PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Jumlah mangsa banjir di 9 negeri terus meningkat kepada lebih 132,000 di 712 PPS

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di sembilan negeri terus menunjukkan peningkatan kepada 132,554 orang daripada 38,874 keluarga yang ditempatkan di 712 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor yang mana ia membabitkan 39 daerah.

Kelantan masih kekal negeri paling teruk dilanda banjir kali ini dengan sebanyak 285 PPS diaktifkan untuk menempatkan 86,733 orang daripada 26,806 keluarga yang terjejas di 10 daerah.

Di Terengganu, banjir melanda lapan daerah membabitkan 36,564 mangsa daripada 10,287 keluarga di 334 PPS.

Mangsa banjir di Kedah juga naik dengan mendadak apabila seramai 5,510 orang daripada 1,732 keluarga di tujuh daerah di Kedah ditempatkan di 52 PPS manakala di Negeri Sembilan pula, 20 PPS di empat daerah dibuka bagi memberi perlindungan kepada 2,161 mangsa daripada 614 keluarga.

Sementara di Perlis pula, seramai 492 mangsa daripada 146 keluarga ditempatkan di empat PPS yang dibuka di tiga daerah terjejas banjir.
Selain itu, bilangan mangsa banjir di Selangor kekal 468 orang daripada 105 keluarga yang diberi perlindungan di dua PPS membabitkan satu daerah.

Keadaan banjir di Johor pula merekodkan 383 mangsa membabitkan 115 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS di dua daerah terbabit manakala di Melaka, sebanyak lima PPS diaktifkan bagi memberi perlindungan kepada 226 mangsa daripada 63 keluarga di tiga daerah.

Manakala, sebanyak enam keluarga membabitkan seramai 17 mangsa terjejas banjir di satu daerah dipindahkan ke sebuah PPS di Perak.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KPWKM mohon NADMA lancar pergerakan petugas ke kawasan terlibat banjir

GOMBAK: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam urusan melancarkan pergerakan kakitangan yang diarah ke negeri terjejas banjir.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya telahpun mengarahkan kakitangan dari negeri yang tidak terlibat banjir untuk turun ke kawasan-kawasan yang memerlukan pertambahan kakitangan.

“Saya maklum dalam kabinet semalam untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa terutama sekali NADMA supaya mereka membantu melicinkan perjalanan petugas kita sebab ada kawasan yang ditutup atau
‘roadblock’ untuk tujuan keselamatan, maka kami kena maklum dahulu.

“Setiap hari pihak kami memang memerhati, takut ada lagi yang memerlukan pertambahan petugas. Malah kita juga telah hantar semalam dan mungkin kita akan tambah lagi petugas di Terengganu dan negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Mahligai Cinta Perdana, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pengumuman pembekuan cuti semua anggota Jemaah Menteri susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini, Nancy berkata ia adalah hal biasa setiap kali bencana itu berlaku.

Menurutnya lagi, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan sebelum menteri turun ke kawasan supaya ia tidak menyusahkan petugas menjaga dan membantu mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Saya melihat kalau menteri datang, kadang pegawai akan sibuk dengan menteri. Jadi kita juga perlu mempertimbangkan ini. Kalau saya hendak pergi, saya akan bertanya dulu sama ada diperlukan atau tidak, sebab pegawai semua sudah berpengalaman.

“Macam Menteri lain yang ada keperluan untuk turun ke lokasi contoh menteri pendidikan perlu turun kerana ada peperiksaan. Jadi untuk kita nak menjenguk tu pun perlu berhati hati jugalah.

“Tapi kita akan melihatlah kalau perlu saya akan pergi. Insha Allah,” katanya.

JKR disaran tubuh pasukan khas pasang papan tanda di kawasan banjir

PONTIAN: Sebanyak 198 kawasan di seluruh negara dilaporkan terjejas akibat banjir, termasuk 26 kawasan dilanda banjir kilat. Laporan itu diterima melalui aduan yang disalurkan ke Bilik Gerakan Bencana Banjir Jabatan Kerja Raya (JKR).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, memaklumkan dua kes jalan mendap, dua kejadian tanah runtuh, dan satu insiden cerun runtuh turut direkodkan, namun tiada kerosakan jambatan dilaporkan setakat ini.

“Orang ramai boleh melayari laman sesawang http://bencanaalam.jkr.gov.my untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai lokasi banjir serta cadangan laluan alternatif. 

Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana JKR di 03-2610 7727,” katanya selepas merasmikan Sukan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang di Kampung Puteri Menangis, pagi tadi.

Semalam, JKR mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana Banjir yang beroperasi 24 jam bagi memantau situasi semasa susulan amaran Monsun Timur Laut yang kini berada di tahap merah.

Ahmad Maslan turut mengarahkan JKR negeri dan daerah yang terjejas untuk segera menubuhkan pasukan khas bagi memasang papan tanda amaran di kawasan terjejas banjir.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya. Pengarah dan Jurutera Daerah (JD) juga perlu segera mengenal pasti laluan alternatif jika jalan utama tidak dapat dilalui akibat banjir,” tegasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan laluan logistik dan bekalan makanan sampai ke destinasi tanpa kelewatan demi kebajikan penduduk di kawasan terjejas.

 

Banjir: TNB nafi putuskan bekalan elektrik di Alor Setar

ALOR SETAR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menafikan dakwaan akan memutuskan bekalan elektrik dari Anak Bukit ke Kepala Batas, Kubang Pasu seperti yang tular di media sosial.

TNB Careline dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook memaklumkan dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan meminta orang ramai untuk tidak mudah percaya kepada mesej yang tidak disahkan.

Pada masa sama, TNB meminta supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan kebimbangan.

“Bagaimanapun, sekiranya banjir semakin buruk, berisiko atau membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terbabit bagi memastikan keselamatan pengguna setempat,” katanya.

Sebarang gangguan bekalan elektrik atau kerosakan aset TNB boleh melaporkan di talian 15454, Private Message (PM) di Facebook TNB Carelane, Direct Message (DM) ke x@Tenaga_Nasional atau emel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. – BERNAMA

Banjir: 30 jalan di Kelantan ditutup, jalan raya dilimpahi air

KOTA BHARU: Sebanyak 30 jalan di Kelantan ditutup sementara hari ini berikutan jalan raya dilimpahi air akibat banjir.

Roadcare Wilayah Kelantan menerusi laman Facebook memaklumkan ia membabitkan masing-masing satu jalan di Jeli dan Machang, dua jalan masing-masing di Kuala Krai dan Bachok, tiga jalan masing-masing di Tanah Merah dan Tumpat, masing-masing empat jalan di Pasir Puteh dan Kota Bharu serta 10 jalan di Pasir Mas.

Daripada keseluruhan itu, 14 jalan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, manakala 16 lagi ditutup kepada kenderaan ringan.

Antara jalan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan di Pasir Mas termasuk Jalan Pasir Mas- Pohon Tanjung; Jalan Tok Deh- Gual Periok; Jalan Kota Bharu- Pasir Mas- Rantau Panjang; Jalan Rantau Panjang- Panglima Bayu dan Jalan Lubok Jong- Tanah Merah.

Di Tumpat pula adalah Jalan Pengkalan Kubor- Kota Bharu, manakala Tanah Merah adalah Jalan Panglima Bayu- Rantau Panjang- Jeram Perdah, Jeli ialah Jalan Batu Melintang- Kalai serta Machang di Jalan Kemuning- Bukit Belah.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search