56 lokasi hotspot banjir dikenal pasti
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Ancaman banjir di Lembah Klang belum berakhir apabila 56 lokasi hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko dikenal pasti di Selangor selain hujan lebat serta ribut petir dijangka berterusan sepanjang minggu ini.
Keadaan itu membimbangkan berikutan kejadian banjir kilat berulang yang bukan sahaja merosakkan harta benda, malah mengganggu kehidupan harian penduduk dan mengancam keselamatan mereka.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, tiupan angin timuran yang lemah bersama kehadiran udara lembap yang tinggi menggalakkan pembentukan awan ribut petir serta hujan lebat pada sebelah petang hingga lewat malam sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, keadaan cuaca berkenaan dijangka berterusan sepanjang minggu ini di Lembah Klang dan negeri-negeri barat Semenanjung.
"Tiupan angin timuran yang lemah berserta kehadiran udara lembap yang tinggi menggalakkan pembentukan awan ribut petir dan hujan lebat pada sebelah petang hingga lewat malam sejak beberapa hari ini di Lembah Klang serta negeri-negeri barat Semenanjung.
"Situasi ini dijangka berterusan sepanjang minggu ini. Cuaca kita dalam musim Monsun Timur Laut (MTL)," katanya, semalam.
Berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi 2025, Klang merekodkan jumlah hotspot banjir tertinggi di Selangor dengan 13 lokasi, diikuti Petaling (11), Gombak (10) dan Hulu Langat (sembilan).
Banjir kilat yang melanda Kampung Melayu Subang, Isnin lalu, menjadi antara gambaran jelas bagaimana hujan lebat dalam tempoh singkat mampu mengakibatkan kemusnahan dan kesukaran kepada penduduk.
Kejadian itu menyebabkan 789 penduduk daripada 325 keluarga terjejas, manakala puluhan kediaman dan laluan utama turut dinaiki air susulan limpahan Sungai Damansara dan Sungai Buloh.
Situasi banjir berulang itu turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan usaha mitigasi, penyelenggaraan sistem saliran serta kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi bencana yang boleh berlaku dalam tempoh singkat.
Sehubungan itu, penyelarasan operasi, pemantauan kawasan berisiko dan kesiapsiagaan aset menyelamat perlu dipastikan berada pada tahap optimum bagi membolehkan tindakan pantas diambil ketika kejadian.
Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai pula perlu sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca serta bersedia berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa.
Bah tiada noktah
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Hujan lebat berterusan kelmarin menyebabkan beberapa jalan utama di sekitar Lembah Klang dinaiki air menyebabkan pengguna perlu mencari laluan alternatif untuk sampai ke destinasi dituju.
Pengguna jalan raya, Muhammad Fikri Sohaimi, 32, berkata perjalanan yang kebiasaannya hanya mengambil masa kurang daripada 30 minit bertukar kepada tiga jam kerana jalan diguna tutup akibat ditenggelami banjir.
"Sebelum ke tempat kerja, saya menghantar anak saya ke sekolah di Setia Alam dari rumah yang terletak di Seksyen 16, Shah Alam. Sepatutnya 30 minit boleh sampai tapi disebabkan keadaan trafik yang teruk, ia mengambil saya lebih daripada satu jam untuk sampai.
"Saya kemudiannya bergerak dari Setia Alam ke pejabat saya yang terletak di Seksyen 4, Shah Alam pada jam 8 dan sampai pada jam 11 pagi disebabkan laluan di lebuh raya tutup," katanya kepada Harian Metro.
Bercerita perjalanannya ke tempat kerja, dia berkata keadaan menjadi huru-hara apabila terdapat beberapa penunggang motosikal berkeras menggunakan jalan dinaiki air itu.
"Terdapat beberapa polis mengawal perjalanan pengguna jalan raya. Ia menjadi lebih huru hara kerana terdapat beberapa penunggang motosikal yang enggan mendengar arahan polis dan berkeras untuk melalui jalan itu," katanya.
Bagi pengurus acara, Aniq Irfan Mohd Rizal, 23, dia berkata disebabkan jalan utamanya ke tempat kerja tutup akibat dinaiki air, dia perlu mencari jalan alternatif yang mengambil masa lebih lama dari biasa.
"Sejak berlakunya banjir ini, masa perjalanan memang bertambah. Saya terpaksa mengguna jalan lain disebabkan laluan motosikal turut dibanjiri air.
"Keadaan trafik yang teruk akibat bilangan kereta yang banyak juga menjadi sebab kepada tempoh perjalanan saya yang lebih lama," katanya.
Katanya, keadaan hujan yang berterusan menyebabkan dia perlu merancang perjalanannya agar semuanya berjalan lancar.
"Buat masa ini, saya akan keluar rumah lebih awal kerana kalau jalan mula jam, saya boleh sampai ke tempat kerja tepat waktunya. Saya juga akan memeriksa keadaan jalan sebelum bergerak," katanya.
Sementara itu, terdapat pengguna Threads @_ayiieee dalam hantarannya berkata lebuhraya Plus menghala ke Setia Alam ditutup akibat banjir yang menyebabkan dia dan pengguna jalan raya terpaksa menunggu air untuk surut.
Bagi pengguna media sosial @shaedrrn, dia menzahirkan kerisauan apabila laluan berhampiran pasaraya Giant di Seksyen 13, Shah Alam mula dinaiki air menyebabkan laluan itu tidak selamat untuk digunakan.
TAPAH: Risiko tanah runtuh, pokok tumbang dan laluan berliku menjadi antara cabaran utama kontraktor penyelenggaraan Jalan Tapah-Cameron Highlands atau Jalan Pahang di sini sepanjang 44 kilometer, khususnya ketika musim hujan.
Pengurus Salim Rimba Bara Construction, Raja Salim Abdul Rashid, 48, berkata, syarikat kontraktor itu bertanggungjawab menyelenggara laluan berkenaan sejak 2010 termasuk pembersihan segera apabila berlaku kejadian tanah runtuh atau pokok tumbang.
Menurutnya, kejadian tanah runtuh di Batu 22, Jalan Tapah-Cameron Highlands kelmarin yang menyebabkan laluan utama ke pusat peranginan itu terhalang merupakan antara insiden terbaharu yang memerlukan tindakan segera pihaknya.
Raja Salim berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu, dia bersama pekerja terus ke lokasi untuk melakukan kerja pembersihan bagi memastikan laluan dapat dibuka semula dan kenderaan boleh meneruskan perjalanan.
“Ketika ini musim hujan dan hujan berterusan sudah hampir dua minggu. Pokok di sepanjang Jalan Tapah-Cameron Highlands agak berbahaya terutama yang sudah condong dan berisiko tumbang.
“Pokok yang dikenal pasti berbahaya akan ditebang terlebih dahulu bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Pihaknya turut menempatkan mesin atau jentera berat pada setiap jarak antara 10 hingga 15 kilometer bagi membolehkan pekerja bertindak pantas sekiranya berlaku tanah runtuh atau pokok tumbang.
“Apabila berlaku kejadian tanah runtuh atau pokok tumbang, pekerja akan terus bergerak ke lokasi untuk membersihkan runtuhan dan halangan secepat mungkin supaya pengguna jalan raya tidak terkandas terlalu lama,” katanya.
Menurutnya, Salim Rimba Bara Construction diberi kepercayaan oleh Belati Wangsa, syarikat yang terlibat dalam pengurusan dan penyelenggaraan jalan raya serta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan laluan berkenaan.
Mengulas cabaran tugas itu, Raja Salim berkata, Jalan Tapah-Cameron Highlands mempunyai keadaan geografi yang mencabar kerana melalui kawasan pergunungan, hutan tebal, cerun curam dan tanah tinggi.
Katanya, keadaan jalan yang sempit, mempunyai banyak selekoh tajam dan berliku, kecerunan tinggi serta bahu jalan yang terhad turut menuntut pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berterusan.
Bagaimanapun katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan JKR dan Belati Wangsa bagi meningkatkan tahap keselamatan, termasuk mencantas serta menebang pokok yang dikenal pasti berisiko tumbang.
“Jika dahulu tidak banyak penghadang keselamatan atau railing dipasang di tepi jalan dan jambatan, kini JKR Daerah Batang Padang sudah memasangnya di lokasi tertentu terutama di selekoh yang berbahaya.
“Kebanyakan kawasan di laluan ini juga sebelum ini gelap kerana tiada lampu jalan tetapi JKR mengambil inisiatif memasang lampu solar, khususnya di selekoh berbahaya.
“Laluan sempit turut diperlebar di beberapa lokasi manakala jalan rosak dan cerun bermasalah dibaik pulih,” katanya.
Katanya, usaha penyelenggaraan dan penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan negeri, khususnya JKR sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, menjadikan keadaan jalan berkenaan semakin baik dan selesa untuk digunakan.
Raja Salim berkata, tahun 2017 merupakan tempoh paling mencabar bagi pihaknya apabila lebih 100 kejadian tanah runtuh dilaporkan di laluan itu.
“Ketika itu, laluan ini pernah digelar ‘jalan maut’ kerana terlalu banyak kejadian tanah runtuh. Bagaimanapun kini semakin selamat serta memberikan keselesaan kepada pengguna,” katanya.-UTUSAN.
SHAH ALAM: Audit menyeluruh terhadap keberkesanan projek-projek tebatan banjir di seluruh negeri ini perlu dilakukan susulan kejadian banjir berulang di Sungai Buloh dan Shah Alam dalam tempoh kurang 48 jam.
Penilaian perlu dilakukan terhadap infrastruktur selain mempercepat sebarang projek yang tertangguh dan menunjukkan status pelaksanaan secara telus di seluruh kawasan termasuk di luar bandar yang kerap dilanda ‘banjir termenung’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, Selangor mempunyai sumber kewangan serta keupayaan yang besar dan rakyat berhak melihat hasil yang nyata bukan sekadar pengumuman peruntukan setiap kali bencana berlaku.
Katanya, banjir teruk yang melanda Kampung Melayu Subang, Shah Alam, TTDI Jaya dan kawasan sekitarnya sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pengurusan dan pelaksanaan projek tebatan banjir di Selangor.
“Hujan lebat mungkin di luar kawalan manusia, tetapi perancangan, penyelenggaraan saliran, kesiapsiagaan dan pelaksanaan projek tebatan banjir adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.
“Saya menyambut baik arahan Perdana Menteri supaya projek tebatan banjir bernilai kira-kira RM700 juta dipercepatkan.
“Namun, rakyat berhak mengetahui garis masa pelaksanaan, status sebenar projek serta langkah segera bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang itu turut mengingatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berulang kali menzahirkan kebimbangan terhadap isu tersebut.
“Dalam titah pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 20 April lalu, baginda menegur kelewatan penyelesaian masalah banjir malah mengibaratkan nasihat yang tidak diberikan perhatian sewajarnya seperti ‘mencurah air ke daun keladi.’
“Apabila baginda sendiri berulang kali bertitah dan wakil rakyat terus membangkitkan perkara yang sama dalam dewan. Persoalannya, di manakah keberkesanan tindakan dan penyelesaian yang dijanjikan?” soalnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dan Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan bagi mengatasi masalah banjir berulang di kawasan berkenaan.
Selain itu, beliau juga mengarahkan pembinaan kolam tadahan bagi mengurangkan risiko banjir kilat sementara menunggu projek jangka panjang itu disiapkan.
Tegas Nurul Syazwani, titah Sultan Sharafuddin perlu dijunjung dengan tindakan, soalan dan teguran dalam Dewan perlu diterjemahkan kepada penyelesaian. –UTUSAN
KUALA LUMPUR: Beberapa lebuh raya utama sekitar Lembah Klang mengalami kesesakan susulan kejadian banjir kilat ketika waktu puncak susulan cuaca buruk petang tadi.
PLUS Malaysia dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, insiden banjir kilat dilaporkan berlaku di laluan masuk sebelum dan selepas Plaza Tol Shah Alam (ELITE) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) antara laluan Shah Alam - Subang.
"Susulan banjir kilat di kilometer (km) 9.1 arah Utara dari Shah Alam ke Subang, semua lorong terhalang dan trafik sesak setakat jam 6.30 petang.
"Trafik ke Shah Alam / Setia Alam di lecongkan ke Lebuhraya Elite, trafik sesak, patuhi arahan papan tanda. Harap maklum," kata hantaran itu.
Sementara itu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik dilaporkan sesak di susulan banjir kilat di km 11.0 Lebuhraya Sungai Besi, arah Utara dari Salak South Gardens ke persimpangan Kuchai.
