PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

IPD Kota Samarahan komited pantau pengurusan PPS sepanjang banjir

KOTA SAMARAHAN, 13 Jan: Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin telah melaksanakan beberapa siri lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kejadian banjir yang melanda daerah berkenaan awal bulan ini.

PPS pertama dibuka pada 1 Januari 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan bagi menempatkan mangsa banjir dari kawasan Plaie dan Jegoi, beliau turut hadir meninjau keadaan dan kebajikan mangsa pada 2 Januari.

Lawatan beliau diteruskan pada 3 Januari sempena kunjungan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke PPS tersebut sebelum ia ditutup selepas keadaan kembali pulih.

Namun, gelombang banjir kedua melanda pada 9 Januari 2026, menyebabkan PPS SK Endap dibuka semula. Lawatan ke PPS itu turut disertai Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, dan Damataries sendiri bagi memastikan aspek keselamatan dan kelancaran operasi PPS.

Pada malam yang sama, Damataries turut bersetuju untuk membuka PPS keempat di Balai Raya Kampung Nangka dan melawat lokasi berkenaan.

Kesemua PPS ditutup sepenuhnya pada 11 Januari 2026 setelah banjir surut dan keadaan kembali terkawal.

PD Kota Samarahan menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan, ketenteraman dan kebajikan penduduk terjamin sepanjang pengurusan bencana.-TVS

Mangsa banjir Bintulu terus dibantu, keperluan asas disalur

KUCHING, 13 Jan: Bantuan keperluan asas makanan telah disalurkan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi terjejas di Segan Silas, Bintulu menerusi Jawatankuasa Bencana Bintulu.

Agihan bantuan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Bintulu serta pasukan DUN N.67 Jepak bagi memastikan bantuan sampai kepada penduduk yang memerlukan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak,Iskandar Turkee, usaha bersepadu pelbagai agensi ini amat penting dalam meringankan beban mangsa yang terkesan akibat bencana banjir.

“Alhamdulillah, bantuan keperluan asas makanan dapat disampaikan kepada penduduk terjejas. Terima kasih kepada semua agensi dan pasukan yang terlibat yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau turut menegaskan bahawa pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keperluan mangsa banjir di kawasan terlibat sentiasa diberi perhatian. – TVS

Mangsa banjir di Nanga Buan terputus hubungan terima bantuan makanan

TATAU, 13 Jan: Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau telah menjalankan misi penghantaran barangan bantuan makanan kepada mangsa banjir yang terputus jalan di Rumah Rose Jalong, Nanga Buan di sini, hari ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi yang diketuai oleh PB Donnie Boy Donlis itu bermula pada jam 10.27 pagi, melibatkan penghantaran 56 pek makanan (280kg) dan 56 pek beras (560kg) dari Supermarket Sin Nyin ke Jeti Pasar Lama Tatau.

“Bantuan kemudiannya diagihkan menggunakan bot-bot milik penduduk kampung untuk dibawa masuk ke kawasan yang terjejas akibat banjir.

“Misi penghantaran ini menggunakan sebuah lori bomba dengan kekuatan dua anggota bagi memastikan bantuan sampai kepada mangsa yang terputus hubungan darat susulan banjir,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pasukan BBP Bintulu turut melaksanakan penghantaran barangan bantuan makanan kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Melayu, Labang Sebauh.

Operasi bermula jam 11 pagi dan diketuai oleh PBK I Eric Wilson, melibatkan penghantaran 60 pek makanan seberat 1,020 kilogram dari Jeti Sebauh menggunakan bot bomba menuju ke kawasan yang terputus hubungan darat akibat banjir.

Misi bantuan ini digerakkan dengan kekuatan sebuah bot dan tujuh anggota bomba, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kemanusiaan membantu komuniti yang terjejas.

Pasukan bomba komited meneruskan usaha membantu mangsa banjir agar keperluan asas mereka terus terjamin sepanjang tempoh bencana.-TVS

Kemarau: Pesawah gesa air empangan dilepaskan untuk pengairan sawah

KANGAR: Kira-kira 200 pesawah bimbang dengan tuaian padi bagi musim ini susulan kekurangan bekalan air akibat kemarau yang mengancam tanaman padi seluas 380 hektar bawah kelolaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Paya di kawasan sekitar Sempering, Jejawi dan Repoh, di sini.

Pesawah mendakwa kekurangan bekalan air itu berpunca daripada paras air sawah yang kering berikutan kemarau sejak lebih sebulan lalu.

Seorang pesawah, Ahmad Nasharuddin Yob, 59, dari Kampung Jejawi Dalam, berkata, tanaman padi di kawasan itu memerlukan bekalan air mencukupi bagi memastikan hasil dapat dikeluarkan namun melihatkan keadaan semasa dengan petak sawah mulai kering, ia amat merisaukan petani di kawasan berkenaan.

"Kami dimaklumkan Empangan Timah Tasoh masih mempunyai bekalan air mencukupi namun yang menghairankan air tidak pula dilepaskan untuk kegunaan pesawah di kawasan ini.

"Ketika ini, kami hanya bergantung kepada air Sungai Santan atau Sungai Ngulang namun petani di kawasan terbabit juga tidak akan melepaskan air jika empangan tidak menyalurkan bekalan ke kawasan mereka.

"Kebanyakan pesawah sudah mengeluarkan modal yang besar bagi mengusahakan tanaman termasuk menyewa tanah, tapi jika air masih tidak dibekalkan sudah tentu tanaman terjejas da kami kerugian besar," katanya ditemui di kawasan penanaman padi di Jejawi, di sini hari ini.

Terdahulu, 25 pesawah padi di kawasan itu berkumpul dan menuntut agar pengairan air dapat disalurkan semula memandangkan petak sawah padi yang diusahakan kini kering.

Ahmad Nashruddin berkata, situasi sama pernah berlaku pada 2019, namun ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Allahyarham Datuk Salahuddin Ayub mengambil tindakan pantas dengan mengarahkan pelepasan air empangan bagi menyelamatkan tanaman pesawah.

"Kami berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan isu ini dan menyalurkan segera bekalan air supaya tanaman tidak musnah," katanya.

Seorang lagi pesawah, Shamsuri Saad, 53, berkata, keadaan yang berlaku wajar diberi perhatian segera memandangkan tanaman padi di kawasan itu baru sahaja terjejas akibat bencana banjir besar akhir tahun lalu.

Kini, katanya pesawah baru bermula tapi petak sawah kering kerana tiada bekalan air mencukupi dan lebih parah kini berhadapan musim kering

"Aduan berhubung masalah bekalan air itu sudah beberapa kali disalurkan kepada wakil rakyat dan agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

"Perparitan di kawasan ini sudah baik, cuma masalahnya tiada air masuk ke sawah, terutama ketika musim kemarau.

"Ketika banjir besar, air empangan dilepaskan hingga tanaman musnah tetapi apabila kami memerlukan air sekarang, empangan pula tidak dilepaskan. Kami harap isu ini diberi perhatian serius," katanya.

448 mangsa banjir Kampung Tanah Puteh berlindung di PPS

SERIAN, 13 Jan: Seramai 448 mangsa daripada 131 keluarga terjejas akibat banjir di Kampung Tanah Puteh, kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Puteh sejak Ahad lalu.

PPS tersebut diaktifkan susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan paras air meningkat dengan cepat, khususnya di kawasan rendah kampung berkenaan yang sering menerima limpahan air dari kawasan hulu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Serian, LT (PA) Mackinly Jores berkata, PPS berkenaan telah diaktifkan seawal jam 7 pagi Ahad selepas menerima laporan beberapa rumah penduduk mula dinaiki air.

“Pada pagi Ahad, penduduk kampung telah memaklumkan beberapa rumah telah dinaiki air. Tindakan awal kita bersama PDRM sebagai Komander Operasi telah membuat pemantauan dan apabila melihat air semakin meningkat, kita mencadangkan agar Pejabat Residen mengaktifkan PPS,” katanya kepada TVS ketika ditemui di PPS SK Tanah Puteh, hari ini.

Tambahnya, limpahan air dari kawasan hulu termasuk kampung sekitar menyebabkan Kampung Tanah Puteh menjadi lokasi terakhir menerima aliran air, sekali gus meningkatkan risiko banjir besar apabila hujan berterusan.

Dalam pada itu, meskipun paras air dilaporkan mula menurun secara perlahan sejak pagi Selasa, mangsa banjir masih belum dibenarkan pulang sepenuhnya berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Kita bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan Kampung Tanah Puteh boleh menyebabkan paras air meningkat semula. Selagi PPS belum ditutup, kita tidak membenarkan mangsa pulang sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau menegaskan, keputusan tersebut dibuat sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko sekiranya berlaku peningkatan paras air secara mendadak. -TVS

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search