KUALA BERANG: Kerajaan sudah mengagihkan dana banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas di seluruh negara bermula semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bayaran itu akan disalurkan kepada setiap KIR yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berharap pengagihan bantuan berkenaan, terutama bantuan tunai akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya.
"Untuk bantuan daripada Kerajaan Pusat selain daripada bantuan-bantuan bagi operasi penyelamatan, kita sudah mempunyai senarai mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Bermula dari semalam kita sudah mengagihkan bantuan RM1,000 untuk setiap KIR dan ini kita akan lakukan secara berfasa.
"Kita tidak mahu ada dalam kalangan KIR yang berpindah ke PPS dan mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang tidak mendapat bantuan.
"Bagi seluruh negara, kita sudah peruntukan jumlah yang secukupnya. Kalau sekiranya jumlah keluarga melebihi, maka Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri kewangan akan tambah peruntukan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nibong di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sudah memulakan pembinaan 14 pusat pemindahan kekal di setiap negeri.
Katanya, pihaknya juga mendapat permohonan daripada pemimpin tempatan di Hulu Terengganu yang memohon pembinaan pusat pemindahan kekal dan ia akan dipertimbangkan untuk fasa kedua.
Ditanya sama ada kerajaan Pusat akan melancarkan Dana Kecemasan berikutan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di seluruh negara sudah melebihi 137,000, Ahmad Zahid berkata, amat mustahil kerajaan Pusat menyalurkan bantuan kepada semua yang terjejas.
Katanya, kerajaan Pusat dan kerajaan negeri akan bekerjasama mengusahakan perkara itu bagi mengadakan dana kecemasan membantu mangsa banjir yang terjejas.
"Kita juga minta kerajaan negeri mengusahakan bantuan dan juga bagi mengadakan dana kecemasan itu. Tentunya kerjasama di antara kerajaan Pusat dan negeri sangat baik setakat ini harus ditingkatkan.
"Kita perlu cari jalan dengan menyantuni serta meringankan keluarga yang terjejas, namun mustahil mana-mana kerajaan sama ada Pusat dan negeri untuk bagi pampasan kepada semua mangsa banjir secara keseluruhannya kerana ini adalah takdir dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mendepani permasalahan ini," katanya.
PASIR MAS: "Alhamdulillah suami dan anak-anak saya sudah diselamatkan penduduk kampung," kata Fazlinda Mohd Salleh, 39.
Fazlinda adalah isteri kepada Rizal Asmawi, 42, serta ibu kepada Muhammad Faiz Fitri, 12, dan Muhammad Faiz Idlan, 15 yang terperangkap di bumbung rumahnya di Kampung Meranti, sejak petang, semalam.
Katanya, dia berasa lega apabila ketiga-tiga mereka selamat sampai ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bayu Lalang, di sini, sekitar jam 3.50 petang tadi.
"Saya hanya mampu mengalirkan air mata tanda bersyukur kerana mereka selamat sampai ke pangkuan saya.
"Terima kasih kepada semua pihak yang bertanya khabar dan mendoakan keselamatan suami serta anak-anak. Insya-Allah, apa yang berlaku akan dijadikan sebagai pengajaran kelak.
"Tidak dapat digambarkan perasaan saya sepanjang menunggu mereka diselamatkan, saya tiada selera makan selain hanya mampu menangis meningatkan nasib mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, tiga beranak itu terperangkap di bumbung rumah selepas kediaman mereka dinaiki air secara mendadak.
Fazlinda meminta bantuan agensi keselamatan serta memohon doa orang ramai kerana bimbang akan keadaan mereka yang sudah terperangkap sejak petang, semalam.
Mereka pada awalnya sudah keluar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayu Lalang, di sini, namun kembali semula ke rumah petang semalam untuk mengangkat barangan ke tempat selamat.
PASIR MAS: "Terima kasih abang bomba kerana menyelamatkan 20 keluarga kami yang terperangkap selama 48 jam selepas kediaman dilanda banjir dengan paras air lebih dua meter."
Demikian luahan Adila Ismail, 38, selepas ibu dan ayah serta 18 ahli keluarganya di Kampung Bakong diselamatkan sepasukan anggota bomba jam 1.20 tengahari tadi.
Katanya, kebimbangan dan keresahan terhadap ahli keluarganya akhirnya terlerai selepas melihat kesemua mereka sudah dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Repek.
"Hanya Allah saja yang tahu keadaan saya apabila memikirkan ibu bapa yang sudah tua bersama ahli keluarga yang lain terperangkap.
"Rumah kami dua tingkat dan air mula masuk di tingkat bawah dengan begitu cepat menyebbakan mereka tidak sempat keluar untuk ke PPS memandangkan di luar rumah paras air lebih dua meter.
"Selama dua hari mereka berlindung di tingkat atas dengan kekurangan makanan dan elektrik pun tiada.
"Kampung itu juga arus begitu deras menyebabkan bot biasa tidak boleh masuk. Akhirnya semua ahli keluarga saya diselamatkan hari ini dan saya berterima kasih kepada pasukan bomba dan pasukan penyelamat yang lain," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kejadian kali ini adalah yang terburuk kerana selama ini air banjir tidak pernah masuk ke dalam rumah.
"Namun, kali ini air begitu deras sehingga dalam rumah pun mencecah 0.5 meter. Alhamdulillah semua selamat," katanya.
Media semalam melaporkan, 20 sekeluarga terperangkap di tingkat atas rumah selepas kediaman mereka dinaiki air di Kampung Bakong, di sini.
ALOR SETAR: Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini dilaporkan dinaiki air hingga satu meter susulan kejadian banjir yang melanda negeri ini sejak kelmarin.
Banjir turut menyebabkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) ditutup sepenuhnya serta semua penerbangan masuk dan keluar dibatalkan sejak semalam.
Tinjauan sekitar Pangkalan TUDM yang turut menempatkan Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas itu mendapati kawasan terbabit tidak dapat dimasuki kenderaan ringan.
Turut dilaporkan terjejas adalah kawasan hangar menempatkan pesawat latihan Pilatus PC-7, apabila air turut memenuhi kawasan sekitar dan landasan pangkalan.
Difahamkan, banjir turut menyebabkan beberapa bangunan bawah kendalian TUDM dinaiki air, namun keadaan masih terkawal setakat pagi ini.
Dimaklumkan, anggota TUDM yang bertugas hari ini, telah dikerah memindahkan peralatan dan kelengkapan milik pasukan ke kawasan selamat berikutan amaran cuaca hujan berterusan ketika ini.
Bagaimanapun, operasi Pangkalan TUDM Alor Setar masih berjalan seperti biasa dengan semua anggota masih bertugas mengikut jadual ditetapkan.
JOHOR BAHRU: Lebih 420 mangsa banjir daripada 127 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan daerah Ledang dan Segamat.
Sembilan PPS terbabit dibuka sejak awal semalam selepas kediaman penduduk dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bilik Gerakan Bencana Johor, Tangkak merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 302 orang.
“Tiga PPS dibuka di Tangkak termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat yang menempatkan 167 mangsa daripada 50 keluarga di Kampung Parit Bengkok.
“SK Abdullah pula seramai 46 mangsa dan Sekolah Agama Bandar 89 mangsa,” katanya.
Manakala di Segamat, enam PPS dibuka iaitu Balai raya Kampung Paya Lebar yang menempatkan 13 mangsa, Balai raya Kampung Bukit Tunggal (10 mangsa), Balai raya Kampung Jabi (lapan mangsa) dan Balai raya Kampung Batu Badak (40 mangsa).
Dewan Komuniti dan Balai raya Tasek, 40 mangsa serta Balai raya Kampung Awat dengan 12 mangsa.
Tiga batang sungai termasuk Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’amor merekodkan paras air melepasi paras bahaya iaitu 4.32 meter (m) berbanding paras bahaya 4 m.
Manakala Sungai Lenik di Batu Pahat mencatat 6.50 m berbanding 6 m paras bahaya serta Sungai Kahang di Kluang mencatat 14.77 m berbanding paras bahaya 14.50 m.