PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Dakwaan MADA melepaskan air Empangan Muda tidak benar - Sanusi

SIK: Keadaan limpahan air di Empangan Muda masih tidak perlu kepada tindakan serta pengisytiharan kecemasan berikutan belum dikategorikan sebagai kritikal.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata limpahan yang berlaku kini adalah bersifat semula jadi apabila takungan air di empangan itu melebihi paras maksimum.

Sekali gus beliau menafikan pihak yang mengurus selia empangan berkenaan iaitu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melepaskan air empangan seperti yang didakwa.

"Saya baru sahaja mendapat taklimat daripada jurutera yang bertanggungjawab terhadap keselamatan empangan ini, sekarang keadaan paras air empangan 101.8 meter.

"Tidak perlu kepada apa-apa tindakan kecemasan dan dakwaan MADA lepas air itu tidak benar kerana limpahan air akibat daripada dalamnya air (takungan) adalah secara semula jadi. Paras limpahan sekarang ini empat kaki (1.21 meter) atas tembok mukanya.

"Paras air menunjukkan trend menurun yang sebelum ini 337 kaki (102.7 meter) sekarang 334 kaki (101.8 meter) dan insyaAllah keadaan akan terus menurun dan tidak ada keperluan mengisytiharkan kecemasan dan sebagainya," katanya dalam satu video yang dimuat naik di media sosial selepas meninjau keadaan Empangan Muda di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata sekiranya paras limpahan Empangan Muda melebihi 3.04 meter pihak MADA akan memaklumkan kepada pengerusi keselamatan daerah iaitu Pegawai Daerah untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, tindakan yang akan diambil selari dengan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Saya nasihatkan kepada orang ramai yang datang ambil gambar dan video tak perlu mencetuskan suasana panik dan benda itu (pelepasan air) tidak berlaku, tidak perlu kepada laporan dan ulasan yang berlebihan.

"MADA akan buat pemantauan 24 jam, tak perlu kepada spekulasi yang berlebihan, kita tunggu maklumat lanjut daripada pengerusi keselamatan daerah dan MADA," katanya.

Banjir: 9 sungai di Kelantan, 13 di Terengganu lepasi paras bahaya

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan dan Kuala Terengganu dijangka bertambah buruk selepas banyak sungai utama di kedua negeri itu sudah melepasi paras bahaya.

Di Kelantan yang bilangan mangsa banjirnya sudah melebih 80,000 merekodkan sembilan sungai melepasi paras bahaya setakat pagi tadi.

Sungai berkenaan adalah Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Sungai Golok di Kuala Jambu dan Sungai Melor di Jambatan Melor.

Selain itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Lanas di Air Lanas, Sungai Semerak di Pasir Puteh, Sungai Kelantan di Kusial dan Kusial Baru, manakala dua sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Pahi di Kampung Pahi dan Sungai Galas di Chegar Lapan.

Setakat jam 9 pagi ini, hujan di beberapa daerah sudah berhenti selain hujan rentai-rentai di beberapa daerah lain. Di Terengganu, sebanyak 13 sungai di beberapa daerah sudah melepasi paras bahaya setakat jam 8 pagi tadi.

Selain itu, tiga lagi sungai merekodkan bacaan melepasi paras amaran manakala dua lagi kini paras waspada.

Berdasarkan data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, tiga sungai di Setiu melepasi paras bahaya, diikuti dua sungai masing-masing di Besut, Kemaman, Hulu Terengganu dan Dungun manakala satu masing-masing di Marang dan Kuala Nerus.

Tiga sungai melepasi paras bahaya di Setiu adalah Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (9.57 meter), Sungai Nerus di Kampung Bukit (15.03 meter) dan Sungai Nerus di Kampung Langkap (22.45 meter).

Di Besut, ia membabitkan Sungai Besut di Kampung Keruak (35.56 m) dan Sungai Besut di Kampung La (23.35 m).

Turut melepasi paras bahaya adalah Sungai Kemaman di Paya Paman (4.51 m) dan Sungai Tebak di Kampung Tebak (18.77 m) serta Sungai Dungun di Kuala Jengai (21.34 m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (13.41 m).

Di Hulu Terengganu, sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping (22.26 m)dan Sungai Berang di Kampung Menerong (24.77 m).

Di Marang, ia membabitkan Sungai Marang di Pengkalan Berangan (3.55 m) dan Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus (4.44 m).

Sementara itu, tiga sungai yang melepasi paras amaran adalah Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman (2.12 m); Sungai Terengganu di Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu (2.17 m) dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu (8.07 m).

Dua lagi sungai kini mencatatkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Terengganu di Kampung Tanggol, Hulu Terengganu (8.12 m) dan Sungai Peneh di FELDA Mengkawang, Hulu Terengganu (36.60 m).

 

Khairul Aming redah banjir beri bantuan

KOTA BHARU: Pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming turun padang membantu mangsa banjir di Kelantan, semalam.

Pengasas Sambal Nyet itu memulakan operasi mengagihkan bantuan dan santuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) bermula petang semalam.

Selain mengagihkan bantuan keperluan asas, pempengaruh berkenaan turut menyediakan makanan.

Menerusi TikToknya, Khairul Aming dan pasukannya mengagihkan sebanyak 1,200 pek nasi dan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di Pasir Mas malam tadi.

Sebanyak 12 kenderaan pacuan empat roda digunakan bagi membawa barangan bantuan berkenaan.

Pada masa sama, pempengaruh berkenaan turut membuka kutipan untuk sesiapa yang mahu menyumbangkan barangan bantuan kepada banjir.

Namun, beliau tidak menerima wang tunai kerana tidak membuka tabung derma memandangkan perlu permit selain bimbang terlepas pandang amanah duit orang nanti.

 

'Tolong bantu selamatkan suami, 2 anak terperangkap atas bumbung'

PASIR MAS: "Tolong selamatkan suami dan dua anak saya, mereka kini berada di atas bumbung rumah sejak malam tadi," rayu Fazlinda Mohd Salleh yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Bayu Lalang, di sini.

Fazlinda, 39, berkata, dia sudah memaklumkan kepada beberapa agensi keselamatan termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan penyelamat daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu suami dan anak-anak yang terperangkap di Kampung Meranti, di sini.

Katanya, suaminya, Rizal Asmawi, 42, masih boleh dihubungi namun rangkaian telefon dilaporkan sudah terganggu dan dia memaklumkan bahawa ada bersama dua anak, Muhammad Faiz Fitri, 12, dan Muhammad Faiz Idlan, 15, berlindung di atas bumbung rumah.

"Suami bersama anak pada awalnya sudah keluar ke PPS berkenaan namun kembali semula ke rumah petang semalam untuk mengangkat barangan ke tempat selamat.

"Namun, kami tidak sangka air naik mendadak sehingga mereka terperangkap dan tiada orang yang dapat membantu susulan paras air yang sangat tinggi.

"Suami memaklumkan bahawa dia ada cuba keluar berenang ke rumah orang kampung untuk meminta bantuan, namun tidak berjaya sebelum kembali semula ke rumah," katanya.

Fazlinda berkata, dia tidak mampu tidur lena memikirkan keadaan suami dan anak-anak yang semakin lemah serta kesejukan.

"Anak-anak saya sudah kelaparan selain sakit pada bahagian kaki mungkin kerana terlalu lama berendam di air. Tambahan pula, sudah tiada kawasan daratan untuk mereka berlindung.

"Saya mohon kepada semua pihak untuk bantu menyelamatkan mereka kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku," katanya.

 

'Sangat menyedihkan, ribuan rumah hanya nampak bumbung, ada tenggelam terus'

RANTAU PANJANG: 'Keadaan sangat menyedihkan, ribuan rumah hanya nampak bumbung, ada tenggelam terus, kenderaan diletakkan di tempat tinggi pun turut tenggelam".

Itu hasil tinjauan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO, Thirdforce di sekitar Rantau Pajang yang mendapati ramai mangsa terperangkap dan tidak sempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Koordinator Thirdforce Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar ketika menceritakan keadaan banjir gelombang pertama tahun ini di jajahan ini, berkata paras air banjir tinggi kerana limpahan Sungai Golok.

"Sungai Golok merekodkan paras terburuk sehingga 11.43 meter, menyebabkan ramai mangsa terperangkap dan tidak sempat berpindah ke PPS," katanya yang menyertai NGO itu sejak sembilan tahun lalu.

Beliau yang menyertai pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu mangsa banjir termasuk membawa mereka ke PPS setiap kali bencana itu melanda sejak sembilan tahun lalu, memaklumkan banjir kali ini yang terburuk disaksikan.

"Saya tinggal di sini sudah 51 tahun dan sepanjang sembilan tahun bersama Thirdforce, saya dapat melihat keadaan banjir lebih menyeluruh kerana terbabit sama dalam operasi.

"Sangat sedih menyaksikan keadaan mangsa banjir. Ada yang menangis melihat rumah tenggelam, ada yang buntu mengenangkan kehidupan selepas ini apabila rumah hanya nampak bumbung," katanya.

Tuan Zaimah berkata, di Rantau Panjang, 99 peratus rumah penduduk dilanda banjir dengan 60 peratus hanya nampak bumbung, termasuk ada yang tenggelam terus dan sesetengah mangsa terpaksa naik ke atas bumbung menanti bantuan pasukan penyelamat untuk dibawa ke PPS.

"Antara kawasan paling teruk terjejas adalah Kampung Tasek Bakong, Pusar, Lachang, Terdang, Telaga Emas dan Perumahan Rantau Mas. Di jajahan ini, hanya sebahagian kawasan Gual Tinggi terselamat, yang lain sudah seperti pulau," katanya.

Daerah Pasir Mas termasuk di Rantau Panjang merekodkan mangsa banjir paling ramai di Kelantan setakat ini, iaitu 25,982 orang membabitkan 8,780 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS.

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search