Runtuhan dekat tangki air atas bukit, penduduk Rini Homes 7 ketakutan
- Admin UKK
- Berita
Iskandar Puteri : Lebih 5,000 penduduk Taman Rini Homes 7 di sini bimbang dengan tanah runtuh di kawasan tangki air yang hanya terletak 50 meter dari rumah mereka.
Penduduk mendakwa pergerakan tanah atas bukit yang menempatkan tangki air Mutiara Rini 2 itu berlaku sejak awal Mac lalu dan ada bongkah batu jatuh setiap kali hujan lebat.
Penduduk, Najib Suhaimi, 37, berkata berlaku dentuman kuat dan runtuhan agak besar di atas bukit berkenaan pada 28 April lalu.
"Rumah saya terletak 50 meter sahaja dari kawasan runtuhan itu. Memang bimbang sebab kawasan runtuhan itu ada tangki air.
"Persatuan penduduk telah membuat beberapa aduan kepada pihak Ranhill SAJ berhubung kejadian dan mereka mengambil tindakan memasang kanvas di lokasi.
"Tetapi pemasangan kanvas tersebut agak kecil dan tidak sempurna menutup runtuhan tanah terbabit," katanya ketika ditemui di kawasan runtuhan hari ini.
Ahli Jawatankuasa Penduduk Rini Homes 7, G Vethavalli, 41, berkata runtuhan semakin membimbangkan apabila terjadi runtuhan kedua pada 30 April lalu.
Katanya, runtuhan kedua lebih besar yang menyebabkan struktur batuan cerun merekah dan jatuh sehingga menyebabkan pagar, sistem pendawaian elektrik dan saluran paip rumah kelab rosak.
"Malah dapat dilihat laluan pejalan kaki yang dahulunya rata kini beralun akibat runtuhan itu.
"Persatuan penduduk membuat aduan sekali lagi kepada pihak Ranhill SAJ dan kami masih menunggu tindakan lebih drastik dari mereka," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mack Lee, 45, berkata penduduk bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, seperti runtuhan lebih besar yang mengundang musibah kepada penduduk.
"Paling kami risau, jika ada pergerakan tanah kerana terdapat tangki air besar atas bukit itu. Kalau ia pecah atau berlaku kejadian tanah mendap, kesannya lebih buruk," katanya.
Katanya, sebagai langkah proaktif, Persatuan Penduduk Rini Homes 7 membuat aduan rasmi kepada pihak berkaitan termasuk Menteri Besar Johor dan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Malah laporan polis berhubung kejadian juga dibuat wakil Persatuan Penduduk pada 1 Mac lalu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang melawat lokasi kejadian meminta Ranhill SAJ dan pihak berkaitan mengambil tindakan segera.
"Runtuhan semakin besar dan kita takut ia menyebabkan tangki air besar di atas bukit jatuh sekali gus mengakibatkan malapetaka kepada penduduk," katanya.