PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir Nepal: Waris harap penjelasan usaha pencarian terus dikongsi

Banjir Nepal: Waris harap penjelasan usaha pencarian terus dikongsi

KUALA LUMPUR: Keluarga N Kalaiselvi, rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam tragedi banjir di Nepal, berharap pihak berkaitan terus memberikan perkembangan mengenai usaha mencari dan menyelamat (SAR) susulan kepulangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke tanah air dalam masa terdekat.

Anak perempuannya, Kritikaa Joyce De Brito, berkata keluarga amat menghargai usaha kerajaan dan memahami kekangan dihadapi penyelamat di lapangan, namun berharap gambaran jelas mengenai kawasan ditinjau pasukan itu dikongsikan demi meredakan kebimbangan mereka.

Beliau berkata, ibunya berusia 65 tahun itu antara 27 rakyat Malaysia yang ke Gunung Kailash di Tibet, China bagi melaksanakan upacara keagamaan, sebelum dilaporkan terputus hubungan akibat bencana alam tersebut di daerah Rasuwa.

"Saya faham penugasan ini melibatkan kelulusan pihak Nepal, faktor logistik, cuaca dan bentuk muka bumi.

"Namun, sebagai waris, kami memohon pihak berkaitan dapat berkongsi gambaran jelas mengenai kawasan sisa runtuhan atau hutan yang ditinjau secara sistematik sebelum pasukan SMART ditarik balik," katanya.

Kritikaa berkata, penjelasan terperinci mengenai hasil aktiviti lapangan itu sangat penting buat ahli keluarga bagi memastikan segala usaha munasabah dilakukan dalam mengharungi detik amat sukar itu.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan pasukan SMART dijangka kembali ke Malaysia pada Sabtu atau Ahad, susulan operasi SAR kini berada di penghujung dan tidak banyak lagi yang dapat dilakukan oleh pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Nepal masih belum berhasrat menamatkan operasi SAR secara rasmi berikutan terdapat kira-kira 5,000 individu masih dalam kategori tidak dapat dikesan akibat bencana itu.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search