PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

167 mangsa banjir di Johor masih berlindung di PPS

JOHOR BAHRU, 29 Dis: Seramai 167 mangsa banjir daripada 54 keluarga masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Segamat setakat pukul 7 malam tadi.

Menurut maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka dari empat mukim terjejas yang berlindung di tujuh PPS.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata mangsa yang terjejas melibatkan penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu Lima, Kampung Sermin, Kampung Paya Lebar, Kampung Pekan Air Panas, Kampung Orang Asli Sungai Kecil serta Kampung Baru Gemas.

“Pemindahan dilakukan secara berperingkat susulan hujan lebat berterusan yang melanda daerah ini sejak Ahad,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Asman Shah turut memaklumkan Jalan Felda Tenggaroh 3 di Mersing ditutup sepenuhnya ekoran kejadian cerun runtuh di Seksyen 1 dan 1.5, sekali gus menjejaskan laluan utama penduduk setempat.

Tambah beliau,  Jambatan Kesang–Sungai Ramai di Tangkak juga terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selepas struktur jambatan berkenaan didapati mengalami keretakan.

Mengulas situasi paras air sungai, beliau berkata bacaan paras air Sungai Muar di Buloh Kasap menunjukkan peningkatan daripada 8.53 meter kepada 8.69 meter, sekali gus menimbulkan kebimbangan risiko banjir berterusan di kawasan rendah.

Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan pada tahap waspada dijangka melanda beberapa daerah termasuk Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Sementara itu, portal JKM turut melaporkan 80 mangsa banjir di Pahang turut dipindahkan ke PPS selain 30 mangsa banjir di Melaka terkesan banjir. -TVS.

Air naik, tujuh PPS dibuka di Segamat

SEGAMAT – Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di daerah ini ditenggelami air sehingga menyebabkan 167 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, kesemua mangsa daripada 55 keluarga yang terjejas dipindahkan ke tujuh PPS sejak pukul 8 malam ini.

Menurutnya, antara PPS yang dibuka di Balairaya Gemereh 4, Dewan Komuniti Kampung Tasek, Balairaya Kampung Orang Asli Segamat dan Sekolah Renjah Jenis Kebangsaan (SJKC) Tah Kang, Gemas Baru.

Turur dibuka PPS di Balairaya Kampung Paya Lebar, Balairaya Kampung Jabi dan Dewan Serbaguna Pekan Air Panas.

“Penduduk yang terjejas dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu Lima, Kampung Sermin, Kampung Paya Lebar, Kampung Pekan Air Panas, Kampung Orang Asli Sungai Kecil dan Kampung Baru Gemas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Asman Shah berkata, Jalan Jabi-Bukit Tempurong ditutup kepada semua kenderaan susulan air naik sehingga 0.38 meter (m).

Tambahnya, paras air Sungai Muar di Kampung Awat dan Buloh Kasap melepasi paras bahaya.

Sungai Muar di Kampung Awat merekodkan bacaan 20.13m melepasi paras bahaya 19.95m, manakala Sungai Muar di Buloh Kasap. 8.64m melebihi paras 8.53m,” katanya.-KOSMO! ONLINE

'Pagi gempa bumi, petang kami kena pindah sebab air naik' - mangsa banjir di Segamat

Segamat: "Pagi semalam kami dikejutkan dengan gempa bumi lemah, petang pula kami kena pindah kerana rumah dinaiki air," kata Raja Sahrin Tengku Ismail, 60, salah seorang mangsa banjir yang melanda di daerah ini sejak malam tadi.

Warga emas yang menetap di Kampung Seberang Batu Badak itu berkata, kegusaran akibat gempa bumi berlaku belum reda, sekali lagi dia diuji dengan banjir yang memaksanya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Pada jam 8.55 pagi semalam kami merasai gegaran, jam 8 malam pula kami diarah berpindah selepas air sungai pula melimpah ke kediaman sekitar jam 1 tengah hari.

"Kebanyakan penduduk sudah lali dengan banjir kerana mereka tahu hujung dan awal tahun berlaku musim tengkujuh yang menyebabkan banjir," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Kampung Tasek, Jementah.

Tambah Raja Sahrin, banjir kali ini dianggap antara paling teruk dan dipercayai berpunca benteng dibina pada tahun lalu pecah akibat strukturnya belum kukuh.

Seorang lagi mangsa banjir, bagi Aishah Abd Hamid, 65, berkata hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan rumahnya ditenggelami air hanya dalam tempoh tidak sampai dua jam.

"Saya keluar ke bandar Segamat sekitar jam 11 pagi untuk membeli barang keperluan namun pada jam 1 tengah hari, jiran memberitahu air sungai melimpah dan memasuki rumah saya.

"Saya bergegas pulang dan sebaik tiba, air sudah melepasi paras lutut. Banjir memang terjadi setiap tahun tetapi kali ini ia berlaku pada hari sama kampung kami dilanda gempa lemah.

"Cuma kami bimbang kebiasaannya air lambat surut yang menyebabkan berlaku banjir termenung," katanya.

Kampung Seberang Batu Badak adalah antara tujuh kampung dilanda banjir yang menyaksikan setakat ini seramai 167 mangsa daripada 55 keluarga dipindahkan ke PPS.

Kesemua mereka mula dipindahkan ke PPS 8 malam tadi, selepas hujan berterusan sejak Jumaat dan Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman, berkata Jalan Jabi-Bukit Tempurong ditutup kepada semua kenderaan susulan air naik sehingga 0.38 meter.

"Paras air dua sungai iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap masih terus melepasi paras bahaya.

"Sungai Muar di Kampung Awat merekodkan bacaan 20.13 meter (m) melepasi paras bahaya 19.95m manakala Sungai Muar di Buloh Kasap. 8.64 m melebihi paras 8.53m," katanya.

Tinggal atas bukit sampai habis tengkujuh

GUA MUSANG – Seramai 200 penduduk daripada 30 keluarga Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini berpindah ke atas bukit berikutan bimbang berlaku banjir susulan cuaca hujan tidak menentu sejak dua minggu lalu.

Tindakan itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga apabila mereka masih trauma dengan kejadian bah kuning pada 2014 yang menenggelamkan jalan dan kediaman di kampung tersebut.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, mereka telah membina rumah bangsal atau khemah dan berulang-alik tinggal di kawasan tersebut sejak dua minggu lalu.

Katanya, mereka akan tinggal di khemah yang dibina sejak Oktober lalu itu sehingga berak­hirnya musim tengkujuh.

“Kami akan tinggal di dalam khemah di atas bukit yang dibina berhampiran laluan masuk ke Kampung Pasir Linggi sehingga musim tengkujuh berakhir.

“Perasaan takut dan trauma masih ada terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan sungai. Kami bimbang sekiranya banjir besar 2014 berulang kembali dan kami tidak sempat untuk berpindah sehingga menyebabkan terkandas,” katanya.

Penduduk kampung itu, Amoi Latif, 57, pula berkata, dia bersama keluarga akan tinggal di dalam khemah terbabit kira-kira dua minggu lagi.

Katanya, pelbagai kelengkapan asas sudah dibawa ketika berpindah ke rumah bangsal.

“Kami membawa dapur, tong gas, selimut, bantal, kelambu, pakaian harian serta bahan makanan asas. Kami tetap berulang alik ke rumah untuk melihat keadaan rumah dan mengecas telefon bimbit.

“Kami akan tinggal di sini sehingga Januari tahun depan atau musim tengkujuh berakhir bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Norsilawati Amran, 26, berkata, dia dan keluarga diselubungi rasa takut sekiranya hujan turun secara berterusan.

“Apabila hujan turun berterusan dan lebat kami berasa takut kerana masih teringat bencana banjir besar kira-kira 11 tahun lalu,” ujarnya.

Cuaca tidak menentu pada awal Januari

PETALING JAYA: Luruan monsun dijangka memasuki kawasan negara bermula 1 hingga 5 Januari ini sekali gus berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Sarawak serta risiko angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, analisis terkini terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan cuaca pada malam ambang tahun baharu 2026 adalah baik di kebanyakan tempat.

“Beberapa kawasan di Perak, Kelantan, Pahang, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah termasuk bahagian Kudat, pantai barat serta pedalaman dijangka mengalami hujan dan ribut petir.

“Pada hari tahun baharu 2026, cuaca pada waktu pagi diramalkan hujan dan ribut petir di beberapa tempat.

“Ia dijangka berlaku Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sarawak, Labuan serta Sabah melibatkan kawasan pedalaman dan Tawau,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah petang kecuali Perlis, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Melaka dan Kelantan.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search