mengimarah Rumah Allah.”

Dalam khutbah itu, imam mengingatkan keperluan untuk menghidupkan masjid dengan pelbagai program bermanfaat kepada umat Islam.

Terdahulu, Anwar sempat menjamu selera di Medan Selera Taman Warisan Pertanian di Presint 16.

Beliau kemudian menyantuni peniaga dan pengunjung yang hadir ke gerai berkenaan.

 

MRSM boleh digunakan jika PPS penuh

KOTA BHARU: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) boleh digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan sekiranya tempat perlindungan sedia ada sudah penuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini PPS sedia ada di Kelantan adalah sebanyak 550.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana putuskan bagi kawasan yang PPS yang sudah penuh, kebenaran khas diberikan untuk membuka PPS baru di MRSM.

“Ia termasuk MRSM di Tumpat. Setakat ini, di Kalantan PPS yang berdaftar adalah sebanyak 550 PPS,” katanya pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini, hari ini.

Sehingga jam 3 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 64,937 membabitkan 20,207 keluarga dipindahkan ke 237 PPS.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas merekodkan mangsa paling ramai iaitu 22,225 orang.

 

Amaran hujan berterusan di 8 negeri - METMalaysia

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang melibatkan lapan negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor, sehingga esok.

METMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa hujan lebat berterusan pada tahap bahaya dijangka berlaku di Kelantan, khususnya di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai serta di Terengganu.

Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang) dan Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) pula diramalkan mengalami hujan lebat berterusan pada tahap buruk dalam tempoh yang sama.

Hujan berterusan pada tahap waspada dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar), Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera) serta Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi).

Menteri diarah beku cuti, pergi bantu mangsa banjir

Putrajaya: Cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semua menteri dan timbalan menteri juga diarahkan turun padang ke kawasan bencana.

"Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan). Ya (cuti dibekukan)," katanya ketika ditanya sama ada cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan berikutan bencana banjir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunai solat Jumaat di Surau Pudina, Presint 17 di sini, tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa menyertai lebih 500 jemaah menunaikan solat Jumaat di berkenaan. 

Perdana Menteri tiba kira-kira jam 1 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau bersama jemaah lain turut mendengar khutbah bertajuk Tuntutan Mengimarah Rumah Allah sebelum menunaikan solat Jumaat diimamkan Ustaz Asyraf Ibrahim.

Usai solat Jumaat, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu warna hijau sempat beramah mesra dengan pengurusan masjid dan kariah serta orang ramai sebelum beredar.

Perdana Menteri juga sempat meluangkan masa makan tengah hari bersama penduduk setempat di Medan Selera Taman Warisan Pertanian dekat sini.

 

NADMA aktifkan pusat kawalan operasi bencana pusat

PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) bagi menyelaras dan memantau operasi menyelamat dan pengurusan mangsa banjir di lapangan.

NADMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan PKOB Pusat diaktifkan bertujuan untuk menyelaras semua PKOB negeri yang sedang mengurus bencana banjir.

“Penyelarasan termasuklah aset-aset dan keperluan logistik, mengatur gerak pasukan penyelamat serta lain-lain keperluan yang merentas negeri masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Menurut NADMA, memandangkan jumlah mangsa telah meningkat secara mendadak di Kelantan, pihak PKOB negeri itu telah memohon khemah tambahan Collapsible Tenat (C-Tent) untuk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat pula telah memohon tambahan makanan retort sebanyak 50,000 unit untuk diagihkan di PPS seluruh negara,” menurut NADMA.

Kenyataan itu memaklumkan Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) juga telah digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di negeri-negeri yang terjejas terutamanya Kelantan.

Mengulas mengenai situasi banjir ketika ini, NADMA memaklumkan ketika ini Kelantan dan Terengganu sedang berhadapan dengan situasi banjir yang buruk dan menurut Jabatan Meteorologi Malaysia hujan sangat lebat berterusan (bahaya) sehingga esok berkemungkinan boleh menyebabkan banjir yang lebih besar.

Justeru, NADMA memaklumkan bahawa semua aset telah digerakkan untuk menghadapi bencana yang lebih serius sekiranya berlaku.

Sementara itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) NADMA pada 6 pagi tadi, jumlah mangsa yang ditempatkan akibat banjir di seluruh negeri adalah seramai 80,589 orang dari 24,647 keluarga, dengan empat kematian direkodkan di Kelantan, Terengganu dan Sarawak.

Terdapat 27 daerah yang terkesan dan sebanyak 467 buah PPS diaktifkan di tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

NDCC NADMA yang beroperasi 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau dan menyediakan laporan terkini situasi banjir di seluruh negara sebagai rujukan semua.

“Amaran bencana seperti amaran hujan berterusan dan amaran banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

“Ini termasuklah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Darerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” menurut kenyataan.

NADMA turut menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa dan mengikut arahan untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Maklumat dan amaran cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi myCuaca, serta MET Malaysia Hotline di talian 1-300-22-1638 dan Portal Bencana NADMA di www.portalbencana.nadma.gov.my.-BERNAMA

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search