Pasir Mas: "Kami 20 orang terperangkap di tingkat atas rumah, sekelililing rumah seperti pulau, balai polis pun nampak bumbung," kata Atikah, 27, mangsa banjir di Kampung Bakong.
"Namun sebaliknya yang berlaku rumah ibu saudara pun dinaiki air dan paras air di tingkat bawah rumah sudah cecah paras dada hampir satu meter.
"Sejak malam tadi kami menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan dan sehingga kini masih menununggu untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara.
"Air begitu deras dan bot biasa sudah tidak dapat masuk ke sini yang menyebabkan kami terperangkap.
"Keadaan sekarang masih hujan dan kami bimbang paras air semakin naik. Justeri kami berharap pasukan penyelamat dapat membawa kami ke PPS dengan kadar segera," katanya ketika dihubungi.
Katanya, mereka penduduk di kampung berkenaan sudah bergelap sejak tiga hari lalu dan berharap urusan mereka dipermudahkan untuk ke PPS.
KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan di Kelantan menyebabkan paras air di tujuh sungai terus melepasi tahap bahaya.
Sungai terbabit ialah Sungai Melor di Jambatan Melor, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Semerak di Pasir Putteh.
Selain itu, Sungai Kelantan di Kusial, Sungai Golok di Kuala Jambu dan Sungai Kelantan di Kusial Baru.
Sementara itu, paras air di tiga sungai pula melepasi tahap amaran, iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Gakas di Chegar Lapan dan Sungai Pahi di Kampung Pahi.
Pada masa sama, paras air tujuh sungai mencatat bacaan melepasi tahap berjaga-jaga.
Setakat jam 10.30 pagi ini, hujan lebat masih berterusan di Kelantan.
KUALA KRAI: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya - itu keadaan yang dialami hampir 200 penduduk Kampung Mial, di sini, apabila sekurang-kurang 37 rumah telah ditenggelami banjir hingga paras bumbung.
Setakat ini, kampung berkenaan sudah dinaiki air mencecah lebih lima meter (m) susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Penduduk, Hanapi Ali, 64, berkata lebih-lebih lagi kampung berkenaan dikelilingi sungai menyebabkan limpahan airnya memenuhi kawasan penempatan itu.
Katanya, hasil tinjauan dilakukan penduduk sendiri mendapati 37 daripada 60 kediaman di kampung itu hanya tinggal nampak bumbung, setakat pagi semalam.
Malah, beliau berkata, penduduk di beberapa perkampungan juga terputus hubungan selepas jambatan yang menjadi laluan utama untuk ke Bandar Kuala Krai ditenggelami banjir.
"Situasi banjir kali ini adalah di luar jangkaan. Penduduk berharap hujan segera reda kerana bimbang kejadian bencana sama 10 tahun lalu kembali berulang," katanya.
Hanapi memaklumkan, rumahnya ialah antara kediaman yang ditenggelami banjir hingga ke paras bumbung, dan beliau sekeluarga kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPD) Balai Raya Kampung Mial.
"Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ujian daripada Allah SWT dan berharap keadaan kembali seperti biasa dalam masa terdekat," katanya.
KOTA BHARU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan dakwaan akan melepaskan air Empangan Pergau seperti yang tular di media sosial.
TNB Careline menerusi Facebook memaklumkan setakat ini paras air Empangan Pergau masih terkawal.
"TNB ingin memaklumkan bahawa mesej tular yang kononnya Empangan Pergau, Kelantan akan melepaskan air adalah tidak benar. "Pada masa ini, paras air di empangan Pergau berada pada paras normal dan terkawal.
"Pengurusan stesen juga memaklumkan status terkini empangan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan Jawatankuasa Bencana Daerah Jeli," katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat.
KUALA LUMPUR: Jumlah penduduk terjejas akibat banjir yang melanda tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Perak dan Selangor terus meningkat kepada 74,173 mangsa daripada 22,966 keluarga setakat jam 7.30 pagi ini.
Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 501 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.
Kelantan masih merekodkan angka mangsa banjir tertinggi dengan 59,232 orang yang membabitkan 18,471 keluarga yang ditempatkan di 221 PPS di 10 daerah negeri berkenaan.
Di Terengganu, seramai 11,870 mangsa banjir (3,461 keluarga) sedang berlindung di 235 PPS yang beroperasi di lapan daerah, manakala di Kedah, 31 PPS dibuka di lima daerah yang menempatkan 2,237 mangsa banjir (778 keluarga).
Di Negeri Sembilan pula, enam PPS sedang beroperasi yang menempatkan 274 mangsa (96 keluarga) di dua daerah manakala di Perlis 332 mangsa banjir daripada 99 keluarga di empat PPS di tiga daerah.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 159 orang membabitkan 39 keluarga manakala di Perak membabitkan dua daerah dengan 69 keluarga daripada 22 keluarga.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir, seramai 24,285 (32.74 peratus) adalah lelaki dewasa; 25,915 (34.94 peratus) perempuan dewasa; 11,187 (15.08 peratus) kanak-kanak lelaki; 10,729 (14.46 peratus) kanak-kanak perempuan; 1,098 (1.48 peratus) bayi lelaki; dan 960 (1.3 peratus) bayi perempuan.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 2,638 mangsa (3.56 peratus) lelaki warga emas; 3,078 (4.15 peratus) wanita warga emas; 1,288 (1.74 peratus) orang kurang upaya (OKU) lelaki; dan 960 (1.30 peratus) OKU perempuan.