Lima rumah rosak akibat ribut
- Admin UKK
- Berita
SARIKEI, 13 Sept: Sekurang-kurangnya lima rumah dilaporkan mengalami kerosakan selepas dilanda ribut kencang dan hujan lebat di sini, petang tadi.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika cuaca buruk melanda beberapa kawasan sekitar daerah ini, dengan kebanyakan kerosakan dilaporkan membabitkan bahagian bumbung rumah.
Antara lokasi yang terjejas termasuk Kampung Jalan Drahman Keria dan Kampung Dibah, dengan keadaan kerosakan kediaman mangsa kini sedang dikenal pasti.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif berkata, beliau sudah menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, pihaknya kini sedang menjalankan penelitian bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai tahap kerosakan yang dialami setiap rumah.
“Kita sedang berusaha mencari penyelesaian segera bagi membantu mangsa termasuk mempertimbangkan penggunaan peruntukan projek rumah orang miskin untuk kerja membaik pulih kediaman yang terjejas.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan bantuan dapat disalurkan secepat mungkin kepada mangsa yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, pihaknya akan meneliti keperluan mangsa berdasarkan tahap kerosakan sebelum tindakan susulan dilaksanakan.
Beliau pada masa sama bersyukur kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa, selain meminta semua mangsa supaya bersabar dan tabah menghadapi musibah berkenaan.-TVS
KUALA LUMPUR: Keluarga N Kalaiselvi, rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam tragedi banjir di Nepal, berharap pihak berkaitan terus memberikan perkembangan mengenai usaha mencari dan menyelamat (SAR) susulan kepulangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke tanah air dalam masa terdekat.
Anak perempuannya, Kritikaa Joyce De Brito, berkata keluarga amat menghargai usaha kerajaan dan memahami kekangan dihadapi penyelamat di lapangan, namun berharap gambaran jelas mengenai kawasan ditinjau pasukan itu dikongsikan demi meredakan kebimbangan mereka.
Beliau berkata, ibunya berusia 65 tahun itu antara 27 rakyat Malaysia yang ke Gunung Kailash di Tibet, China bagi melaksanakan upacara keagamaan, sebelum dilaporkan terputus hubungan akibat bencana alam tersebut di daerah Rasuwa.
"Saya faham penugasan ini melibatkan kelulusan pihak Nepal, faktor logistik, cuaca dan bentuk muka bumi.
"Namun, sebagai waris, kami memohon pihak berkaitan dapat berkongsi gambaran jelas mengenai kawasan sisa runtuhan atau hutan yang ditinjau secara sistematik sebelum pasukan SMART ditarik balik," katanya.
Kritikaa berkata, penjelasan terperinci mengenai hasil aktiviti lapangan itu sangat penting buat ahli keluarga bagi memastikan segala usaha munasabah dilakukan dalam mengharungi detik amat sukar itu.
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan pasukan SMART dijangka kembali ke Malaysia pada Sabtu atau Ahad, susulan operasi SAR kini berada di penghujung dan tidak banyak lagi yang dapat dilakukan oleh pasukan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Nepal masih belum berhasrat menamatkan operasi SAR secara rasmi berikutan terdapat kira-kira 5,000 individu masih dalam kategori tidak dapat dikesan akibat bencana itu.
MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka memberikan jaminan keselamatan sumber air dan bekalan air terawat kepada pengguna sentiasa menjadi keutamaan susulan penemuan disyaki rangka manusia di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal di sini hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh, berkata berdasarkan pemantauan kualiti air yang dilaksanakan setakat ini, tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air yang ditetapkan dikesan dan bekalan air terawat kepada pengguna adalah dalam keadaan selamat.
"Kerajaan negeri memahami kebimbangan orang ramai, khususnya kerana kawasan penemuan itu sebahagian daripada kawasan tadahan dan sumber air mentah bagi bekalan air negeri Melaka.
"Air yang disalurkan kepada pengguna adalah air terawat yang telah melalui proses rawatan di loji rawatan air sebelum dibekalkan, manakala kualitinya tertakluk kepada pemantauan serta pemeriksaan mengikut prosedur dan piawaian ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Salhah berkata, pada masa yang sama kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan kualiti air di kawasan berkenaan, termasuk melaksanakan pensampelan serta ujian yang diperlukan.
"Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan polis serta agensi teknikal berkaitan bagi memastikan setiap aspek berkaitan penemuan tersebut diberi perhatian sewajarnya mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya.
Beliau berkata, penemuan disyaki rangka manusia di kawasan rizab empangan tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai berlakunya pencemaran atau menjejaskan keselamatan bekalan air kepada pengguna.
"Sebarang kesimpulan berkaitan perkara itu hendaklah berdasarkan keputusan pemantauan, pensampelan dan penilaian teknikal pihak berkuasa," katanya.
Sehubungan dengan itu, Salhah menasihatkan orang ramai supaya tidak panik atau membuat sebarang kesimpulan serta menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya berkaitan keselamatan bekalan air, identiti mangsa atau punca kejadian.
"Kerajaan negeri memberikan jaminan keselamatan sumber air dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan pendekatan berjaga-jaga akan terus dilaksanakan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan bekalan air sentiasa terpelihara," katanya.
DALAM era di mana krisis iklim dan kehilangan kepelbagaian biologi semakin mendesak, sektor korporat Malaysia perlu tampil sebagai pelindung baharu kepada alam sekitar.
Sumbangan mereka terhadap kepelbagaian biologi marin bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi menjadi strategi jangka panjang yang berasaskan kelestarian alam dan pemerkasaan komuniti.
Ekosistem marin yang stabil, tidak tercemar dan dilindungi memberikan manfaat langsung kepada nelayan pantai, komuniti pesisir, serta kelangsungan ekonomi negara.
Antara pihak korporat yang menonjol ialah sektor maritim dan logistik seperti MISC Berhad, yang memfokuskan kepada perlindungan penyu dan restorasi terumbu karang dengan kerjasama universiti tempatan.
Sektor minyak dan gas pula, melalui Yayasan Petronas, melabur dalam program Nature-based Solutions dengan projek pemetaan rumput laut dan pemeliharaan hutan paya bakau bagi memperkukuh ekosistem karbon biru.
Syarikat barangan pengguna seperti Nestle Malaysia menekankan ekonomi kitaran melalui pembersihan sisa plastik pantai dan pembuangan pukat hantu, menyelamatkan hidupan marin daripada ancaman jaring terbiar.
Sektor perbankan seperti Etiqa serta institusi pembuatan turut melabur dalam pembiayaan hijau dan kejuruteraan tukun tiruan untuk pembiakan semula batu karang.
Yayasan JCorp pula aktif dalam program pemulihan batu karang, manakala SD Guthrie Berhad menyumbang kepada pemuliharaan zon pesisir pantai dan ekosistem karbon biru.
Gabungan dana dan kepakaran ini menjadi pemacu utama kelangsungan kepelbagaian biologi marin negara.
Sumbangan korporat mesti berfokus kepada jangka panjang, melibatkan pendidikan dan penyelidikan melalui kerjasama universiti serta institusi saintifik.
Yayasan Petronas, misalnya, membuktikan komitmen mereka melalui pembangunan Pusat Pengajian Kanyon Imbak (ICSC) di Sabah, menjadikan hutan hujan sebagai bank gen dan pusat penyelidikan kepelbagaian biologi bertaraf dunia.
Program penanaman puluhan ribu pokok di seluruh negara, termasuk ekosistem bakau, memperlihatkan usaha nyata dalam memulihkan habitat terosot.
Bakau bukan sahaja benteng semula jadi menentang hakisan pantai, tetapi juga habitat penting bagi ikan, reptilia, burung, dan mamalia marin.
Dalam ekosistem marin, Yayasan Petronas bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan Pusat Biodiversiti Sabah untuk melaksanakan pemetaan rumput laut.
Rumput laut bukan sekadar habitat ikan, penyu dan dugong, tetapi juga penyerap karbon semula jadi yang penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.
Inisiatif ini memperkukuh daya tahan komuniti pesisir terhadap ancaman hakisan pantai dan perubahan iklim.
Pendekatan inklusif Yayasan Petronas turut melibatkan komuniti dan universiti tempatan, menjadikan pemuliharaan bukan hanya agenda saintifik tetapi juga agenda sosial yang meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Namun, cabaran besar masih menanti. Kawasan pantai Teluk Air Tawar, Kuala Gula-Matang, pantai Selangor dan Johor kini berdepan ancaman hakisan pantai yang semakin kritikal.
Selat Melaka yang menerima lebih 100,000 pergerakan kapal setahun memberi tekanan besar kepada ekosistem batu karang, rumput laut, dan bakau.
Pencemaran kimia berbahaya serta plastik akibat perindustrian, pertanian, perbandaran dan perkapalan terus menjejaskan kepelbagaian biologi marin.
Kajian bioindikator seperti bentos dan ikan medaka perlu diperkukuh untuk menilai tahap pencemaran, termasuk kesan bahan tributyltin (TBT).
Walaupun penggunaannya dalam cat anti pengotoran pada kapal telah diharamkan oleh
Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) sejak 2008, namun TBT masih dikesan dalam ekosistem laut.
Pencemaran TBT memberi kesan kronik kepada burung hijrah pantai melalui rantaian makanan, menyebabkan penipisan kulit telur, pengurangan kadar kesuburan, kecacatan anak burung, serta gangguan tingkah laku migrasi.
Ancaman ini bukan sahaja menjejaskan populasi burung hijrah global, tetapi juga ekosistem pesisir yang bergantung kepada keseimbangan rantai makanan.
Petronas dengan kapasiti penyelidikan mereka boleh memainkan peranan penting dalam menyokong kajian saintifik ini, sekali gus membantu kerajaan merangka dasar pemuliharaan yang lebih berkesan.
Kawasan tanah lembap seperti Lembangan Kertih boleh dijadikan model pemuliharaan ekosistem pembiakan ikan dan invertebrata penting kepada nelayan tempatan.
Kajian menyeluruh terhadap pantai dan laluan burung hijrah di sepanjang East Asian-Australasian Flyway (EAAF) juga perlu diperkukuh kerana Malaysia merupakan titik persinggahan kritikal bagi spesies burung migrasi.
Selain itu, sumber gamat di Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi menunjukkan pengurangan populasi akibat eksploitasi komersial. Kekurangan bekalan semula jadi memaksa pengimportan gamat mentah.
Projek rehabilitasi dan pembiakan semula perlu dijalankan segera bagi memulihkan populasi haiwan marin tersebut, sekali gus mengembalikan keseimbangan ekologi.
Inisiatif SD Guthrie Berhad melalui Pusat Penyelidikan Paya Bakau Pulau Carey yang ditubuhkan sejak tahun 2009 memfokuskan kepada kelestarian marin dan pesisir pantai suatu yang mesti diteruskan.
Perancangan pembangunan Pulau Carey untuk aktiviti pelabuhan bertaraf dunia, menuntut pusat penyelidikan ini diperkasakan.
Usaha syarikat korporat membuktikan bahawa pemuliharaan kepelbagaian biologi marin bukan lagi tanggungjawab kerajaan semata-mata.
Ia kini menjadi agenda bersama yang menggabungkan dana korporat, kepakaran saintifik dan sokongan komuniti.
Dengan pendekatan bersepadu ini, Malaysia berpeluang bukan sahaja melindungi ekosistem marin, tetapi juga menjadikan kepelbagaian biologi sebagai aset strategik negara.
Mungkin sempena sambutan Hari Maritim 2026 ini, satu tabung penyelidikan pemuliharaan ekosistem marin boleh ditubuhkan untuk sumbangan pihak korporat berkaitan.
Jika kita gagal bertindak, generasi akan datang hanya akan mewarisi laut yang kosong dan pantai yang hilang. Tetapi jika kita terus komited, dari dasar laut hingga ke puncak bakau, harapan masa depan akan terus hidup. – UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM).
8 kawasan catat IPU tidak sihat
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Lapan kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 7 pagi ini.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Serian (173), Sri Aman (171) dan Kuching (134).
Lima lokasi di Semenanjung merekodkan bacaan tidak sihat ialah Johan Setia, Selangor merekodkan IPU 152, Cheras, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (152), Nilai, Negeri Sembilan (127), Seremban (122) dan Putrajaya (121).
Setakat 7 pagi itu turut menunjukkan 58 lokasi merekodkan IPU tahap sederhana, manakala dua lokasi lagi mencatatkan kualiti udara baik.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).
