Banjir melanda Bekenu lagi, penduduk lebih berwaspada
- Admin UKK
- Berita
MIRI, 5 Jan: Banjir kembali melanda kawasan Bekenu susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu, menyebabkan penduduk di beberapa kampung terjejas dan terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Seorang penduduk Kampung Jangalas, Huzaimah Busri berkata, kejadian banjir yang berlaku sekali lagi itu merupakan dugaan besar buat dirinya dan keluarga, apatah lagi ia berlaku dalam tempoh yang singkat selepas kejadian banjir sebelum ini.
“Rumah kami mula dimasuki air sejak 2 Januari lalu. Kami sekeluarga terpaksa berpindah ke Surau Kampung Jangalas, namun beberapa hari kemudian surau itu pula dinaiki air dan kami terpaksa berpindah ke PPS. Belum lama kejadian banjir sebelum ini berlalu, kami sekali lagi diuji dengan banjir,” katanya ketika ditemui TVS di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu, di sini, hari ini.
Menurut Huzaimah, dia kini berlindung di PPS bersama tujuh ahli keluarga, sementara keadaan air di rumah mereka masih berada pada paras tinggi dan belum surut sepenuhnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Bukit Kawang, Bekenu, Adilla Faqilah Zaapar berkata, air mula memasuki rumahnya pada hari Sabtu lalu melalui bahagian dapur sebelum paras air meningkat dengan cepat.
“Pada sebelah petang, air hanya sampai ke buku lali, namun sekitar jam dua pagi air naik sehingga melebihi paras lutut sebelum kami berpindah ke PPS,” ujarnya.
Adilla turut memaklumkan beberapa perabot dan peralatan elektrik seperti almari, peti sejuk serta mesin basuh mengalami kerosakan walaupun sebahagiannya sempat dialihkan ke tempat lebih tinggi.
Setakat ini, banjir di kawasan Bekenu telah menjejaskan sembilan kampung, melibatkan 213 mangsa daripada 75 ketua isi rumah (KIR) yang diarahkan berpindah ke PPS dengan paras air dijangka akan terus meningkat. -TVS
