PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

1,089 mangsa banjir Johor terima bantuan khas fasa kedua

1,089 mangsa banjir Johor terima bantuan khas fasa kedua

JOHOR BAHRU – Seramai 1,089 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) gelombang kelima tetapi tidak mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM3,000 setiap seorang pada Khamis dan Jumaat ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan sebanyak RM3.26 juta telah disediakan bagi pembayaran fasa kedua.

"Bantuan kedua ini merupakan hasil kerjasama antara kerajaan negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

"Bayaran fasa pertama telah dilaksanakan pada 27 Mac lalu, manakala pembayaran fasa ketiga akan dibuat pada bulan Mei, selepas tarikh tutup rayuan pada akhir April ini.

 

"Walaupun tempoh rayuan masih dibuka, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk menyampaikan bantuan secara berperingkat bagi memastikan mereka yang terjejas dapat dibantu segera," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurut Onn Hafiz, rayuan masih boleh dikemukakan di enam pejabat daerah yang terlibat iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Batu Pahat.

"Kerajaan negeri menzahirkan komitmen untuk terus membantu mangsa banjir demi kesejahteraan dan kestabilan hidup rakyat yang terkesan. "Semoga segala bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir serta memberi sinar harapan untuk mereka bangkit semula," katanya.

Banjir yang melanda negeri ini pada 19 Mac lalu disifatkan penduduk terjejas sebagai antara yang terburuk pernah berlaku selepas bencana banjir besar pada 2006, 19 tahun lalu.

Bencana itu melibatkan beberapa daerah di Johor termasuk Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang, Kota Tinggi dan Batu Pahat.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search