PETALING JAYA – Sebuah pesawat penumpang dilaporkan gagal melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu sebelum terpaksa membuat beberapa pusingan di udara.
Menerusi satu hantaran di platform TikTok oleh pengguna akaun @Adam Yourpilot, berdasarkan data laman penjejakan penerbangan Flightradar24, pesawat jenis Airbus A320-216 yang berlepas dari Kuala Lumpur itu dilihat menghampiri ruang udara Kuala Terengganu sekitar pukul 6.54 petang.
Namun, pesawat tersebut kemudian dilihat berlegar-legar di ruang udara laut berhampiran bandar raya ini sebelum menjauh semula dari kawasan lapangan terbang.
Bagaimanapun menurut salah seorang penumpang, pesawat tersebut berjaya mendarat dengan selamat.
Pelbagai reaksi diberikan oleh netizen berkenaan hantaran tersebut. “Mungkin sebab ribut kot, sebab Terengganu asyik hujan ribut je dua tiga hari ni,” kata @Sheeee.
“Kira hebat la juruterbang boleh kawal kapal dalam ribut angin. Alhamdulillah,” kata @Fynas.
LAWAS, 15 Ogos: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas, Assan Osman, 65, yang dilaporkan hilang di perairan Laut Sundar semalam, digerakkan semula seawal jam 7 pagi hari ini dengan penyertaan pelbagai agensi penyelamat.
Menurut Komander Operasi, PPgB Clarence D. Primus Tiandun, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) telah diaktifkan dengan taklimat penyelarasan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Coast Guard.
“Dua bot iaitu Bot Fiber 40 bomba dan Bot Aluminium APM digerakkan menyusuri radius pencarian seluas 4 km dengan perimeter 9 km.
“Sehingga kini mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi SAR disertai oleh lapan anggota bomba, enam anggota polis, enam anggota APM, sembilan anggota Sarawak Coast Guard dan seorang wakil dari PDK Sundar.-TVS
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berserta ribut petir melibatkan kawasan hampir seluruh negara sehingga pukul 7 malam ini.
Menurut MetMalaysia, amaran yang dikeluarkan melibatkan hampir seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Antara kawasan terjejas di Semenanjung Malaysia ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan), Perak (Hulu Perak),” ujarnya.
Antara kawasan yang terjejas di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai manakala kawasan yang turut terkesan di Terengganu pula ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.
Pahang turut mencatat amaran bagi daerah Raub, Jerantut, Temerloh, Pekan dan Rompin, manakala di Melaka, kawasan Melaka Tengah dan Jasin terlibat. Negeri Johor pula melibatkan daerah Tangkak dan Mersing.
Di Sabah, kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan), Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud), serta Sandakan (Tongod) turut terjejas.
“Sementara itu, seluruh Wilayah Persekutuan Labuan antara yang dijangka terjejas manakala Sarawak merekodkan amaran di kawasan Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong (Pusa, Saratok), Sibu, Mukah (Dalat, Mukah), Kapit (Song, Kapit), Bintulu (Subis, Beluru), Miri (Miri, Marudi), dan Limbang,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
SHAH ALAM: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) selesai menyalurkan bantuan sewa rumah sementara bagi tempoh tiga bulan kedua kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, bayaran fasa kedua meliputi tempoh Julai hingga September itu dikreditkan semua penerima pada 6 Ogos lalu.
Menurutnya, bantuan itu melibatkan seramai 144 ketua isi rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan pembayaran bernilai RM864,000.
“Penentuan senarai penerima itu dibuat selepas proses semakan semula data oleh Unit Pengurusan Bencana Petaling, Jawatankuasa Kecil Penyedia Data Mangsa dan wakil komuniti setempat.
“Ia mengambil kira beberapa faktor seperti rumah telah siap dibaiki selain mangsa merupakan penyewa dan telah berpindah atau tidak lagi memerlukan bantuan sewa sementara,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut Borhan, bantuan itu antara komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan mangsa sementara mengurus penempatan semula atau pembaikan rumah.
“Pelaksanaan itu diharap memberi kelegaan sementara dan membolehkan mereka memfokuskan pemulihan kehidupan harian.
“Bagi mangsa yang belum hadir membuat tuntutan semula bantuan sewa, mereka digesa melakukan semakan kelayakan dan bantuan disalurkan sekiranya layak,” ujarnya.
Tambah beliau, seramai 365 KIR telah menerima bantuan itu pada fasa pertama dengan peruntukan sebanyak RM2.19 juta.
“Seramai 78 lagi KIR tidak memerlukan bantuan atas sebab tertentu termasuk telah menetap di rumah sendiri, kerosakan kecil, berada di luar negara atau menolak bantuan,” katanya.
Letupan pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar.
Sebanyak 218 rumah lagi bagaimanapun tidak terjejas termasuk melibatkan Kampung Tengah, Puchong.
BEIJING, 13 Ogos: Beijing meningkatkan amaran hujan ributnya kepada kuning – tahap ketiga tertinggi – berikutan hujan lebat diramal melanda banyak kawasan di bandar itu pada Selasa malam, lapor Xinhua.
Balai cerap meteorologi Beijing mengeluarkan amaran itu pada 4.47 petang Selasa, meramalkan kadar kerpasan setiap jam melebihi 50 milimeter (mm) sejam di daerah seperti Fangshan, Daxing, Tongzhou, Fengtai, Chaoyang, Shunyi, Pinggu, Huairou dan Miyun dalam beberapa jam akan datang. Jumlah kerpasan di sesetengah kawasan dijangka melebihi 100 mm.
Menurut amaran itu, terdapat potensi berlakunya kepala air, aliran lumpur dan tanah runtuh di kawasan pergunungan, serta banjir di kawasan tanah rendah.
Pada 5.30 petang, Pihak Berkuasa Air Beijing dan Perkhidmatan Meteorologi Beijing mengeluarkan amaran kuning kepala air di beberapa daerah pinggir bandar di utara dan barat Beijing.
Pihak berkuasa kawalan banjir turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengunjungi kawasan pergunungan yang terdedah kepada bencana geologi memandangkan hujan dijangka berterusan minggu ini.
China mempunyai sistem amaran cuaca berkod warna empat peringkat, dengan merah mewakili tahap amaran paling teruk, diikuti oren, kuning dan biru. – TVS
