OPERASI PEMBENIHAN AWAN DI NEGERI SARAWAK HARI KEEMPAT
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
OPERASI PEMBENIHAN AWAN DI NEGERI SARAWAK HARI KEEMPAT | 6 SEPTEMBER 2026
Keperluan untuk meneruskan usaha meningkatkan paras tadahan air empangan yang berada pada tahap kritikal serta membantu meredakan kesan jerebu di Negeri Sarawak mendorong pelaksanaan tambahan siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) sehingga 7 September 2026.
Sehubungan itu, OPA di Negeri Sarawak memasuki hari keempat hari ini dengan operasi bermula pada jam 1.15 tengah hari.
Sebanyak empat tangki larutan air garam digunakan dalam operasi hari ini dengan kawasan tumpuan pembenihan awan meliputi sekitar Empangan Batang Ai dan Empangan Murum.
Operasi hari ini turut disertai oleh Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Pentadbiran).
OPA dilaksanakan sebagai antara langkah penyelarasan bagi membantu meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan air dan empangan yang terjejas susulan trend penurunan paras air. Keadaan ini berpotensi memberi kesan kepada bekalan air mentah serta penjanaan tenaga hidroelektrik.
Pada masa yang sama, taburan hujan di kawasan sasaran diharapkan dapat membantu mengurangkan impak jerebu yang masih berlarutan di beberapa kawasan di Negeri Sarawak.
Operasi hari ini selesai pada jam 5.00 petang.
