GUA MUSANG – Laluan FT185, Jalan Simpang Pulai – Gua Musang kini lebih selamat selepas Kementerian Kerja Raya menyiapkan perangkap aliran puing atau empangan sabo dan sistem saliran bernilai RM10.4 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka panjang susulan kejadian aliran puing pada 3 Januari 2021 yang menyebabkan kerosakan teruk sepanjang kira-kira dua kilometer jalan berkenaan sehingga terpaksa ditutup selama beberapa hari.
Katanya, walaupun kerja pembaikan awal struktur jalan dan jambatan bernilai kira-kira RM6 juta telah dilaksanakan oleh syarikat konsesi, kerajaan mengambil langkah lebih menyeluruh melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
“Projek itu melibatkan kerja pembaikan cerun, pembinaan sistem saliran, kerja turapan, pengalihan utiliti, pembinaan Sabo Dam dan Debris Flow Barrier sebagai komponen utama mitigasi aliran puing.
“Empangan sabo berfungsi mengawal aliran air, memerangkap puing dan sedimen selain mengurangkan risiko limpahan yang boleh mengancam keselamatan jalan raya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun di Laluan FT185 Seksyen 61.00, Jalan Lojing-Gua Musang, di Tanah Tinggi Lojing, di sini hari ini.
Alexander memberitahu, pembinaan struktur itu menjadikan FT185 sebagai lokasi keempat empangan sabo dibangunkan oleh JKR di Semenanjung Malaysia selepas Raub, Pahang, Seremban, Negeri Sembilan dan Baling, Kedah.
Katanya, projek berkenaan turut melibatkan pengambilan balik tanah seluas 1.7 ekar bagi membolehkan keseluruhan sistem mitigasi dibina secara lebih berkesan. – KOSMO! ONLINE
Empangan Sabo ke-4 di Semenanjung perkukuh keselamatan laluan Simpang Pulai-Gua Musang
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG: Projek pembaikan cerun, pembinaan perangkap aliran puing dan Empangan Sabo di laluan FT185 Seksyen 61 Jalan Simpang Pulai-Gua Musang yang siap sepenuhnya dua hari lalu dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di laluan strategik itu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek mitigasi bernilai RM10.4 juta itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan laluan yang menghubungkan komuniti, aktiviti ekonomi, logistik dan pelancongan kekal selamat serta memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, projek berkenaan merangkumi kerja pembaikan cerun, pembinaan sistem saliran, kerja turapan, pengalihan utiliti serta pelaksanaan komponen mitigasi utama aliran puing, termasuk pembinaan Empangan Sabo dan perangkap aliran puing.
Projek mitigasi ini berjaya disiapkan dengan kos RM10.4 juta dan diserahkan pada hari ini.
"Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor Pintas Utama Sdn Bhd menerusi kaedah Arahan Kerja (AK) yang bermula pada 18 Jun 2024 dan siap sepenuhnya dua hari lalu.
"Tempoh pelaksanaannya adalah selama 13 bulan. Dengan siapnya projek ini, kami berharap tahap keselamatan, keyakinan pengguna dan kebolehlaluan di jalan ini dapat terus dipertingkatkan demi memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi setempat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun di Laluan FT185 Seksyen 61 Jalan Simpang Pulai-Gua Musang, di sini, hari ini.
Alexander berkata, pembinaan Empangan Sabo di lokasi itu turut mencatat satu lagi pencapaian penting apabila menjadi Empangan Sabo keempat di Semenanjung yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR), selepas projek seumpamanya di Raub, Pahang; Seremban, Negeri Sembilan; dan Baling, Kedah.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan keupayaan serta komitmen JKR dalam memperkukuh kejuruteraan cerun dan pengurusan risiko aliran puing di negara ini.
"Projek pembinaan cerun dengan Empangan Sabo bermula sejak 2017 di Raub sebelum diteruskan di tiga lagi negeri.
"Projek ini diadaptasi daripada teknologi Jepun bagi membina pembaikan cerun yang lebih berkesan, termasuk sistem saliran yang lebih baik serta sistem perangkap puing yang mampu menghalang kejadian kepala air sehingga menyebabkan air melimpah ke atas jalan," katanya.
"Saya sangat berbangga dengan kejayaan ini dan yakin sepenuhnya ia akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya di laluan yang menghubungkan pusat ekonomi dan pelancongan ini," katanya.
Empangan Sabo (dari perkataan Jepun sabo, yang bermaksud kawalan hakisan dan sedimen) adalah struktur yang dibina merentasi sungai untuk memerangkap dan mengawal aliran puing (debris), batu dan pasir.
KUALA LUMPUR: Fenomena kemarau memberi kesan kepada sektor tanaman padi dan perikanan, namun pada masa sama memberi manfaat kepada pengeluaran buah-buahan tertentu termasuk durian yang mencatatkan hasil lebih tinggi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa berusaha membantu menyerap lebihan hasil pertanian bagi menstabilkan harga pasaran, termasuk komoditi seperti sayur-sayuran dan durian.
Beliau berkata, pengeluaran durian yang tinggi tahun ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat menikmati buah berkenaan pada harga lebih rendah berbanding sebelum ini.
“Durian tahun ini terlalu mewah, ramai orang gembira kerana orang biasa boleh makan Black Thorn, boleh makan Musang King. Kalau sebelum ini kita tengok sebiji boleh mencecah RM70 hingga RM80, sekarang boleh dapat sekitar RM11.
“Kadang-kadang orang ini menderita, orang lain bahagia dan orang lain pula menderita. Itu perkara biasa yang kita lalui,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang meminta kerajaan menjelaskan pelan tindakan kecemasan bagi menjamin keterjaminan makanan negara sekiranya fenomena Super El Nino menyebabkan kemerosotan hasil padi dan gangguan bekalan makanan serentak di rantau ASEAN sehingga menjejaskan import beras Malaysia.
Mohamad berkata, perubahan cuaca seperti kemarau panjang turut memberi kesan kepada jadual penanaman padi, khususnya di kawasan pengeluar utama seperti Kedah dan Perlis.
“Misalnya berlaku kemarau yang agak panjang di Kedah dan Perlis, penanaman padi sedikit diganjakkan waktunya akibat kelewatan. Pada mulanya kita mahu tabur secara kering, tetapi apabila berlaku hujan, kita kembali menanam secara biasa,” katanya.
Menurut beliau, ancaman fenomena cuaca ekstrem berkemungkinan lebih ketara terhadap sektor padi dan perikanan, namun bagi sektor buah-buahan, keadaan tertentu boleh meningkatkan hasil pengeluaran.
“Dalam kemarau yang begitu hebat pula, Harum Manis bertambah hasilnya. Perlis tahun ini mencatatkan pengeluaran Harum Manis yang agak tinggi. Jadi ancaman fenomena ini mungkin berlaku kepada padi dan perikanan, tetapi buah-buahan pula dijangka menghasilkan hasil yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diarahkan untuk mempertingkatkan pembangunan varieti padi baharu yang berhasil tinggi dan tahan kemarau susulan kebimbangan terhadap impak fenomena El Nino ke atas pengeluaran bekalan makanan negara kekal mencukupi
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata arahan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mesyuarat berkaitan sekuriti makanan negara baru-baru ini.
Beliau berkata, MARDI turut diminta mempergiat usaha penyelidikan, khususnya bagi membangunkan varieti padi yang mampu menghasilkan produktiviti jauh lebih tinggi bagi setiap hektar.
"Bagi memperkukuh pengeluaran padi, kerajaan turut mempergiat aktiviti penyelidikan untuk membangunkan varieti yang lebih sesuai dengan perubahan cuaca dan tahan terhadap kesan iklim.
"MARDI telah mengeluarkan beberapa varieti padi seperti MR333 (Menora), MR297, MR315, MR307, MR284, MRQ76 serta tiga varieti baharu tahan kemarau, iaitu MR380, MR381 dan MR382.
"Dalam Mesyuarat Sekuriti Makanan Negara kelmarin, Perdana Menteri turut minta MARDI mempertingkatkan lagi penyelidikan bagi menghasilkan lebih banyak varieti baharu, khususnya yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran atau produktiviti sehektar, mengambil contoh pencapaian tinggi yang direkodkan di China," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai langkah persediaan kerajaan dalam menghadapi fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
Ia khususnya dari segi bekalan air untuk pengairan, pengeluaran padi, tanaman makanan, penternakan serta langkah memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi.
Mohamad berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga dan berada pada tahap kesediaan yang optimum dalam mendepani impak fenomena iklim El Nino.
"KPKM amat prihatin terhadap risiko ketidaktentuan cuaca yang berupaya menjejaskan hasil pengeluaran agromakanan negara serta mengancam tahap keterjaminan makanan negara.
"Bagi mengurangkan impak gangguan iklim ini, kementerian sudah melaksanakan beberapa langkah persediaan termasuk pembekalan air untuk pengairan menerusi pengurusan aset air strategik.
"Ia melalui penyediaan inventori dan pemantauan paras air empangan dan pusat tadahan air serta memaksimumkan pengoperasian sistem pam bagi meningkatkan kecekapan pengairan.
"Selain itu, kerajaan turut melaksanakan pengurusan sumber air secara bersepadu bagi memastikan penggunaan air yang mampan merentasi sektor serta memperluas penggunaan Sistem Pemantauan Pengairan Pintar (Smart Irrigation Monitoring System) dan Sistem Pengairan Titis (TITIS) bagi mengelakkan pembaziran serta menyalurkan air secara mikro mengikut keperluan sebenar tanah," katanya.
Katanya, kerajaan turut memperkukuh dan memodenkan infrastruktur pengairan melalui projek naik taraf sistem saliran, pembinaan takungan air serta penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan air.
KOTA BHARU, 16 Julai: Kementerian Kerja Raya (KKR) memantau rapi 50 projek sakit yang dikenal pasti daripada keseluruhan 865 projek di bawah kementerian bagi memastikan pelaksanaannya kembali mengikut jadual.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada keseluruhan projek itu, kira-kira 5.7 peratus berada dalam kategori projek sakit, manakala di Kelantan hanya tujuh daripada 104 projek di bawah KKR dikenal pasti sebagai projek sakit.
Beliau berkata antara punca kepada isu ini adalah masalah kewangan dan pengurusan syarikat, selain isu pengambilan tanah, pemindahan utiliti serta kewujudan lot timbul yang tidak dikenal pasti pada peringkat awal pelaksanaan projek.
“Setiap projek sakit di Malaysia memang kita kawal dan pantau rapi supaya kita boleh putuskan sama ada ia perlu ditamatkan atau sebaliknya.
“Namun, apabila peratusan projek sakit itu hampir siap, iaitu kira-kira 10 hingga 15 peratus mungkin kita boleh bagi lanjutan masa (EOT) memandangkan kalau kita tamatkan (projek) berkenaan kos akan lebih meningkat untuk melantik kontraktor lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Menaik Taraf Jalan FT209 dan FT131 Dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor Ke Panchor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nanta berkata isu projek sakit turut dibincangkan setiap minggu selepas Mesyuarat Pasca Kabinet bagi meneliti perkembangan semasa serta mengenal pasti langkah penyelesaian yang perlu diambil bagi memastikan projek dapat diteruskan mengikut jadual.
“Saya juga sudah melantik timbalan saya sebagai mengetuai serta memantau projek sakit di seluruh negara agar tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Setiap minggu perkara ini akan dipantau.
“Bagi projek yang didapati gagal menunjukkan prestasi memuaskan tindakan akan diambil termasuk ada kontraktor yang telah digugurkan dan ditamatkan,” katanya sambil menambah bahawa keputusan ini dibuat dengan teliti dan berdasarkan tatakelola untuk mengelak sebarang risiko tindakan undang-undang.
Sementara itu, mengulas mengenai projek menaik taraf jalan FT209 dan FT131, Alexander Nanta berkata projek berkenaan melibatkan nilai kontrak sebanyak RM191 juta dan dijadualkan siap pada September tahun depan.
Beliau berkata tujuan utama pembinaan projek ini bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan FT131, memandangkan jalan sedia ada dari Kubang Kerian ke Sabak dan seterusnya ke Pengkalan Chepa sudah berada pada tahap kritikal dengan kesesakan setiap hari.
“Projek yang membabitkan laluan sepanjang enam kilometer itu setakat ini sudah mencapai 71.61 peratus kemajuan fizikal projek semasa dengan melibatkan nilai kontrak RM191 juta. Sementara itu, kos pengambilan tanah melibatkan 300 lot tanah yang perlu diambil melibatkan kos melebihi RM200 juta.
“Kita juga menerima permohonan daripada Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari yang turut hadir pada hari ini untuk menyelesaikan isu banjir yang dihadapi oleh penduduk setempat disebabkan pelaksanaan projek ini.
“Untuk mengatasi masalah ini saya sudah mengarahkan kontraktor terlibat untuk membina parit sementara dengan kadar segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk setempat, sehingga projek ini selesai pada tahun depan,” katanya. -TVS
