Cuaca tidak menentu pada awal Januari
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Luruan monsun dijangka memasuki kawasan negara bermula 1 hingga 5 Januari ini sekali gus berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Sarawak serta risiko angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, analisis terkini terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan cuaca pada malam ambang tahun baharu 2026 adalah baik di kebanyakan tempat.
“Beberapa kawasan di Perak, Kelantan, Pahang, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah termasuk bahagian Kudat, pantai barat serta pedalaman dijangka mengalami hujan dan ribut petir.
“Pada hari tahun baharu 2026, cuaca pada waktu pagi diramalkan hujan dan ribut petir di beberapa tempat.
“Ia dijangka berlaku Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sarawak, Labuan serta Sabah melibatkan kawasan pedalaman dan Tawau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah petang kecuali Perlis, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Melaka dan Kelantan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam yang merancang untuk bercuti serta pihak berkuasa tempatan supaya sentiasa peka dan berwaspada terhadap perkembangan cuaca semasa negara.
“Sekiranya amaran cuaca buruk dikeluarkan, orang awam disaran merancang perjalanan dengan teliti. Elakkan aktiviti luar, menjauhi kawasan berisiko banjir atau tanah runtuh serta menyediakan keperluan kecemasan asas sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.-UTUSAN.
