PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Dana banjir RM1,000 kepada KIR mula diagih semalam

Kuala Berang: Kerajaan sudah mengagihkan Dana Banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas di seluruh negara bermula semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bayaran itu akan disalurkan kepada setiap KIR yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat juga berharap pengagihan bantuan itu terutama bantuan tunai akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya.

"Untuk bantuan daripada kerajaan Persekutuan selain daripada bantuan bagi penyelamatan, kita mempunyai senarai mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Amaran hujan berterusan tahap buruk di Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (METMalaysia) memberi amaran hujan berterusan tahap buruk berkuat kuasa sehingga esok membabitkan dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

METMalaysia dalam satu kenyataan, berkata sembilan kawasan yang terbabit di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

"Di Terengganu pula, sebanyak enam kawasan terbabit iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.

"Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada juga berkuat kuasa sehingga esok di tiga kawasan iaitu Hulu Perak, Perak; Gua Musang, Kelantan dan Dungun serta Kemaman, Terengganu.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi METMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

"Talian hotline METMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut," menurut kenyataan itu.

 

27 pos PGA, 10 balai polis di Kelantan tenggelam

RANTAU PANJANG: Sebanyak 27 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tumpat dan Rantau Panjang di sini, tenggelam dilanda banjir sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pada masa sama 10 balai polis ditutup akibat banjir.

"Semua 27 pos PGA yang kita ada tenggelam akibat banjir dan mereka (anggota) pun terpaksa menumpang di PPS di Lubok Setol.

"Sejumlah 10 balai polis yang ditutup aiibat banjir adalah enam di Pasir Mas, dua di Tumpat dan dua di Kota Bharu.

"Walaupun pos PGA ditenggelami banjir, pemantauan dan aspek keselamatan terkawal. Kawalan tetap dalam keadaan baik dan kita menggunakan bot sedia ada untuk rondaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika meninjau beberapa kawasan banjir di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Yusoff turut mengarahkan pihak polis supaya membuat rondaan bagi memantau kenderaan yang diparkir di tepi jalan.

 

Banjir: JKR pantau jalan, cerun dan jambatan berisiko

PONTIAN: Jabatan Kerja Raja (JKR) akan memantau jalan mendap, cerun berisiko runtuh serta jambatan di seluruh negara susulan bencana banjir yang sedang melanda sembilan negeri ketika ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pemantauan teliti akan dilakukan di negeri terjejas teruk banjir terutama di Pantai Timur.

Katanya, Pengarah JKR Negeri serta Jurutera Daerah (JD) juga diminta segera mengenal pasti laluan alternatif sekiranya jalan utama sama ada mendap, ditenggelami banjir mahupun cerun runtuh sehingga merbahaya serta tidak boleh dilalui kenderaan.

"Memandangkan bencana banjir yang berlaku menjejaskan sembilan negeri setakat ini, JKR mempunyai tanggungjawab bagi memastikan jalan-jalan perhubungan selamat untuk dilalui.

"Sekiranya tidak selamat, perlu ada laluan pilihan bagi membolehkan bekalan makanan dan logistik dapat sampai ke lokasi dengan kadar segera.

"JKR negeri dan daerah boleh menubuhkan pasukan khas termasuk bagi memasang papan tanda amaran dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pengguna jalan raya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas merasmikan Sukan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang di Kampung Puteri Menangis, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Sementara itu, Ahmad berkata sebanyak 198 kawasan di seluruh negara dilaporkan berlaku banjir termasuk banjir kilat di 26 kawasan, setakat pagi ini.

Katanya, data itu diperoleh Bilik Gerakan Banjir Bencana Banjir JKR yang memantau kerosakan infrastruktur seluruh negara.

"Selain aduan banjir, laporan yang diterima JKR setakat ini membabitkan jalan mendap (dua ) jalan runtuh (dua), cerun runtuh (satu) manakala tiada laporan diterima berkaitan jambatan rosak setakat ini.

Semalam, media melaporkan Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) diaktifkan bagi memantau bencana banjir yang berlaku susulan Monsun Timur Laut dan beroperasi 24 jam ekoran amaran banjir sudah berada di tahap merah.

Justeru katanya, orang ramai boleh layari laman http://bencanaalam.jkr.gov.my/ bagi mengetahui lokasi tepat kawasan banjir serta cadangan melalui jalan pintas lain.

Orang awam juga boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana JKR untuk melapor dan mendapatkan sebarang maklumat terkini berkenaan bencana terutamanya di sepanjang Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di 03-2610 7727.

 

Panggilan palsu banjir: 'Pasukan redah arus deras ke lokasi tapi rumah pun tiada' - Polis

RANTAU PANJANG: Sebanyak 107 panggilan palsu berkaitan banjir diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata perbuatan itu menyebabkan selepas petugas diatur gerak ke kawasan yang dilaporkan, pihaknya mendapati tiada kediaman di lokasi berkenaan.

"Kita menerima macam-macam panggilan menyatakan ada yang terperangkap banjir tetapi sebaik saja pasukan tiba di lokasi terbabit, rumah pun tiada dan ia didapati merupakan panggilan palsu.

"Perbuatan sebegitu sangat mendukacitakan kita kerana untuk sampai ke satu-satu lokasi bukanlah senang, sebaliknya pasukan perlu meredah arus deras.

"Justeru, saya mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan dalam keadaan yang agak meruncing kini," katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan banjir, di sini, hari ini.

Beliau menyifatkan perbuatan oleh individu tidak bertanggungjawab itu sebagai 'amat malang' sekali sehingga menyusahkan pihak berkuasa dalam menjalankan operasi menyelamat.

"Justeru mulai hari ini, kita membuat tapisan terhadap setiap panggilan yang diterima sebelum mengatur gerak petugas ke lokasi dilaporkan," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search