PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bekalan air masih terkawal – MB Perlis

KANGAR – Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa bekalan air di Perlis masih berada pada tahap terkawal walaupun cuaca panas berterusan sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, ketika ini, paras air empangan masih berada dalam keadaan selamat dan belum sampai ke tahap membimbangkan.

“Walaupun sekiranya tiada hujan dalam tempoh sebulan, bekalan air masih mampu ditampung,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran aplikasi mudah alih dan lori tangki air SAP sebuah hotel di sini hari ini.

Abu Bakar berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan sentiasa memantau trend paras air empangan bagi memastikan bekalan kepada pengguna tidak terjejas, khususnya ketika musim panas yang panjang.

Menutnya, kerjasama turut dijalankan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan Jabatan Pertanian Perlis bagi memastikan penyaluran air kepada sektor pertanian berjalan lancar tanpa menjejaskan bekalan domestik.

“Keperluan air ketika ini meningkat terutama untuk sektor pertanian, khususnya tanaman padi yang memerlukan bekalan air berterusan bagi fasa pembesaran.

“Dalam masa sama, terdapat tanaman tertentu seperti Harumanis yang tidak memerlukan air berlebihan dan memerlukan cuaca kering semasa tempoh pembungaan. Oleh itu, pengurusan air perlu diselaraskan mengikut keperluan semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Hutan Bio Desaru seluas 28.3 hektar terbakar

KOTA TINGGI: Kebakaran hutan berlaku di Bio Desaru di sini melibatkan kawasan berkeluasan 28.3 hektar, sejak semalam.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Soleh Nasir berkata, kebakaran dipercayai bermula kira-kira pukul 9.16 pagi.

Katanya, seramai 15 anggota berserta tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kira-kira 57 peratus daripadanya berjaya dipadamkan setakat ini.

“Kawasan hutan tersebut berkeluasan 404.68 hektar dengan kebakaran berlaku melibatkan 28.3 hektar. Setakat pukul 12 tengah hari tadi, 57 peratus daripada keluasan itu berjaya dipadam.

“Selain 15 anggota, kerja pemadaman turut dibantu tiga jentera termasuk 20 hos serta sebuah jentolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soleh berkata, pemantauan udara mendapati api semakin berkurangan, namun kepulan asap masih tebal susulan terdapat tanah gambut dan tunggul kayu terlibat.

“Kira-kira empat hektar daripada kawasan terbakar merupakan tanah gambut. Pemantauan berterusan sedang dibuat serta kerja-kerja pemadaman masih dijalankan,” katanya. – UTUSAN

 
 

Nenek, cucu rentung dalam kebakaran di Bintulu

Bintulu: Wanita warga emas dan cucu lelakinya rentung dalam kebakaran rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, maklumat awal yang diterima mengesahkan kedua-dua mangsa dikenali sebagai Taun Nyaring, 61 dan cucu lelakinya Melbourne Jeasy, 15.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 1.10 pagi.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan satu blok rumah pekerja jenis tidak kekal yang mempunyai 31 bilik," katanya.

"Bomba kemudian memulakan kerja-kerja memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran air dan dua nozel yang mana sumber air diperoleh dari sungai berdekatan yang dipam ke dalam tangki jentera pemadam api," katanya.

Menurutnya lagi, selepas lebih tiga jam, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dan pemeriksaan yang dijalankan pasukan bomba menemukan dua mayat mangsa yang sudah rentung.

"Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa dari lokasi sebelum menyerahkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk proses bedah siasat," katanya.

Sungai Tembeling surut akibat cuaca panas

Jerantut: Cuaca panas hampir sebulan selepas banjir di Ulu Tembeling menyebabkan paras Sungai Tembeling susut sehingga dataran pasir terbentuk di beberapa lokasi.

Keadaan itu menyebabkan sungai cetek dan menyukarkan pergerakan bot.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mat Daling, Wan Hamzah Wan Manah berkata, fenomena berkenaan adalah perkara biasa ketika musim kemarau.

Menurutnya, disebabkan paras sungai surut, beting pasir selebar hampir 100 meter dan sepanjang hampir 200 meter terbentuk di beberapa kawasan di sepanjang sungai itu.

"Namun, keadaan ini memberi 'rezeki bermusim' kepada penduduk kerana kawasan lubuk yang masih dalam dimanfaatkan untuk menangkap ikan.

"Lazimnya di kawasan lubuk itu Ikan seperti baung dan patin terperangkap akibat air surut.

"Bagaimanapun fenomena mengubah landskap apabila dataran pasir luas di tengah sungai mencetuskan pemandangan luar biasa," katanya ketika dihubungi.

Wan Hamzah berkata, beting pasir itu juga terbentuk di beberapa kawasan lain di sepanjang Sungai Tembeling termasuk di Kampung Gusai, Kampung Bantal, Kampung Sat dan Kampung Pagi.

Penduduk Kampung Mat Daling, Nurul Natasha Abdul Aziz, 25, berkata fenomena berkenaan bersifat bermusim dan sering berlaku ketika cuaca panas berpanjangan.

Menurutnya, kejadian ketika ini lebih ketara berbanding musim kemarau sebelum ini.

"Cuaca kering berpanjangan akan mengubah alur sungai dan menyebabkan beting pasir terbentuk tetapi aliran utama sungai masih dalam," katanya.

Nurul Natasha berkata, kejadian ini menyebabkan bot sering terkandas akibat paras air terlalu cetek.

"Bagaimanapun, sejak adanya jalan raya, pergerakan penduduk dari kawasan hulu ke Kuala Tahan tidak lagi terjejas," katanya.

Nurul Natasha berkata, jika keadaan seperti itu berterusan, ekonomi penduduk dijangka terjejas kerana ikan dalam sangkar mati.

Menurutnya, cuaca panas juga menyebabkan peningkatan suhu air turut menjejaskan hidupan ikan di sungai.

40 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan

Tawau: Sebanyak 40 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini pagi tadi.

Kejadian jam 10 pagi itu dipercayai bermula daripada sebuah rumah di situ sebelum merebak pantas dan memusnahkan puluhan lagi rumah berhampiran namun tiada mangsa dilaporkan terbabit.

Ketua Zon 5 Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Moilley Milin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.15 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi lapan minit kemudian.

"Kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.93 hektar, membabitkan rumah setinggan jenis tidak kekal yang dibina rapat antara satu sama lain.

"Selain itu, pasukan penyelamat berdepan kesukaran memadam kebakaran akibat tekanan air yang rendah serta tiupan angin tidak menentu, namun api berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.55 pagi. Operasi tamat jam 3.19 petang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi turut dibantu oleh beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity dan Jabatan Air.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search