BESUT : Kementerian Kerja Raya (KKR) bekerjasama dengan syarikat konsesi sedang menguji keberkesanan produk teknologi tebatan banjir dari Denmark yang dikenali sebagai NoFloods bagi meminimum impak jalan terputus akibat banjir.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengujian produk berkenaan dipasang di Jalan Seberang Jertih sempadan Kelantan, di Besut, sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut.
Katanya, produk berkenaan kini di peringkat Proof of Concept (POC) dan dipasang di sepanjang 300 meter di Seksyen 6.30, Jalan Persekutuan FT189.
"Produk yang menggunakan teknologi internet kebendaan (IOT) ini dipasang mulai Oktober lalu hingga 31 Mac 2025 bagi proses ujian dan percubaan selama enam bulan.
"Tempoh ujian ini adalah selaras dengan tempoh musim tengkujuh di Terengganu," katanya ketika merasmikan Teknologi Tebatan Banjir & IOT NoFloods di Besut di Kampung Beris Pak Abu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini teknologi NoFloods ini berjaya menghalang air daripada merentasi jalan yang boleh menyebabkan banjir berlaku dan memutuskan perhubungan jajaran jalan raya itu.
"Catatan ketinggian paras air yang direkod adalah setinggi 0.9 meter dari aras tanah dan alat ini mampu menampung sehingga 1.2 meter ketinggian aras air banjir.
"Sehubungan itu, teknologi NoFloods ini dapat memberi perlindungan pada aset awam seperti jalan raya dan mengurangkan risiko jalan cepat rosak akibat banjir," katanya.
Beliau berkata, setiap tahun negara dilanda banjir dan teknologi berkenaan salah satu inisiatif mitigasi KKR dalam mengurangkan impak banjir terhadap perhubungan, kerosakan jalan raya dan gerakan bantuan mangsa banjir.
Alexander turut meninjau lokasi-lokasi cadangan kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di Dungun yang dicadangkan dilaksanakan tahun depan.
" Tiga lokasi yang menjadi keutamaan kerja penyenggaraan jalan ialah Jalan Kuala Terengganu – Kuantan (FT003) di Seksyen 463-465, Jalan Bukit Besi-Dungun (FT132) di Seksyen 8-10 dan Jalan Jerangau-Jabor (FT14) di Seksyen 117-118.
"Bagi 2025, KKR mengenal pasti dan memohon 228 bilangan kerja penyenggaraan berkala 'pavemen' bernilai RM301.77 juta dan 197 bilangan kerja berkala bukan 'pavemen' bernilai RM46.9 juta bagi Jalan Persekutuan di Negeri Terengganu," katanya.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berhasrat menghantar sumbangan bagi meringankan beban rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir sebagai tanda solidariti dan kebersamaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dizahirkan rakan sejawatnya menerusi perbualan telefon mereka petang tadi dan Shehbaz turut menyatakan simpati kepada Malaysia susulan musibah itu.
“PM Shehbaz mendoakan perlindungan dan kesejahteraan kepada lebih 140,000 rakyat Malaysia di beberapa negeri yang terkesan dengan bencana banjir.
“Saya nyatakan penghargaan tertinggi atas sifat murah hati PM Shehbaz dan mengalu-alukan sumbangan itu bagi menghargai persahabatan erat Malaysia-Pakistan,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Anwar turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan Pakistan itu, turut menjemput Shehbaz berkunjung ke Malaysia pada awal tahun depan.
Menerusi hantaran itu, Anwar juga berkata, keutamaan dan perhatian sepenuhnya kini tertumpu kepada kebajikan serta keselamatan mangsa banjir.
“Semoga Allah mengangkat musibah ini sesegera mungkin,” katanya.
Keadaan banjir di sembilan negeri terus memburuk hari ini dan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara ialah seramai 142,684 orang setakat petang tadi.
Bencana itu turut mengorbankan empat nyawa setakat ini.
Selain Kelantan yang paling teruk terkesan akibat bencana itu, banjir turut melanda Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Johor, Melaka, Perak dan Selangor. — BERNAMA.
JOHOR BAHRU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta sama-sama berganding bahu membantu mangsa banjir terjejas yang melanda sembilan negeri, ketika ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan mengambil berat dan simpati terhadap mangsa bencana banjir seluruh negara yang kini sudah melebihi angka 100,000.
“Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninjau keadaan di Kelantan dan hari ini di Terengganu.
“Minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan ke Pantai Timur untuk meninjau sendiri keadaan banjir dan salurkan bantuan.
“Kerajaan memang salurkan dana bantuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk bantu mangsa banjir yang terkesan. Insya Allah, kita akan bantu jika ada isu berbangkit.
“Saya juga sudah minta pertolongan dari GLC di bawah Kementerian Kewangan supaya berganding bahu membantu mangsa banjir yang terjejas menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), di waktu mereka memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Perdana Menteri melancarkan Karnival My Pesara KWAP di Padang Akasia, Angsana Mall JB, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed.
Pada 18 Oktober, Perdana Menteri dilaporkan mengarahkan penyaluran segera peruntukan hampir RM600 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir, termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
Selain itu, peruntukan RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), untuk memulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di bandar yang terkesan banjir, turut diarah disalurkan segera.
Hari ini pula, kerajaan dilaporkan sudah mengagihkan dana banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas di seluruh negara bermula semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata bayaran itu akan disalurkan kepada setiap KIR yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dilaporkan berharap pengagihan bantuan berkenaan, terutama bantuan tunai akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya.
Mangsa banjir di seluruh negara dilaporkan meningkat hampir 10,000 dalam tempoh dua jam, menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 130,957 dengan 39,268 keluarga setakat tengah hari tadi.
Kelantan dan Terengganu masih mencatatkan jumlah tertinggi manakala lima lagi negeri, Kedah, Selangor, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor turut menunjukkan peningkatan ketara
Di Kelantan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir menunjukkan trend menaik kepada 91,080 orang dengan 288 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 daerah setakat jam 5.00 petang tadi.
KOTA BHARU: Sebanyak 20 Jalan Persekutuan membabitkan enam jajahan di Kelantan telah ditutup, setakat ini, susulan banjir yang melanda sejak Rabu lalu.
Enam jajahan terbabit ialah Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Bachok.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub, berkata 12 daripada jalan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan, manakala lapan lagi ditutup kepada kenderaan ringan sahaja.
"Lapan Jalan Persekutuan yang ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan di Pasir Mas ialah jalan berhampiran Kedai Tanjung, Kampung Tok Deh, Culvert 5 di Jalan Kota Bharu-Pasir Mas-Rantau Panjang, Kubang Rambutan, AADK Lubok Jong, Jambatan Lubok Jong-Risda Gaung, Jambatan Tersang dan lampu isyarat Rantau Panjang.
"Di Tumpat pula membabitkan Kampung Telaga Bata-Kampung Pauh Sebanjar dan Terowong Pasir Pekan, manakala di Tanah Merah dekat Kampung Pepuyu-Kampung Kajang dan Kota Bharu di McDonald's Kok Lanas," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata, lapan Jalan Persekutuan yang ditutup kepada kenderaan ringan saja ialah masing-masing dua jalan di Kampung Badak dan Kampung Gaung Jalan Bypass (Pasir Mas), Caltex Padang Melintang-Petron Beris Kubu Besar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu (Bachok), lampu isyarat Jerus dan Panggong Tiga Daerah (Pasir Puteh) serta SK Tiong dan selekoh culvert, Jalan Pantai Cahaya Bulan (Kota Bharu). – BERNAMA
TANJUNG MALIM: Susulan peningkatan jumlah mangsa banjir yang terjejas, sukarelawan ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil bertindak sebagai institusi pertama dalam memberikan bantuan kepada mangsa di Kelantan dan Perak.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff menggerakkan kepakaran ResQ Team ke Tumpat, Kelantan bagi membantu operasi menyelamat mangsa yang terperangkap dan terjejas.
Menurut Md Amin, kepantasan dan kecekapan ResQ Team UPSI yang sentiasa sedia berkhidmat dalam membantu mangsa yang ditimpa bencana ini memupuk semangat juang ResQ Team UPSI yang terus menyala tanpa henti.
“Keberanian mereka untuk bertindak dan membantu adalah bukti nyata bahawa nilai kemanusiaan adalah perkara yang paling utama dalam setiap usaha menyelamatkan nyawa”, ujarnya lagi.
Misi bantuan ini diketuai oleh Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong bersama tiga sukarelawan dengan kekuatan jentera yang terdiri daripada satu unit bot, satu unit lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Selain misi menyelamat, katanya, ResQ Team turut menghulurkan sumbangan berbentuk pakaian kepada mangsa yang memerlukan dari Pasukan Preloved Shoppe di bawah Pusat Kaunseling.
Dalam pada itu, Pusat Kaunseling UPSI turut menyantuni mangsa banjir di Daerah Batang Padang, Perak dengan memberikan khidmat bantuan asas psikologi dan sumbangan berbentuk pakaian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru, Sungkai.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata misi ini bukan hanya sekadar membantu mangsa banjir, tetapi juga menunjukkan komitmen ResQ Team UPSI dalam memberi sokongan psikososial kepada mereka yang terjejas.
“Hal ini dapat menjadi contoh terbaik tentang bagaimana kesatuan dan komitmen tinggi boleh memberi impak besar dalam situasi yang penuh cabaran”, tambahnya.