Kami mahu tindakan segera, jangan tunggu sampai ada tragedi! - Penduduk
- Admin UKK
- Berita
ISKANDAR PUTERI - Lebih 5,000 penduduk di Taman Perumahan Rini Homes 7, Taman Mutiara Rini di sini hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran tangki air utama kira-kira 50 meter dari kediaman mereka.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penduduk, G Vethavalli, 41, berkata, insiden yang telah berlaku sebanyak dua kali itu mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk, apatah lagi kawasan terbabit sering menjadi tempat kanak-kanak bermain pada waktu petang.
"Kami sudah membuat aduan kepada Ranhill SAJ termasuk laporan polis berhubung kejadian tersebut dan menggesa tindakan segera sebelum berlaku sesuatu yang lebih buruk.
“Kawasan ini menjadi tempat anak-anak bermain dan penduduk beriadah. Kalau sesuatu berlaku, siapa nak tanggung? Kita mahu tindakan segera, jangan tunggu sampai ada tragedi.
“Ramai penduduk bekerja di Singapura dan tidak berada di rumah waktu siang. Jadi, kami kerap berkongsi maklumat dalam grup WhatsApp untuk maklumkan keadaan semasa cerun,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Isnin.
Tambah Vethavalli, dia sendiri akan keluar memeriksa keadaan cerun setiap kali hujan bagi memastikan tiada kejadian susulan.
Sementara itu, Najib Suhaimi, 37, yang tinggal berhampiran lokasi kejadian berkata, beliau terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat sendiri kesan tanah runtuh dari balkoni rumahnya.
“Pada 28 April lalu berlaku runtuhan agak besar di bahagian atas bukit kawasan tangki air terbabit. Rumah saya bahagian hujung yang terletak hanya berjarak 50 meter sahaja dari kawasan runtuhan, isteri dengar bunyi dentuman ketika itu.
"Memang bimbang sebab kawasan runtuhan itu di atasnya terletak tangki air, kalaulah terus berlaku runtuhan kecil dan tangki air jatuh pastinya rumah saya dahulu yang akan terjejas dengan banjir dan kerosakan.
"Sebelum ni saya pasang CCTV sebab faktor keselamatan, tapi sekarang ini memang untuk pantau keadaan tanah, terutamanya setiap kali hujan,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mack Lee, 45, berpendapat punca utama mungkin disebabkan takungan air dalam tanah yang menyebabkan kelembapan melampau.
Tambahnya, kejadian itu juga menyebabkan beberapa infrastruktur seperti pagar, longkang, paip air dan sistem pendawaian elektrik sudah rosak akibat dihempap runtuhan struktur batu di cerun tersebut.
“Bila hujan, tanah tak mampu tampung lagi dan akhirnya runtuh. Lagi membimbangkan, tangki air ini bukan saja menampung keperluan penduduk di taman itu sahaja tetapi untuk beberapa kawasan lain juga.
"Kalau tangki ini terjejas, ramai yang akan kena tempias sebab di sini merupakan kawasan paling tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, ADUN Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang melawat lokasi kejadian meminta pihak Ranhill SAJ dan pihak berkaitan mengambil tindakan segera.
"Saya mengharapkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan pihak SAJ mengambil tindakan segera kerana runtuhan agak membesar, kita takut runtuhan ini mengakibatkan jatuhnya tangki air yang besar di atas dan mengakibatkan kemalangan kepada penduduk.
"Apatah lagi keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, jadi saya minta pihak berkaitan membuat tindakan segera. Kita takut jika aduan penduduk tidak diendahkan akan memberi malapetaka kepada penduduk di sini," ujarnya.