Tinggal atas bukit sampai habis tengkujuh
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG – Seramai 200 penduduk daripada 30 keluarga Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini berpindah ke atas bukit berikutan bimbang berlaku banjir susulan cuaca hujan tidak menentu sejak dua minggu lalu.
Tindakan itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga apabila mereka masih trauma dengan kejadian bah kuning pada 2014 yang menenggelamkan jalan dan kediaman di kampung tersebut.
Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, mereka telah membina rumah bangsal atau khemah dan berulang-alik tinggal di kawasan tersebut sejak dua minggu lalu.
Katanya, mereka akan tinggal di khemah yang dibina sejak Oktober lalu itu sehingga berakhirnya musim tengkujuh.
“Kami akan tinggal di dalam khemah di atas bukit yang dibina berhampiran laluan masuk ke Kampung Pasir Linggi sehingga musim tengkujuh berakhir.
“Perasaan takut dan trauma masih ada terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan sungai. Kami bimbang sekiranya banjir besar 2014 berulang kembali dan kami tidak sempat untuk berpindah sehingga menyebabkan terkandas,” katanya.
Penduduk kampung itu, Amoi Latif, 57, pula berkata, dia bersama keluarga akan tinggal di dalam khemah terbabit kira-kira dua minggu lagi.
Katanya, pelbagai kelengkapan asas sudah dibawa ketika berpindah ke rumah bangsal.
“Kami membawa dapur, tong gas, selimut, bantal, kelambu, pakaian harian serta bahan makanan asas. Kami tetap berulang alik ke rumah untuk melihat keadaan rumah dan mengecas telefon bimbit.
“Kami akan tinggal di sini sehingga Januari tahun depan atau musim tengkujuh berakhir bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Norsilawati Amran, 26, berkata, dia dan keluarga diselubungi rasa takut sekiranya hujan turun secara berterusan.
“Apabila hujan turun berterusan dan lebat kami berasa takut kerana masih teringat bencana banjir besar kira-kira 11 tahun lalu,” ujarnya.
